Sifat-sifat orang bertakwa

Kehidupan Abi Aasim 19-Ogo-2020
Sifat-sifat orang bertakwa © Anubhab Roy | Dreamstime.com

Firman Allah SWT dalam surah Al-Hujurat, ayat 13:” Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).

Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah SWT ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”

Dalam dunia yang semakin moden ini, pesan takwa yang begitu penting untuk kejayaan umat Islam seakan-akan tenggelam  ditelan keghairahan manusia mengejar cita-cita dunia. Lebih menyedihkan apabila ramai yang hanyut ditelan kuasa dan kemewahan dunia.

Ayuh marilah kita berusaha untuk kembali bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa. Allah telah menggariskan sifat-sifat orang yang bertakwa di dalam Al-Quran. Antara sifat-sifat orang yang bertakwa kepada Allah ialah:

  • Beriman dengan perkara-perkara ghaib – yakin dan percaya dengan perkara yang telah dinyatakan oleh Allah SWT di dalam kitab dan ajaran Nabi Muhammad SAW seperti sifat-sifat dan nama-nama Allah, alam akhirat dan juga kejadian dan kewujudan malaikat.
  • Mendirikan solat – menunaikan rukun Islam yang kedua ini dengan sempurna. Mendirikan solat fardu dan dilengkapkan dengan solat-solat sunat yang lain.
  • Mengeluarkan zakat dan bersedekah – berkongsi rezeki kepada golongan yang kurang bernasib baik dengan mengeluarkan zakat dan bersedekah kepada golongan yang memerlukan.
  • Beriman kepada Al-Quran dan kitab-kitab Allah SWT
  • Meyakini adanya kehidupan di akhirat selepas hari kiamat
  • Menepati janji apabila berjanji
  • Mempunyai sifat memaafkan orang yang melakukan kesilapan
  • Segera mengingati Allah SWT ketika tersilap melakukan kesalahan – Jika tersilap dan tergelincir membuat dosa, maka segera bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah.
  • Tidak bongkak dan melakukan kerosakan di bumi Allah SWT – Orang yang bertakwa yakin memelihara alam dan berbuat baik sesama makhluk adalah amanah dari Allah

Wahai kaum Muslimin dan Muslimat, marilah kita bermuhasabah adakah di dalam diri kita ini sudah ada sifat-sifat orang yang bertakwa? Jika belum, marilah kita berusaha untuk menjadi insan yang bertakwa.

Bagi kaum Muslimin, peringatan untuk bertakwa disampaikan oleh khatib setiap jumaat ketika membacakan khutbah. Semoga kita semua mampu berusaha menjadi insan yang betqwa kepada Allah. Ittaqullah!