Shah Iskandar Guna Instagram Promosi Diri

Pelakon kelahiran Singapura, Shah Iskandar mengakui hanya baru-baru ini dia mula menyedari tentang kelebihan menggunakan akaun Instagram.

Menurut Shah, pelakon pada zaman sekarang perlu bijak menggunakan saluran media sosial untuk terus mengekalkan nama dalam industri.

“Saya bukan generasi pelakon yang memasuki industri ketika media sosial digunakan secara meluas. Sebab itu saya agak ketinggalan dan lambat menyedari tentang kepentingan serta kelebihan Instagram untuk kerjaya seni.

“Sekarang saya akui yang Instagram ini merupakan satu platform yang semakin dipandang tinggi oleh ramai orang.”

“Bahkan ia cukup berkesan sebagai medium untuk mendekatkan diri dengan peminat. Kalau enggan gunakan Instagram untuk mempromosikan diri sendiri, pasti akan ketinggalan,” ujar Shah Iskandar ketika ditemui pada majlis pelancaran filem ‘Amukan Pontianak’ pada Rabu.

Tambah Shah Iskandar lagi, dia dengan bantuan isteri kini sudah mula mempelajari secara mendalam tentang aplikasi Instagram.

“Kalau dulu saya tidak berapa tahu bagaimana Instagram ini berfungsi. Sekarang baru tahu macamana hendak tengok insights, activity dan impressions semua itu.”

“Bahkan saya juga baru tahu yang likes dan followers ini sebenarnya boleh dibeli,” ujar Shah Iskandar berterus-terang.

Dalam masa yang sama, pelakon berusia 37 tahun ini turut mengakui yang dia kini mula terbuka untuk mempromosi sesuatu barangan atau servis di akaun Instagram miliknya.

“Kalau ada yang berminat untuk mendapatkan khidmat saya untuk tujuan ini, apa salahnya. Servis ini boleh menjana pendapatan.”

“Bagaimanapun, saya mungkin pilih sesuatu yang relevan dengan karier saya sebagai seorang pelakon. Saya tidak mahu buat review tentang sesuatu yang saya tidak gunakan atau tidak tahu langsung tentang produk terbabit,” ujar Shah Iskandar.

Bercerita tentang penglibatannya dalam filem ‘Amukan Kuntilanak’, Shah Iskandar memberitahu dia akan menggalas watak Ustaz Yassin.

“Apabila pihak produksi ceritakan tentang watak ustaz kepada saya, saya terus kata ya. Saya suka dengan perwatakan Ustaz Yassin kerana ia mencabar keselesaan saya. Selain itu, saya terima tawaran ini kerana mahu membantu rakan-rakan yang terlibat dalam produksi ini,” ujar Shah Iskandar.

Kredit foto : Instagram Shah Iskandar