Siap siaga bertemu aneka cabaran dan ganjaran

Kehidupan Hanita Hassan 20-Mei-2020
Cabaran kini, ganjaran menanti © Abdul Razak Abdul Latif | Dreamstime.com

Kita perlu mengurus semula kehidupan kerana banyak hal yang terkait dengan COVID-19 yang melanda dunia turut melampias ke atas diri kita.  Ini termasuklah dalam mengurus emosi akibat pemberhentian kerja, mencari sumber kewangan baharu bagi mereka yang hilang pekerjaan serta mengatasi masalah rumah tangga sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan menunjukkan tahun 2020, penyakit mental dijangka menjadi masalah kesihatan kedua terbesar melanda masyarakat di Malaysia selepas penyakit jantung. Setiap tiga daripada 10 orang yang berusia 16 tahun dan ke atas cenderung mendapat penyakit mental.  Penyakit mental menyebabkan kemurungan, keresahan, bipolar (kecelaruan dwikutub emosi) dan skizofrenia (gangguan mental kronik).

Firman Allah SWT dalam Al-Quran, surah al-Mulk, ayat 2 mengingatkan setiap manusia pasti diuji untuk melihat kualiti amalan yang dikerjakannya.

“Dialah yang mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya, dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).” (Al-Mulk, ayat 2)

Tahun 2020 sudah hampir tiba ke pertengahan tahun.  Rata-rata kita masih  tidak melakukan banyak aktiviti.  Pandemik COVID-19 yang muncul pada Disember 2019 telah menyebabkan lebih empat bilion manusia terpaksa menjalani suatu norma baharu, iaitu terkurung di rumah.  Banyak rancangan telah kita fikirkan tetapi belum satu pun dapat dilaksana.

Kita masih disibukkan dengan angka-angka jangkitan dan jumlah kematian setiap hari.  Kita juga didedahkan dengan angka-angka dan data-data ekonomi yang begitu  membimbangkan.  Angka pengangguran di Malaysia pada Mac 2020 meningkat 17.1% kepada 610,500 orang, berbanding 521,300 orang pada bulan yang sama tahun 2019. Ini menyaksikan kadar pengangguran pada Mac meningkat kepada 3.9%.

Laporan Perangkawan Malaysia mendapati, ini berlaku akibat kesan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terhadap pasaran buruh. Pengangguran tertinggi Malaysia pernah dicatat pada kadar 7.4% pada tahun 1986.  Sejak 4 Mei 2020, Malaysia telah melaksana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan disambung sehingga 9 Jun depan.

Justeru, marilah kita lupakan gaya hidup lama yang boros dan bermewah-mewah, kita bina kesederhanaan agar sifar pembaziran dapat dikurangkan dan terus bertawakal dalam menghadapi dunia yang tidak menentu ini.   Sekiranya kita berupaya menghadapi perubahan kehidupan normal baharu sekarang, sudah tentu ganjarannya cukup besar menanti di hadapan.  Tidak kira orang baik atau jahat, orang mukmin atau kafir, masing-masing akan diuji.

Dalam siap siaga dan waspada, sentiasa membantu diri dan keluarga, kita juga sebenarnya membantu kerajaan memutuskan rantaian wabak. Inilah waktunya untuk kita melakukan banyak kebaikan, meringankan beban orang di sekeliling yang sedang menghadapi saat-saat sukar. Semoga ujian akan menjadikan kita mukmin yang semakin dekat dan sentiasa mengadu kepada Allah SWT.