Seruan mendirikan rumah tangga

Kepercayaan Hanita Hassan 14-Ogo-2020
Mendirikan rumah tangga © Ariffruslan | Dreamstime.com

Nabi Muhammad SAW amat menggalakkan umatnya supaya mendirikan rumah tangga.  Daripada Aisyah r.a berkata, sabda Nabi Muhammad yang bermaksud:  “Perkahwinan itu adalah sunahku, sesiapa yang tidak suka mengikut sunahku, maka bukanlah dia daripada golongan umatku.” (Hadis riwayat Ibn Majah)

Allah SWT mengutus para nabi dan rasul untuk menjadi model yang mesti dicontohi demi keamanan, kebahagiaan dan kedamaian dalam kehidupan. Dengan mencontohi sunah rasul iaitu mendirikan perkahwinan, kita akan memperolehi kebaikan berpanjangan di dunia mahupun di akhirat.

Perkahwinan atau nikah menurut bahasa ialah ‘berkumpul’ dan ‘bercampur’.  Menurut istilah syarak pula, ia bermaksud ‘Ijab dan kabul’ (akad) yang menghalalkan persetubuhan antara lelaki dan perempuan yang diucapkan dengan kata-kata yang menunjukkan nikah, menurut peraturan yang ditentukan oleh Islam.

Allah SWT menjadikan manusia itu berpasang-pasangan, menghalalkan perkahwinan dan mengharamkan zina.  Firman-Nya yang bermaksud:  “Maha suci  Tuhan yang telah menciptakan berpasang-pasangan semuanya, baik dari apa yang ditumbuhnya oleh bumi dan diri mereka, mahupun dari apa yang mereka tidak ketahui.” (Surah Yassin, ayat 36)

Terdapat tiga bentuk perkahwinan iaitu Poligami, Poliandri dan Monogami. Poligami adalah perkahwinan antara lelaki dengan ramai perempuan. Amalan ini diamalkan oleh semua bangsa di dunia.

Di China, ada yang berkahwin dengan sehingga 130 orang isteri.  Agama Yahudi membenarkan poligami tanpa batas. Berbeza dengan Islam, hanya membenarkan poligami tidak melebihi empat orang isteri dalam satu-satu masa.

Poliandri adalah perkahwinan antara perempuan dengan beberapa orang lelaki.  Ia jarang berlaku kecuali di Tibet dan orang Bukit di India dan orang Arab pada masa jahiliah. Dalam tradisi masyarakat kaum Juansuwaris, apabila saudara lelaki yang tua mengahwini seorang perempuan, maka perempuan itu menjadi isteri untuk semua saudaranya.

Monogami ialah perkahwinan yang berlaku antara seorang lelaki dan seorang perempuan sahaja.  Perkahwinan seperti ini perkara biasa  kepada semua bangsa dan agama. Agama Kristian tidak mengiktiraf penceraian kerana menganggap perkahwinan adalah ikatan sepanjang zaman dan seorang lelaki hanya dibenarkan berkahwin sekali sahaja seumur hidup.

Dalam banyak sistem perkahwinan di dunia, sistem perkahwinan Islam adalah yang lebih teratur, lengkap dan menepati fitrah manusia.

“Maka berkahwinlah dengan sesiapa kamu berkenan dari perempuan-perempuan  (lain): dua, tiga atau empat, kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki.  Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.”  (Surah Al-Nisa, ayat 3)

Apabila Nabi Muhammad SAW menyatakan bahawa perkahwinan itu adalah sunah, maka seawal proses pernikahan itu terdapat sunahnya.  Apabila seseorang menyatakan hasrat mencari pasangan, maka mulakanlah dengan sunah.

Ibu bapa hendaklah membantu serta membimbing anak dalam urusan memilih pasangan. Nasihat serta panduan anda akan memudahkan anak-anak membuat keputusan yang tepat. Dalam masa yang sama, anda boleh menasihatkan anak melakukan solat sunat Istikharah memohon petunjuk dan bantuan Allah SWT.

Semoga rumah tangga yang kita bina bahagia sampai ke Jannah.  Bahagia bukan terletak pada mewahnya harta, tetapi pada hati.  “Dialah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang yang beriman.” (Surah al-Fath, ayat 4)