Buletin SalamWebToday
Daftar untuk mendapatkan artikel SalamWeb Today setiap minggu!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Siapakah Abu Ayub Al-Ansari r.a?

Eropah 28 Dis 2020
Hanita Hassan
Siapakah Abu Ayub Al-Ansari r.a?
Siapakah Abu Ayub Al-Ansari r.a? (Gambar: Masjid Ayub Sultan di Istanbul, Turki) © Yahaya Shehu | Dreamstime.com

Saidina Abu Ayub Al-Ansari r.a atau Khalid Ibnu Zaid bin Kulaib dari Bani Najjari adalah antara sahabat Rasulullah SAW yang tinggi darjatnya di sisi Allah SWT.  Beliau juga antara sahabat paling rapat dengan Baginda Nabi.

Rumah Abu Ayub Al-Ansari r.a telah dipilih di antara rumah kaum muslimin lain oleh Nabi Muhammad SAW ketika Baginda tiba di kota Madinah. Kedatangan Rasulullah di kota Madinah pula begitu dinanti-nantikan oleh kaum Ansar.

Kaum Ansar menunggu Rasulullah SAW di Madinah

Kaum Ansar ingin memberikan sambutan yang paling baik kepada Rasulullah SAW. Semua mengharapkan agar Baginda memilih rumah mereka sebagai tempat persinggahan sementara berada di Madinah.

Ketika Nabi Muhammad SAW tiba di pinggir kota Madinah iaitu sebuah tempat bernama Qubah, Baginda telah tinggal beberapa hari di sana sebelum bergerak masuk ke kota Madinah. Perkara pertama yang dilakukan ialah membina sebuah masjid.

Sebagaimana yang dijelaskan dalam al-Quran yang bermaksud:

“Masjid yang didirikan atas dasar takwa.”

(Surah at-Taubah, ayat 108)

Kehadiran Rasulullah SAW ke kota Madinah dengan untanya telah disambut dengan meriah oleh pemimpin dan penduduk di sana.  Masing-masing berharap agar Baginda  memilih rumah mereka untuk bermalam.

Rasulullah SAW membiarkan unta yang ditungganginya memilih.  Di mana unta itu berhenti maka di situlah Baginda akan bermalam.  Setiap kali unta Baginda melewati sebuah rumah, tuan rumah akan berasa sedih dan kecewa kerana tidak dipilih.  Sehinggalah ia berhenti betul-betul di atas tanah di depan rumah Abu Ayub Al-Ansari r.a.

Siapakah Abu Ayub Al-Ansari r.a?

Rasulullah SAW tidak turun dari untanya tetapi membiarkan tali kekangnya terlepas.  Selepas beberapa ketika, unta itu berpusing semula dan berhenti di atas tanah tadi. Betapa gembiranya perasaan Abu Ayub Al-Ansari r.a serta isterinya menyambut kehadiran Rasulullah SAW.

Seolah-olah mereka dikurniakan Allah SWT dengan harta paling berharga di dunia.  Dengan penuh kasih sayang dia melayan Rasulullah SAW, memastikan tempat tinggal yang selesa dan menyediakan makanan yang paling baik.

Dia tidak akan makan selagi Rasulullah SAW tidak makan.  Baginda menginap di rumah Abu Ayub r.a selama tujuh bulan sementara menanti pembinaan masjid yang dibina di atas tanah tempat unta Baginda berhenti.

Abu Ayub r.a adalah gelaran yang membawa maksud ‘bapa kepada Ayub’ bagi memuliakan keturunannya.  Berasal daripada Bani Najjar.  Lahir pada 587 Masihi iaitu 16 tahun lebih muda daripada Rasulullah SAW.

Beliau dan isterinya adalah antara kelompok sahabat Rasulullah SAW yang membela kemuliaan Saidatina Aisyah r.a ketika difitnah selepas peristiwa Perang al-Muraisi.

Berperang dengan Rasulullah SAW, semasa Khulafah ar-Rasyidin dan Kekhalifahan

Beliau telah membidas ketua munafik, Abdullah bin Ubai yang menuduh Saidatina Aisyah r.a berkhalwat dengan Safwan bin al-Muattol.  Begitulah kasih sayang Abu Ayub r.a dan isteri terhadap Rasulullah SAW dan keluarga yang tidak terbanding.

Beliau sentiasa bersama-sama Rasulullah SAW dalam setiap peperangan sehingga ke zaman Khulafah ar-Rasyidin seterusnya ke zaman Kekhalifahan. Misi ketenteraan terakhir Abu Ayub r.a yang disertainya ialah menentang Konstantinopel di bawah Muawiyah dan dipimpin anaknya Yazid.

Meskipun sudah tua dan uzur serta mengidap penyakit malaria, beliau tetap gagahkan diri turut berjihad di jalan Allah SWT. Beliau berpesan kepada Yazid supaya memberitahu tentera Muslimin untuk menyerbu kawasan musuh sejauh yang boleh.

Abu Ayub r.a juga meminta supaya membawanya dan dikebumikan di bawah dinding kota Konstantinopel. Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa seorang lelaki soleh akan syahid dan dikebumikan di bawah dinding tersebut.

Sesungguhnya beliaulah lelaki tersebut, Abu Ayub Al-Ansari r.a. Misi menawan kota Konstantinople (kini Istanbul) akhirnya berjaya disempurnakan oleh Sultan Muhamad al-Fateh.