Sifat ujub membinasa amalan

Iman Hanita Hassan 06-Ogo-2020
Ujub membinasa amalan © Llamadeanor | Dreamstime.com

Rasulullah SAW mengingatkan betapa ramai kalangan kita yang beribadat tetapi dirosakkan oleh sikap ujub.  Sehingga ujub membawa kebinasaan dan segala amalan ibarat angin memadamkan pelita. Sabda Baginda yang bermaksud:

“Ada tiga perkara yang membinasakan: sifat kikir, menurut hawa nafsu dan ujub dengan diri sendiri.”

(Hadis riwayat at-Tabrani)

Mengagungkan diri atau menganggap agung amal yang dilakukan

Imam Ghazali r.a mentafsirkan ujub sebagai mengagungkan diri atau menganggap agung amal yang dilakukan. Misalnya dengan mengatakan: “Akulah orang paling soleh, tidak ada orang yang melebihi kesolehanku.” Bisyr bin al-Harith al-Hafi menyebut: “Ujub itu ialah engkau merasa memiliki amal yang banyak dan menganggap amal orang lain sedikit.” (Lihat Hilyah al-Auliya, 8/348)

Para ulama pula menafsirkan ujub sebagai orang yang beranggapan bahawa kemuliaan amal soleh disebabkan adanya sesuatu perkara atau sebab, bukan kerana Allah SWT. Sifat lawan bagi ujub ialah ‘al-minnah’ iaitu mengingati pemberian Allah.

Sepertimana firman-Nya dalam al-Quran yang bermaksud:

“Maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dia lah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertakwa.”

(Surah al-Najm, ayat 32)

Ibn Kathir r.a dalam Tafsir al-Quran al-Azim, berkata:

“Yakni kamu memujinya, mensyukurinya dan bercita-cita dengan amalan kamu. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jangan kamu mensucikan diri kamu kerana Allah lebih mengetahui orang yang paling baik dalam kalangan kamu.”

(Hadis riwayat Muslim, 5733)

Hadis ini sebagaimana riwayat Amru bin Atha r.a berkata: “Aku menamakan nama anak perempuanku dengan Barrah (kebajikan atau kebaikan) lantas Zainab binti Salamah berkata kepadaku:  Rasulullah SAW melarang nama ini, sedangkan kamu menamakannya dengan Barrah.

Imam al-Nawawi r.a berkata hadis ini bermaksud: “Hendaklah menukar nama yang buruk atau yang makruh kepada nama yang baik.” (Lihat Syarah Sahih Musli, 14/120)

Muhasabah dan menginsafi diri daripada sifat ujub

Sesungguhnya kita harus segera merawat penyakit ujub itu sekiranya ia ada dalam diri.  Kita rawat dan hilangkan dengan proses penyucian diri.  Kita gantikannya dengan akhlak mulia.

Muhasabah dan menginsafi diri daripada sifat ujub serta memohon keampunan dan keredaan Allah SWT agar diri dihindarkan dengan sifat ujub. Memperbaiki diri dengan sifat ikhlas dalam beramal sesungguhnya hanya kerana Allah.

Setiap kebaikan dan kelebihan yang ada pada diri atau setiap benda yang dibanggakan, kembalikan semula kepada pemiliknya supaya kita menjadi orang yang benar.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Jangan sekali-kali engkau menyangka (wahai Muhammad, bahawa) orang-orang yang bergembira dengan apa yang mereka telah lakukan, dan mereka pula suka dipuji dengan apa yang mereka tidak lakukan – jangan sekali-kali engkau menyangka mereka akan terselamat daripada seksa, dan mereka pula akan beroleh azab yang tidak terperi sakitnya.”

(Surah al-i Imran, ayat 188)

Ujub ialah membesar-besarkan amalan soleh dan perasaan bahawa amalan itu adalah daripada dirinya bukan dengan sebab Allah SWT. Kita akan binasa disebabkan mengikut hawa nafsu dan cinta pujian.  Sesungguhnya sifat ujub adalah penghalang untuk kita mendapat taufik dan pertolongan.

Semoga Allah SWT menjauhkan kita daripada sifat ujub.