‘Showtime 1958’ Papar Saat Getir Bintang Filem Studio Jalan Ampas

‘Showtime 1958’ merupakan satu projek filem yang memaparkan kisah perit perjuangan anak-anak seni di Studio Jalan Ampas suatu ketika dahulu.

Satu kisah yang belum pernah dikongsikan kepada umum. Saksikan bagaimana anak-anak seni dahulu berjuang demi kelangsungan hidup.

Suatu ketika dahulu Singapura merupakan sebuah pusat perfileman yang melahirkan ramai bintang filem Melayu.

Namun kemunculan televisyen hitam dan putih sebagai hiburan alternatif dan kemasukkan filem asing menjadi titik tolak kemerosotan industri filem Melayu di Singapura sekitar 1950an sehingga tertutupnya Studio Jalan Ampas setelah 20 tahun beroperasi.

Diinspirasikan daripada peristiwa benar yang dikongsi oleh seniman Allahyarham Datuk Jamil Sulong, filem ‘Showtime 1958’ adalah sebuah karya tulisan Anwardi Jamil yang turut menggalas tanggungjawab sebagai pengarah filem ini.

Filem ‘Showtime 1958’ akan memaparkan beberapa kisah yang disampaikan secara kejadian yang berlaku dalam tempoh dua puluh empat jam pada satu tarikh penting bagi bintang-bintang filem di Studio Jalan Ampas ketika itu.

1958 merupakan tahun getir bagi karier anak-anak seni yang mula goyang apabila Malay Film Productions ditekan dengan masalah kewangan.

Terdapat sebahagian besar anak seni yang berasal daripada Malaya mengambil keputusan untuk pulang ke tanah air bagi menyertai Merdeka Film Studio yang dibuka selepas Malaya mencapai kemerdekaan.

Menggandingkan bintang-bintang baharu dan lama seperti Shah Iskandar, Amai Kamaruddin, Fatin Afifah, Bell Ngasri dan Mubarak Majid, filem ‘Showtime 1958’ merupakan filem pertama terbitan Nafalia Corporation yang sebelum ini berpengalaman dalam menerbitkan drama dan rancangan bersiri untuk stesen-stesen televisyen tempatan.

Filem ‘Showtime 1958’ kini sedang menjalani penggambaran dan dijangka akan menemui peminat-peminat filem di seluruh negara termasuk Singapura dan Brunei pada awal 2020.

Untuk mengikuti perkembangan terkini mengenai Showtime 1958, anda boleh melihat akaun sosial media filem ini di Instagram: www.instagram.com/showtime.1958 dan Facebook: www.facebook.com/showtime.1958

Kredit foto : Didz Squad Studio