Simu Liu Superhero Asia Pertama Untuk Filem Marvel

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Aktor dari Kanada, Simu Liu kini secara rasminya diumumkan sebagai hero filem Marvel,  Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings.

Ini menjadikan Simu Liu superhero pertama berketurunan Asia yang diangkat oleh Marvel Studios dan lebih membanggakan dia turut digandingkan bersama bintang Crazy Rich Asian, rapper Awkwafina dan bintang Hong Kong, Tony Leung.

Ketika majlis pengumuman pada Sabtu lalu, aktor berusia 30 tahun ini memberitahu impian menjadi superhero adalah satu impian paling gila dan sukar untuk menjelaskan perasaannya berhubung pemilihannya itu.

“Saya telah menghadiri ujibakat pada Selasa lalu, dan melakukan screen test pada Ahad. Ini adalah impian paling gila dan luar biasa. Saya tidak dapat menerangkan bagaimana perasaan saya ketika ini, ” ujar Simu yang sememangnya mengimpikan watak superhero Marvel itu.

Pada tahun 2014, Simu pernah membuat hantaran di Twitter yang berbunyi,- “Hey @Marvel, great job with Cpt America and Thor. Now how about an Asian hero?.

Pada tahun 2018, Simu sekali lagi menghantar pesanan kepada Marvel Studios dengan kata-kata,“OK @Marvel, are we gonna talk or what #ShangChi.”

Selepas diumumkan sebagai Shang-Chi, Simu telah mengulang tweet pada 2018 itu dengan menambah ayat; “Thanks for getting back to me.”

Simu Liu berasal dari China, tetapi kemudiannya berpindah ke Kanada bersama keluarganya ketika berusia 5 tahun.

Di Kanada, aktor ini dikenali melalui sitkom terbitan CBC Canadian, Kim’s Convenience sebagai Jung Kim. Selain itu dia juga pernah membintangi siri Fresh Off The Boat, Orphan Black, Slasher dan Bad Blood.

Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings’ akan menemui penonton pada 12 Februari 2021.

Sumber : https://people.com / https://www.cbc.ca

Kredit foto : Simu Liu Instagram