Simfoni Klasikal Berbahasa Melayu Julang Nama Tengku Irfan

Walau setinggi mana pun kejayaan yang dikecapi, walau sehebat mana pun diri kita dikenali dan walau sejauh mana pun kaki kita melangkah pergi, jati diri sebagai anak Malaysia hendaklah sentiasa diingati.

Itulah prinsip yang dipegang oleh seorang anak muda berbakat besar yang kini dikenali sehingga di peringkat antarabangsa sebagai salah seorang pemain piano remaja yang diakui kehebatannya.

Tengku Irfan, 21 tahun, telah membuktikan bahawa tidak kira dalam apa jua bidang yang diceburi dan walaupun nama kita dikenali di seantero dunia, jati diri sebagai anak Malaysia tidak sesekali beliau lupakan.

“Saya selalu menggunakan bahasa Melayu dalam judul atau lirik sesetengah muzik ciptaan saya sebagai satu cara untuk mengenengahkan bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa.

“Antara simfoni klasikal ciptaan saya yang diberi tajuk dalam bahasa Melayu adalah seperti ‘Pengembaraan Minda Dan Kenyataan’, ‘Sahibul Hikayat Fantasy Overture’ dan ‘Tragedi Dewi Suria.

“Saya merasa terharu dan bangga apabila ada muzik ciptaan saya yang mengenengahkan bahasa dan unsur-unsur Melayu mendapat perhatian dan anugerah di peringkat antarabangsa,” ujar Irfan yang lebih cenderung meminati muzik klasikal.

Mempunyai bakat seni yang luar biasa, Irfan mula bermain piano seawal usia 7 tahun dan pada hari ini, beliau bukan sahaja merupakan seorang pemain piano, malahan komposer serta konduktor orkestra yang terkenal di peringkat antarabangsa.

Digelar oleh akhbar The New York Times sebagai ‘eminently cultured’, Irfan telah menempa kejayaan gemilang di persada muzik antarabangsa.

Antaranya adalah menjuarai pertandingan Aspen Prokofiev Piano Concerto No.2 dan berkolaborasi dengan orkestra seperti Singapore Symphony, São Paulo State Youth Orchestra dan Aspen Philharmonic Orchestra, serta tokoh muzik klasikal seperti Neeme Järvi, Nikolai Alexeev, Evan Rogister, Claudio Cruz dan Darrell Ang.

Ternyata, aura yang dimiliki Irfan untuk menarik minat para remaja seusianya terutamanya, untuk turut meminati muzik klasikal dan seni turut diperakui oleh Orkestra Filharmonik Malaysia (atau Malaysian Philharmonic Orchestra, MPO).

Sehinggakan MPO pada bulan Ogos 2018 telah melantik remaja tersebut sebagai Duta Remaja MPO bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-20 MPO pada tahun lepas.

Melalui perlantikan tersebut, Irfan bakal berkongsi pengalaman mengenai perjalanan seni beliau bersama MPO kepada masyarakat, memupuk kesedaran dan minat terhadap muzik klasikal dan seni secara keseluruhannya, menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk mengasah bakat semulajadi mereka serta terus mencapai cita-cita ke peringkat tertinggi melalui kerja keras dan usaha gigih.

 

 

Bagi Irfan, dirinya percaya penglibatannya dalam muzik klasikal boleh menyumbang kepada pengkayaan dan perkembangan minda seseorang.

“Muzik klasikal kurang dikenali di negara kita dan saya berharap muzik klasikal boleh disampaikan secara menyeluruh serta meluas agar dapat diterima di Malaysia, terutamanya oleh remaja dan kanak-kanak.

“Ini boleh dicapai melalui program-program muzik anjuran MPO yang membolehkan penglibatan serta interaksi yang lebih meluas antara peminat dan pemuzik muda atau baharu dengan ahli muzik MPO dan mereka yang telah lama berkecimpung dalam arena muzik klasikal,” jelasnya.

Selaku Duta Remaja MPO, pelbagai program telah dan akan dilaksanakan oleh Irfan dan MPO; antaranya seperti jelajah ke Sabah dan Sarawak pada tahun 2018 selain ke Perak, Kedah dan Pulau Pinang pada bulan Jun yang lalu.

Menerusi program-program tersebut, persembahan muzik klasikal dibawa ke tempat-tempat yang belum mendapat pendedahan muzik klasikal seperti di Kuala Lumpur.

Di setiap lokasi berkenaan, selain daripada konsert berbayar, MPO turut mempersembahkan konsert khas untuk pelajar-pelajar sekolah berserta dengan pengenalan kepada muzik klasikal dalam bentuk yang lebih interaktif.

Sementara itu, ditanya mengenai keunikan muzik klasikal, Irfan berkata, ia mengandungi banyak komponen seperti melodi, ‘counterpoint’, harmoni dan ‘phrasing’ serta banyak lagi.

“Walaupun komponen-komponen ini wujud dalam muzik lain, ia mempunyai ciri tersendiri yang unik dalam muzik klasik.

“Jadi, setiap kali saya dengar, memainkan atau mengkaji muzik klasik, saya akan mendapat inspirasi dan penemuan baharu serta menarik yang tidak akan didapati dalam muzik yang lain.

“Bahkan, banyak lagu moden sehingga ke hari ini, foundation dan asasnya adalah daripada lagu klasik juga,” katanya yang menjadikan pemuzik yang juga pencipta serta konduktor bertaraf tinggi di dunia seperti Leonard Bernstein sebagai idolanya.

Akhir sekali, disoal mengenai pegangannya dalam berjuang untuk menempa kejayaan, Irfan berkata, tidak kira dalam apa jua bidang yang diceburi, kita perlu mempunyai minat yang mendalam, kerja keras, semangat waja, usaha gigih dan tidak putus asa walaupun menemui banyak kegagalan.

“Jangan kita hadkan cita-cita hanya kepada apa yang telah dicapai oleh orang lain, walaupun pencapaian itu adalah yang terbaik yang pernah dikecapi oleh mereka.

“Sebaliknya, berusahalah dengan gigih ke arah apa yang anda kehendaki meskipun cita-cita itu belum berjaya diraih oleh sesiapa pun,” ujarnya.

Irfan memimpin orkestra buat pertama kali untuk MusicNova Orchestra untuk karya bertajuk ‘Nocturne’ pada tahun 2015 dan persembahan pertama karya bertajuk ‘Pengembaraan Minda dan Kenyataan’ di Lincoln Center, New York.

Komposisi beliau, ‘String Quartet’, telah memenangi anugerah ASCAP Charlotte Bergen dan ASCAP Morton Gould Young Composer pada tahun 2012, manakala ‘Sahibul Hikayat Fantasy Overture’ memenangi anugerah ASCAP Morton Gould Young Composer pada tahun 2014.

Karya beliau bertajuk ‘Keraian’ pula dipersembahkan buat pertama kali oleh New York Philharmonic manakala ‘Tragedi Dewi Suria’ dipersembahkan buat pertama kali oleh New York Virtuoso Singers.

Beliau juga telah diberi pernghormatan untuk menghasilkan komposisi bertajuk ‘Vivacity’ oleh Kristjan Järvi dan MDR Sinfonieorchester untuk persembahan di Leipzig Gewandhaus pada tahun 2016.

Sementara itu, Irfan akan mengadakan persembahan kolaborasi dengan MPO beserta Jun Markl sebagai konduktor pada 17 dan 18 Ogos 2019 bertempat di Dewan Filharmonik Petronas.

 

Tiket boleh dibeli pada harga RM141, RM113, RM84 dan RM56 di platform-platform seperti:

 

Laman web MPO: www.mpo.com.my

Nombor telefon: 03-2331 7007

Email: [email protected]

Facebook: Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO)

Instagram: @malaysianphilharmonicorchestra

Foto: Dewan Filharmonik Petronas/Malaysian Philharmonic Orchestra

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!

“Saya merasa terharu dan bangga apabila ada muzik ciptaan saya yang mengenengahkan bahasa dan unsur-unsur Melayu mendapat perhatian dan anugerah di peringkat antarabangsa,” ujar Irfan yang lebih cenderung meminati muzik klasikal.