Siapakah sebenarnya Malala Yousafzai?

Wanita 26 Feb 2021 Hannan
Pilihan oleh Hannan
vogue.co.uk-malala-yousafzai
Siapakah sebenarnya Malala Yousafzai? (foto: Malala di Universiti Oxford, England) © vogue.co.uk

Malala Yousafzai bukanlah satu nama yang asing bagi pendengaran kita. Bagi mereka yang minat membaca, pasti ramai yang pernah melihat buku ‘I Am Malala’ menghiasi rak-rak di kedai buku yang menjadi bestseller suatu ketika dahulu.

Tetapi, siapakah sebenarnya wanita cekal yang berada di sebalik nama Malala ini?

Siapakah sebenarnya Malala Yousafzai? 

Ketika beliau berumur 15 tahun, seorang penembak bertopeng telah menaiki bas sekolah Malala. Pengganas tersebut sempat bertanya, ‘Siapa Malala?’ sebelum bertindak menembak kepala Malala pada bahagian kiri.

Malala terselamat, tetapi beliau perlu melakukan beberapa pembedahan di United Kingdom. Selepas sepuluh hari berada di bawah keadaan koma, Malala akhirnya tersedar.

Beliau tidak mengalami sebarang kecederaan otak, namun peluru tersebut telah menyebabkan sebahagian wajah Malala lumpuh. Oleh sebab itu, beliau memerlukan banyak lagi pembedahan susulan untuk membetulkan struktur wajahnya kepada asal.

Namun, semangat beliau untuk terus berjuang tidak pernah luntur. Pada tahun 2014, Malala telah menerima Hadiah Nobel Keamanan disebabkan perjuangannya dalam menuntut hak pendidikan lantas menjadi penerima yang paling muda dalam sejarah.

Perjuangan Malala Yousafzai menentang Taliban

Malala Yousafzai mula mendapat perhatian pada tahun 2009 apabila beliau menulis diari untuk BBC Urdu tentang kehidupannya di bawah cengkaman Taliban. Beliau telah menulis menggunakan nama pena Gul Makai dan memanggil tempat tinggalnya ‘my Swat’ yang menandakan beliau amat menyayangi tempat asalnya itu.

Di dalam diari tersebut, Malala menulis tentang keinginannya untuk belajar dan pergi ke sekolah. Posting pertama di blog Malala bertajuk I am Afraid dan bertarikh 3 Januari 2009. Malala menulis mengenai ketakutan yang menyelubungi mereka setelah Taliban menjejakkan kaki di Swat.

Kanak-kanak perempuan dilarang bersekolah, manakala wanita pula dilarang keluar rumah untuk membeli belah ataupun membeli barang keperluan.

Walau bagaimanapun, tujuan utama Malala menulis adalah untuk menentang larangan ektremis Taliban yang tidak membenarkan kanak-kanak perempuan untuk terus bersekolah. Malah, pada tahun 2008, Taliban telah bertindak memusnahkan hampir 150 buah sekolah di Pakistan.

Diari Malala telah mendapat perhatian ramai dan beliau mula mendapat nama. Malala disebut-sebut sebagai heroin Pakistan yang berani bersuara menuntut hak beliau untuk belajar.

Walau bagaimanapun, tindakan Malala ini telah membuatkan Taliban tidak senang duduk. Perkara inilah yang telah mencetuskan peristiwa berdarah pada bulan Oktober 2012. Berita mengenai kecelakaan yang menimpa beliau telah sampai ke pengetahuan jutaan lagi manusia di seluruh dunia.

Kepentingan pelajaran dalam hidupnya

Kini beliau telah menjadi seorang ikon dan mendapat sokongan pelbagai pihak di seluruh dunia. Ketika Malala berumur 16 tahun, beliau telah bercakap kepentingan pelajaran di United Nations yang bertempat di New York.

Pada tahun yang sama juga beliau menulis autobiografi yang bertajuk ‘I Am Malala: The Girl Who Stood Up for Education and Was Shot by the Taliban’.

Di dalam perjuangan Malala menentang Taliban, bapanyalah yang menjadi penyokong utama. Malah, bapa beliau sendiri merupakan seorang aktivis yang lantang bersuara mengenai hak kanak-kanak untuk mendapat pendidikan.

Pada tahun 2014, Malala Yousafzai dan bapanya menubuhkan Tabung Malala untuk menyokong wanita di seluruh dunia. Melalui tabung inilah Malala berjaya membantu pelarian Syria di Jordan dan pelajar-pelajar perempuan di Kenya.

Kini, Malala baru sahaja menamatkan pengajiannya di Universiti Oxford dalam bidang filosofi, politik dan ekonomi. Menurut Malala, perjuangan masih belum tamat dan sebenarnya baru sahaja bermula.