Siapapun ibu bapamu, hormatilah mereka!

Keluarga 12 Apr 2021 Siti Nur Baiin Che Harun
Pendapat oleh Siti Nur Baiin Che Harun
Siapapun ibu bapamu, hormatilah mereka!
Siapapun ibu bapamu, hormatilah mereka! © Paulus Rusyanto | Dreamstime.com

Kita sering mendengar tentang ‘menghormati ibu bapa adalah kunci untuk memperoleh keberkatan dalam kehidupan’. Jika disiratkan segala pengorbanan ibubapa, tidak ada perkataan yang boleh mendiskripsi betapa agung dan mulianya kedudukan ibu bapa dalam Islam.

Allah memerintahkan kita supaya menghormati ibu bapa. Perintah yang dimaksudkan sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).”

(Surah Luqman, ayat 14)

Dalil kepada hukum berbuat baik kepada ibu bapa

Allah Taala berfirman yang bermaksud:

“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘Ah’, dan janganlah engkau membentak mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

(Surah Al-Isra’, ayat 23)

Hari ini, terdapat banyak isu keruntuhan dalam institusi kekeluargaan. Anak-anak yang kurang didikan agamanya, tidak tahu untuk menghormati ibu bapa. Mereka seolah-olah mengabaikan hukum dan perintah dari Allah SWT tentang menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa. Betapa Allah murka anak yang derhaka.

Siapapun kedudukan kita, apa pun pekerjaan kita, semua itu tidak menang dan tidak lebih dari besarnya nilai keberkatan menjadi anak yang soleh. Sehebat mana sekalipun kita, kedudukan, pangkat, kelebihan yang kita kecapi di dunia tidak akan bermakna jika tidak tahu untuk menghormati ibu bapa.

Semua kelebihan itu menjadi sia-sia bukan saja di dunia lebih-lebih lagi di akhirat. Semua amalan tidak diberkati dan menjadi penyebab kepada semua amalan muflis di akhirat.

Kejayaan yang digapai itu sebenarnya ada terselit keberkahan dan makbul doa dari ibu bapa. Jangan terlalu angkuh, sombong, bongkak dan berjalan mendongak ke langit. Realitinya, kita tidak akan mengerti perasaan menjadi ibu bapa selagi kita tidak merasa sendiri menjadi ibu bapa. Hormatilah dan bahagiakanlah ibu bapa kita selagi mereka masih hidup.

Dosa dan hukuman derhaka kepada ibu bapa

Rasulullah SAW pernah bersabda:

“Setiap dosa akan dilewatkan oleh Allah hukumannya mengikut kehendak-Nya sehingga hari kiamat kecuali derhaka kepada ibubapa. Maka sesungguhnya Allah akan menghukumkan kepada pelakunya semasa hidup sebelum kematian lagi.”

(Hadis riwayat al-Hakim, 7263)

Lihat, betapa Allah SWT melaknat mereka yang derhaka kepada ibu bapa. Balasan bagi mereka yang derhaka terhadap ibu bapa pasti akan dibalas di dunia lagi.

Jika kehidupan kita seperti tidak tenang dan tidak bahagia, semaklah hubungan kita dengan ibu bapa, bagaimana perkataan yang dilontarkan, adakah ia mengguris hati mereka. Mohon maaf atas segala yang telah dilakukan, keluarkanlah kata-kata yang baik untuk mereka.

Apa erti berjaya di dunia tanpa tahu menghormati ibu bapa

Ada di kalangan kita berjaya dari segi akademiknya, memiliki perniagaan yang maju, menjadi orang-orang yang terkenal, akan tetapi gagal dan tidak beradab dan tidak menghormati ibu bapa. Apabila kuasa telah menguasai diri, terasa diri lebih dan hebat,

Allah Taala menguji hamba-Nya dengan melihat bagaimana mereka melayan ibu bapa. Mengherdik, memperlekeh, menghina, merendahkan maruah, mengeluarkan kata-kata kesat, bercakap dengan meninggikan suara, semua ini adalah akhlak terkutuk dan dilaknat oleh Allah .

Derhaka kepada ibu bapa termasuk dosa besar:

“Dan orang yang berkata kepada kedua ibu bapanya: “Ah!* (kata-kata kalimah, atau isyarat yang bernada menentang) Apakah kamu berdua (bapa dan ibu) memperingatkan kepadaku bahawa aku akan dibangkitkan semula (dari kubur), padahal bererapa umat sebelumku telah berlalu (tiada yang datang kembali)? Lalu kedua ibu bapanya itu merayu memohon pertolongan daripada Allah. “Celaka kamu, Berimanlah! Sesungguhnya janji Allah itu benar”. Lalu anak itu menjawab (dengan angkuhnya): “Ini hanyalah cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu.”

(Surah Al-Ahqaf, ayat 17)

Jadilah anak-anak yang tahu menghormati ibu bapa. Jangan dirasa diri lebih kerana semua itu tidak diiktiraf amalannya oleh Allah SWT.