Sherry Alhadad Tidak Terdesak Cari Jodoh

Pelakon dan pengacara popular, Sherry Alhadad mengakui dia tidak pernah berasa terdesak untuk mencari pasangan hidup atau jodoh biarpun usianya kini sudah menginjak ke 35 tahun.

Jelas Sherry dia akur dengan ketentuan Tuhan dan percaya setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Oleh itu, dia kini lebih senang menumpukan perhatian kepada kerjaya daripada memikirkan perkara yang diluar kawalannya.

“Siapa yang tidak mahu berkasih-sayang dan mendirikan rumahtangga? Saya tidak nafikan keinginan itu memang ada, tetapi saya tidak terdesak.”

“Jodoh ini Allah yang tentukan. Oleh itu saya ambil sikap positif. Saya tidak melihat soal jodoh ini sebagai satu masalah besar. Apabila sampai masanya saya bertemu jodoh, pasti ada,” ujar Sherry kepada SalamToday.

Dalam masa yang sama, Sherry juga meluahkan rasa lega kerana pihak keluarga tidak pernah membangkitkan isu perkahwinan apabila mereka bertemu.

“Selalunya ramai yang cakap apabila balik kampung dan jumpa saudara-mara, mereka muak dengan soalan bila mahu berkahwin? Saya pula sebaliknya.”

“Setiap kali balik kampung, tidak ada saudara-mara yang sibuk bertanyakan tentang kahwin, sebaliknya mereka doakan saya agar bertemu jodoh yang baik. Saya rasa cukup bertuah kerana dikelilingi oleh insan-insan yang positif,” ujar Sherry.

 

View this post on Instagram

Nak tumpang? ?

A post shared by sherry_alhadad (@sherry_alhadad) on

Melihat kepada jadual kerjanya yang padat, pasti ada yang tertanya-tanya bagaimana Sherry membahagikan masa antara kerja dan hal-hal peribadi.

Tidakkah wanita ini meluangkan masa untuk diri sendiri, atau adakah kesibukkan tugas ini yang menghalang dia menjalinkan hubungan cinta?

“Alhamdulillah, setakat ini rezeki saya tidak putus-putus. Sama ada untuk lakonan mahupun mengacara. Tidak dinafikan saya memang sibuk, tapi tidaklah sampai tiada masa untuk diri sendiri. Ada juga tawaran yang saya tolak, terutamanya jika saya tidak yakin boleh laksanakannya dengan baik.”

“Kalau orang nak kata kesibukkan saya yang menjadi penghalang untuk saya bertemu jodoh, saya juga kurang setuju. Saya bersyukur kerana Allah berikan saya rezeki dalam bentuk lain. Benar, saya lambat bertemu jodoh, tetapi saya diberikan rezeki kesihatan, kerjaya dan rezeki untuk menjaga mak dengan baik,” ulas Sherry mengakhiri perbualan.

Kredit foto : Instagram Sherry Alhadad