Silaturahim – berbuat baik demi reda Allah SWT

Sepanjang hidup, kita diuji melalui orang sekeliling. Ia sudah ditakdirkan kepada kita. Justeru, berhati-hatilah dengan sikap kita terhadap orang sekeliling. Fokus kita adalah melakukan kebaikan kepada orang, bukan mengharapkan balasan daripada mereka tetapi keredaan Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam al-Quran yang maksudnya:
“Dan Kami jadikan sebahagian kamu cubaan bagi sebahagian yang lain. Mahukah kamu bersabar?; dan adalah Tuhanmu Maha Melihat.”
(Surah Al Furqaan, ayat 20)
Contohnya, mungkin ada keadaan di mana kita tidak gembira dengan sikap ibu bapa terhadap kita. Kita mesti ingat agar bertindak berdasarkan keredaan Allah SWT.
Menjaga silaturahim sesama ahli keluarga
Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:
“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.”
(Surah Al Israa’, ayat 23)
Hidup bersama adik-beradik, tidak sependapat dalam sesetengah perkara adalah perkara biasa terutama apabila banyak masa dihabiskan bersama. Ini adalah fitrah semulajadi.
Sekiranya kita tidak pasti apa yang harus dilakukan dalam situasi ini, kita perlu mengingatkan diri apa yang diajar oleh agama tentang menjaga silaturahim sesama ahli keluarga.
Daripada Salman bin Amir bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Zakat kepada orang miskin adalah dikira zakat, dan kepada saudara mara dikira dua kelebihan, iaitu zakat dan silaturahim.”
(Hadis riwayat al-Nasai’e, 2582) dan Ibnu Majah, 1844)
Dalam kalangan rakan-rakan, adakalanya kita berkecil hati terhadap sesuatu yang diperkatakan salah seorang daripada mereka. Mungkin kita berbeza pendapat terhadap mereka mengenai beberapa perkara atau personaliti kita berbeza.
Apa pun alasannya, kita mesti sentiasa ingat apa yang diajarkan oleh Islam tentang sikap bertimbang rasa dan berdiam diri. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:
“Jika salah seorang daripada kamu sedang marah, maka hendaklah dia diam.”
(Hadis riwayat Ahmad, 2136)
Silaturahim dengan jiran, rakan, orang awam
Selain itu, menjaga jiran merupakan perkara yang dititikberatkan dalam Islam. Sekalipun tidak dapat bergaul rapat dengan semua jiran atau tidak sependapat dengan mereka, namun Allah SWT melihat usaha kita untuk merapatkan silaturahim.
Daripada Ibn Umar r.a bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:
“Jibril sentiasa berwasiat kepadaku agar berlaku baik kepada jiran sehingga aku menyangka bahawa jiran itu akan mewarisi hartaku.”
(Hadis riwayat al-Bukhari, 6015)
Di tempat kerja, kita berusaha membantu rakan apabila kita berkelapangan. Mungkin kita boleh menghulur bantuan kepada rakan sekerja dengan tugasan yang sedang mereka hadapi, walaupun mereka bukan wajib untuk dibantu. Tumpuan kita adalah membantu sesiapa sahaja demi ganjaran pahala Allah SWT.
Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:
“Tidak ada balasan kebaikan kecuali kebaikan (pula).”
(Surah ar-Rahman, ayat 60)
Apabila di tempat awam, kita perlu ingat satu perkara. Sebagai contoh, semasa kita membeli-belah, kita mungkin terlupa untuk berterima kasih kepada juruwang. Dengan sikap yang sopan dan berterima kasih kepada mereka, Allah SWT akan memberi ganjaran pahala kepada usaha kita.
Ini sesuai dengan sabda Nabi Muhammad SAW yang maksudnya:
“Setiap perbuatan baik adalah sedekah.”
(Hadis riwayat Bukhari, 5562)