Sharifah Zarina Pertaruh ‘Pernah Bahagia’

Setelah berjaya dengan dua album penuh sebelum ini, Sharifah Zarina kini muncul dengan single terbaharunya yang keenam, Pernah Bahagia.

Lagu yang telah siap sepenuhnya pada 1 Disember 2018 itu merupakan sebuah lagu berkonsep balada hasil sentuhan komposer terkenal, Sharon Paul serta lirik yang ditulis oleh pengacara popular, Ahmad Fedtri Yahya.

Pernah Bahagia mengisahkan tentang hubungan yang pernah bahagia suatu ketika dahulu. Kebahagiaan itu bagaimanapun kini hanya menjadi sesuatu yang dirindui.

Lagu ini bukan hanya untuk pasangan yang putus cinta, bahkan boleh ditujukan untuk mereka yang telah pergi selamanya atas sebab kematian.

Citarasa komposer lagu Pernah Bahagia ini agak berlainan kerana beliau mencipta beberapa tingkat nada, sesuai dengan vokal Sharifah Zarina dan digabungkan menjadi sebuah lagu.

Sebanyak empat kali proses pemilihan nada telah dilakukan sebelum penyusunan muzik dibuat.

Susunan muzik juga telah melalui beberapa proses yang begitu teliti bagi menghasilkan sebuah lagu dan bunyi yang mengikut rentak serta kesesuaian muzik terkini dan vokal penyanyi ini.

Proses pembikinan lagu Pernah Bahagia mengambil masa selama tiga bulan bermula September 2018 sehingga siap sepenuhnya pada awal Disember 2018.

Dimulakan dengan proses pemilihan lagu dan diikuti dengan proses penyesuaian nada sehinggalah ke penyusunan muzik dan akhirnya dirakamkan di Studio Musicwerk yang dimiliki oleh Sharon Paul sendiri.

Sentuhan daripada gabungan beberapa pemuzik tempatan yang sememangnya nama mereka sudah tidak asing lagi dalam industri muzik tanah air telah mewarnai lagu ini menjadi sebuah lagu yang penuh dengan elemen sentimental rock yang begitu menyentuh perasaan.

Diharapkan kehadiran lagu ini dapat mengubat kerinduan peminat Sharifah Zarina untuk mendengar suaranya kembali di corong-corong radio dan di medium lain.

Foto: Sony Music Malaysia