Sham Visa, Jatt Black Dog Bone & Wann Sertai Gegarvaganza 2019

Semalam Astro telah memperkenalkan barisan peserta terbaru yang akan menyertai pertandingan nyanyian yang paling dinanti iaitu Gegarvaganza untuk musim yang keenam.

13 peserta telah dipilih termasuklah peserta dari Singapura. Antara mereka yang terpilih untuk merebut gelaran juara tahun ini ialah Sham dari kumpulan Visa, Jatt dari kumpulan Black Dog Bone, Naqiu dari kumpulan Boboy, Ameer dari kumpulan Sofarz, Roy,Hady Mirza, Wann, Mazleela, Feeza, Noorshila Amin, Nur Fatima, Kumpulan Kool serta kumpulan One Nation Emcees.

Kebanyakan daripada peserta-peserta tahun ini sudah lama menyepi dari arena seni tanah air dan menumpukan fokus kepada kerjaya lain antaranya Nur Fatima yang kini bekerja di Australia, Feeza yang bertugas di Majlis Perbandaran Subang Jaya serta Sham yang bertugas di tengah lautan.

Sham sewaktu ditemui di sidang media berkata, sudah lama beliau ditawarkan untuk menyertai pertandingan yang sering mendapat rating yang tinggi itu. Namun terpaksa menolaknya beberapa kali di atas komitmen kerja.

Saya telah dapat tawaran untuk menyertai Gegarvaganza sejak tahun 2016. Bukan saya tidak mahu sertai ketika itu tetapi saya bertugas di tengah laut. Waktu saya di darat sangat terhad. Sekarang saya sudah menjarakkan diri dengan tugas di tengah laut. Saya juga kini merupakan salah seorang tenaga pengajar“, ujarnya.

Begitu juga dengan Jatt, beliau juga sudah banyak kali ditawarkan pihak produksi untuk menyertai Gegarvaganza, namun di atas komitmen kerja, beliau terpaksa menangguhkan hasratnya.

Masuk tahun ini sudah tahun keempat saya diundang oleh pihak Astro untuk menyertai Gegarvaganza. Namun saya terikat dengan kerja menyanyi di sebuah kelab di Singapura. Pada ketika itu saya masih baru bekerja di kelab itu.

Jadi saya tidak boleh mengambil cuti yang terlalu lama kerana masih baru dan saya perlu menghormati tempat saya cari makan. tetapi tahun ini saya sudah berbincang dengan mereka, dan mereka setuju untuk membenarkan saya menyertai Gegarvaganza“, jelasnya.

Tambah Jatt lagi, antara sebab lain beliau ingin menyertai Gegarvaganza adalah kerana ingin mengubati rindu peminat-peminat Black Dog Bone.

Saya ingin bertemu dengan rakan-rakan artis yang sudah lama saya tidak berjumpa untuk berkongsi satu pentas. Saya rasa sangat bertuah kerana di usia 63 tahun Astro masih mahukan saya untuk menyertai Gegarvanganza“, kongsinya gembira.

Sementara itu tanggungjawab untuk mengemudi rancangan yang akan bersiaran setiap malam Ahad bermula 13 Oktober ini masih menjadi milik Nabil Ahmad dan Jihan Musa.

Manakala Datuk Ramli MS masih setia kekal di kerusi ketua juri serta pengarah muzik. Penyanyi legenda dari Indonesia iaitu Hetty Koes Endang telah dilantik sebagai juri tetap bagi Gegarvaganza musim ini.

Siapakah yang bakal menyerlah di atas pentas Gegarvaganza nanti? Dan siapa pula yang akan merangkul gelaran juara yang diidam-idamkan oleh setiap peserta yang bertanding dan akan mengubah graf kerjaya nyanyian mereka?

Jangan lupa untuk menyaksikan konsert pertama Gegarvaganza 2019 yang akan bermula 13 Oktober 2019 bertempat di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada jam 9 malam.