Siapakah aktivis penggodam Anonymous?

Teknologi Hannan
Pilihan oleh Hannan
Siapakah aktivis penggodam Anonymous?
Siapakah aktivis penggodam Anonymous? © Vitaly Sosnovskiy | Dreamstime.com

Apabila bercakap mengenai ‘hacktivist Anonymous, pasti ramai yang terus terbayang penggunaan topeng muka Guy Fawkes yang sinonim dengan kumpulan aktivis penggodam atau peretas ini.

Berasal daripada sebuah novel grafik yang bertajuk V for Vendetta, topeng Guy Fawkes telah digunakan di seluruh dunia sebagai satu tanda protes. Ini bukan sahaja oleh kumpulan Anonymous, tetapi oleh sesiapa sahaja yang ingin melakukan sebarang bentuk bantahan.

Jika anda mengikuti perkembangan semasa, pasti anda tahu mengenai gerakan terbaharu yang dilancarkan oleh kumpulan Anonymous Malaysia terhadap kerajaan menerusi #OpsWakeUp21.

Menurut Anonymous Malaysia, mereka tidak akan berdiam diri lagi ke atas kerajaan yang culas dalam menjaga privasi rakyat. Tambah lagi, mereka mendakwa kerajaan sengaja berdiam diri dan membiarkan data peribadi pengguna terus bocor dan dijual kepada pihak ketiga.

Walau bagaimanapun, siapa sebenarnya yang berselindung di sebalik topeng Anonymous ini? Dari manakah mereka datang dan apa misi mereka yang sebenarnya?

Aktivis penggodam – siapakah Anonymous?

Gerakan Anonymous dipercayai telah bermula di sebuah laman sesawang yang dikenali sebagai 4chan pada awal tahun 2000. Mereka mula mendapat nama setelah melakukan serangan siber terhadap Church of Scientology melalui Project Chanology.

Seperti kultus lain, Scientology sudah lama mempunyai reputasi yang buruk terhadap ahli-ahlinya. Ramai yang telah diperas ugut dan ditipu semasa berada di bawah organisasi ini.

Malah, tindakan Scientology yang bertindak membuang video kontroversi yang memaparkan Tom Cruise memuji-muji agama ini telah membuatkan kumpulan Anonymous berang. Menurut Anonymous, tindakan Scientology ini telah mencabuli hak kebebasan bersuara.

Kesan daripada serangan ini, kumpulan Anonymous telah berjaya mengerakkan protes di luar pejabat Chruch of Scientology di seluruh dunia. Malah, mereka juga telah melancarkan serangan DDos terhadap laman sesawang kultus ini.

Pada tahun 2010 pula, Anonymous dikatakan bertanggungjawab ke atas serangan siber ke atas Visa, MasterCard dan PayPal. Ia berlaku selepas semua servis kewangan ini bertindak menyekat sumbangan orang ramai kepada WikiLeaks.

Melalui serangan ini, PayPal telah mengalami kerugian hampir $5.5 juta. Alamat IP penggodam telah diserahkan kepada FBI yang kemudiannya bertindak menahan seramai 14 orang suspek. Pada Disember 2013, 13 daripada mereka mengaku bersalah kerana terlibat di dalam projek tersebut.

Hilang sebentar sebelum muncul semula

Kegiatan  Anonymous memuncak sekitar tahun 2010-2011. Walau bagaimanapun, kumpulan aktivis penggodam ini seakan-akan hilang daripada pandangan umum. Namun, mereka muncul semula untuk membela nasib George Floyd, mangsa ketidakadilan polis di Amerika Syarikat.

Kematian George Floyd bukan sahaja mencetuskan kemarahan dalam kalangan rakyat Amerika sendiri, malah ia juga telah menjadi perhatian media antarabangsa.

Disebabkan ketidakadilan yang berlaku, kumpulan Anonymous bertindak keluar daripada bayang-bayang dan bersumpah akan mendedahkan semua jenayah yang dilakukan oleh polis kepada dunia.

Malah, mereka juga berjaya melancarkan serangan DDos (Distributed Denial-of-Service) atau serangan penolakan perkhidmatan yang diedarkan, iaitu mengganggu lalu lintas normal ke laman sesawang Minneapolis Police Department. Walau bagaimanapun, pihak polis menafikan serangan ini merupakan angkara Anonymous.

Sebenarnya, ada banyak lagi kegiatan hacktivism yang digerakkan oleh kumpulan ini. Apa yang diceritakan di dalam artikel ini hanya meliputi sebahagian kecil daripada aktiviti kumpulan Anonymous.

Walau bagaimanapun, dengan kuasa yang ada di dalam tangan mereka, nyata mereka telah memilih untuk menggunakannya ke arah yang baik dan bukannya kejahatan. Tetapi, niat sebenar kumpulan yang sering diberi jolokan nama ‘Robin Hood Alaf Baru’ ini masih belum pasti hingga ke hari ini.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.