Sinar Bahagia Irma Hasmie

Irma Hasmie, satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Suatu ketika dahulu, kerlipan bintang figura ini bersinar terang di dunia seni tempatan. Dia yang dijulang sebagai Gadis Jelita 2004 menjadi buruan ramai penerbit filem mahupun stesen-stesen televisyen tempatan.

Tidak cukup dengan itu, wajahnya juga sering menjadi penghias kulit muka hadapan majalah-majalah gaya hidup. Akhbar-akhbar tempatan juga tidak mahu ketinggalan ‘menjual’ cerita tentang Irma Hasmie.

Namun landskap seni pelakon, pengacara dan model ini mula berubah apabila dia mengambil keputusan untuk tampil berhijab selepas menunaikan umrah pada tahun 2011. Penampilan Irma di acara hiburan Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (April 2011) menjadi bualan hangat pelbagai pihak.

Ramai yang mula berteka-teki tentang perubahannya itu. Malah, ketika itu ramai yang menganggap  perubahan Irma itu gara-gara putus cinta dengan pelakon, pelawak dan pengacara, Nabil Ahmad.

Kini sudah 8 tahun Irma Hasmie membawa imej wanita Muslimah. Bagi yang mengikuti perkembangan selebriti ini, anda pasti tahu bagaimana wanita ini mencorakkan kehidupannya. Cukup jelas, populariti bukan lagi keutamaan Irma. Kisah-kisah peribadi mahupun kerjaya seni Irma sudah makin jauh daripada pandangan media.

Peluang menjadikan Irma sebagai Wajah SalamToday membuka ruang untuk kami merisik khabar tentang perkembangan terbaru personaliti ini.

Selesa dengan pengacaraan

Sejujurnya tidak banyak yang boleh saya kongsikan dengan peminat-peminat tentang karier seni. Saya masih lagi setia dengan program bual bicara ‘Assalamualaikum’ di TV Al-Hijrah. Bukan saya mahu meninggalkan dunia lakonan, tetapi nampaknya Allah permudahkan rezeki saya ke arah bidang pengacaraan,” ujar Irma apabila diminta mengulas tentang kerjaya lakonannya yang semakin sepi.

Tambah Irma lagi, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk meninggalkan dunia lakonan. Tetapi dia harus akur dengan situasi semasa. Bukan kerana mendapat halangan daripada suami, Redza Syah Azmeer Mohd Redzuan, tetapi kerana komitmennya sebagai seorang pengacara dan juga seorang ibu.

“Sebenarnya saya tidaklah terlalu merancang, jauh sekali mahu meninggalkan dunia lakonan. Rindu kepada dunia lakonan memang ada. Itu tidak dinafikan. Tapi saya kena fikirkan keutamaan. Saya ada komitmen sebagai isteri,sebagai ibu dan ada bisnes yang mahu diuruskan. Jadi faktor-faktor ini tidak mengizinkan saya untuk memberi komitmen kepada lakonan. Sebabnya sebagai pelakon, seseorang itu perlu fokus untuk menghayati watak. Kena juga cari masa untuk study tentang watak yang ingin dijayakan. Lebih -lebih lagi kalau dapat yang tawaran berepisod. Jadi dari segi masa, saya rasa bidang pengacaraan lebih sesuai dengan status saya sekarang.

Rezeki saya pun Allah dah halakan ke arah pengacaraan. Kalau ikutkan ada sahaja penerbit yang hubungi untuk tawaran berlakon, tapi selalunya saya terpaksa tolak kerana jadual kerja yang padat serta perlu menjalani penggambaran di luar Kuala Lumpur. Saya tidak boleh tinggalkan anak-anak, sebabnya saya yang uruskan anak-anak dengan bantuan suami. Saya tiada pembantu rumah,”ujar Irma berkongsi cerita.

Bercerita lanjut tentang perniagaan onlinenya, Irma memberitahu selain mempunyai koleksi tudung bawal dan shawl, dia juga ada berkerjasama dengan beberapa jenama fesyen tempatan yang lain.

“Saya ada koleksi tudung bawal dan shawl sendiri. Saya jual secara online di bisnes online http://irmahasmie.com.my/ dan www.shopee.com.my/hasmieofficial . Bisnes ini pun memerlukan komitmen yang tinggi dari segi masa dan tenaga. Sebab itu saya katakan tadi, keadaan tidak mengizinkan untuk saya menerima tawaran lakonan,” tambah Irma lagi.

Mahu terus Istiqamah

Jika diimbas, Irma merupakan insan-insan seni yang paling awal mengenakan hijab dan sehingga kini dia terus istiqamah biarpun cabarannya bukan sedikit. Tidakkah terdetik di hatinya yang dia mungkin sudah banyak melepaskan banyak peluang apabila mengenakan hijab?

“Saya tidak pernah menyesal dan saya yakin ini adalah yang terbaik untuk saya. Turning point saya mahu berhijrah berlaku ketika saya berada di Mekah, iaitu ketika saya mengerjakan umrah. Bukan kerana putus cinta atau sebaliknya. Insiden-insiden yang berlaku di Mekah membuatkan saya nekad untuk berubah,” ulas Irma yang mengakui dia sebenarnya tidak bersedia ketika pertama kali mengerjakan Umrah.

“Masa pergi Mekah buat pertama kali, saya sebenarnya masih belum bersedia, tetapi entah bagaimana Allah buka pintu hati saya untuk ke sana. Saya langsung tak buat persiapan. Tak tahu pun apa itu Umrah. Saya langsung tidak pernah pegi kursus umrah yang diadakan pada setiap hujung minggu. Jemputan Allah itu memang miracle. Saya ikut sahaja apa yang telah diaturkan.

Saya betul-betul belajar tentang umrah hanya ketika dalam penerbangan ke Mekah. Saya baca buku panduan dalam penerbangan. Dek tidak buat apa-apa persiapan, saya akui yang saya sebenarnya bimbang dan takut untuk menjejakkan kaki ke rumah Allah itu.

Sebabnya, kita sering mendengar kisah-kisah orang yang pegi mekah tidak boleh pijak tanah, tiba-tiba jatuh sakit dan macam-macam lagi. Namun, Alhamdulillah urusan saya dipermudahkan. Hati saya tersentak kerana Allah menerima kehadiran saya. Masa tu saya rasa malu sangat dengan Allah. Rasa macam tak boleh nak angkat muka. Saya mula terfikir, seteruk-teruk aku Allah masih sayangkan aku. Masih boleh terima aku sebagai tetamu di Tanah Suci. Malah,memudahkan urusan saya di sana.

Malah apa sahaja yang terdetik di hati saya ketika itu semuanya dapat. Itu belum lagi saya menadah doa. Hanya terlintas di fikiran. Allah mendengar setiap perkara yang terdetik di dalam hati saya. Jadi bila semua itu berlaku saya yakin Allah Maha Mendengar dan itu membuat saya yakin untuk berubah.

Masa nak balik saya doa pada Allah tolong tetapkan hati saya untuk terus istiqamah. Saya minta Allah permudahkan urusan saya apabila pulang ke Malaysia. Saya kata kalau sebelum ini Kau bagi aku rezeki yang tidak putus-putus, takkan selepas aku kembali kepadaMu aku tak dapat rezeki yang lebih baik. Saya percaya dan yakin Allah akan buka pintu-pintu rezeki untuk saya. Buktinya apabila balik ke Malaysia, saya dapat tawaran dari TV Alhijrah sebagai pengacara,” ulas Irma panjang lebar.

Ambil masa sesuaikan diri

Mengimbas kembali detik-detik di awal penghijrahannya, Irma mengakui dia mengambil masa untuk sesuaikan diri. Ini kerana ketika itu tidak mudah mencari kelas-kelas agama. Malah dia juga berhadapan dengan masalah mencari tudung-tudung untuk digayakan.

“Selain susah mendapat tawaran berlakon, saya juga susah untuk dapatkan ilmu-ilmu agama sebab ketika itu internet tidak seperti sekarang ini. Mana ada kuliah-kuliah online seperti sekarang, jadi di awal penghijrahan, saya memang struggle. Mujurlah ketika itu kawan baik saya turut berhijrah, jadi kami sama-sama mencari guru untuk dapat tunjuk ajar.

Selain itu, saya juga dapatkan nasihat Wardina Safiyyah yang ketika itu sudah berhijrah. Saya bina keyakinan diri daripada pengalaman-pengalaman mereka yang terlebih dahulu berhijrah.  Kalau tentang fesyen, memang susah mahu dapatkan tudung yang trendy. Dulu tudung sarung sahaja yang mudah untuk dicari. Lagipun mana ada jenama-jenama tudung popular ketika itu,” kongsi Irma.

Biarpun sulit untuk mendapatkan bimbingan, Irma tidak pernah putus berdoa agar Allah mudahkan perjalanan hijrahnya. Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, tiba-tiba ada ustaz yang menawarkan diri untuk mengadakan kelas agama untuknya dan juga rakan-rakan industri yang lain.

“Pasti ada yang masih ingat, tisak lama dahulu saya dan rakan-rakan ada menganjurkan kelas Usrah Fitrah untuk rakan-rakan artis dan juga pemain-pemain industri. Kelas yang diadakan secara percuma ini adalah hasil idea seorang ustaz yang mahu membantu golongan artis yang mahu memperbaiki diri.

Dia yang tunjukkan jalan kepada saya untuk buat Usrah Fitrah. Tugas saya hanya war-warkan kepada rakan-rakan yang berminat, dan syukur kelas itu mendapat sambutan yang memberangsangkan. Banyak ilmu yang kami dapat menerusi kelas itu, malah ada rakan artis yang akhirnya turut berhijrah seperti Diana Amir dan Yatt Hamzah.”

Ikon Kemanusiaan IRM dan Perunding Imej

Jika anda mengikuti Irma Hasmie secara dekat, pasti anda tahu wanita berusia 37 tahun ini aktif dengan kerja-kerja sularelawan atau kemanusiaan yang dianjurkan oleh Islamic Relief Malaysia (RIM). Selepas 8 tahun bersama IRM, bermula Februari lalu Irma secara rasminya telah dilantik sebagai Ikon Kemanusiaan IRM bersama Diana Amir, Kumpulan Saujana, Ashraf Muslim dan ElFaezah UlHaq.

“Saya mula terlibat dengan kerja-kerja amal selepas bergelar pengacara. Melalui IRM, saya mengenali tentang kerja-kerja sukarelawan. Jika ada masa yang terluang, saya akan sertai aktiviti-aktiviti yang mereka anjurkan.  Saya manfaatkan status saya sebagai  untuk menyebarkan pelbagai maklumat mengenai IRM dan mungkin kerana itulah pihak IRM melantik saya sebagai Ikon Kemanusiaan mereka sejak Januari lalu.

Dengan kontrak Ikon Kemanusiaan selama dua tahun ini, saya perlu menghebahkan aktiviti-aktiviti yang mereka lakukan dengan lebih giat lagi. Saya kena gunakan sosial media dan platform media yang ada bagi memastikan IRM dapat mencapai sasaran mereka seperti mendapatkan dana untuk binaan telaga air di Somalia,” ujar Irma.

Lebih membanggakan kini suami Irma turut jatuh cinta dengan kerja-kerja sukarelawan. Selepas turut sama melibatkan diri dengan beberapa aktiviti, Redza kini sudah bekerja dengan IRM secara sepenuh masa.

Satu lagi perkara yang mungkin ramai yang tidak tahu ialah Irma kini sudah mempunyai kelayakan sebagai Perunding Imej. Bukan itu sahaja Irma sudah mula mengendalikan kursus dalam bidang ini.

“Sudah hampir setahun saya terlibat dengan bidang ini. Saya berguru dengan isteri Datuk Fazley, Datin Azrene. Saya ambil sijil pada awal tahun lalu dan sijil ini berdaftar dengan Associate Of Image Consultant International (AICI). Saya tidak rasa bidang ini terlalu jauh bezanya dengan bidang lakonan dan pengacaraan yang saya ceburi sebelum ini.

Pengalaman saya sebagai anak seni sedikit sebanyak membantu saya mengendalikan latihan. Saya percaya ini bidang ini punya permintaan yang baik dan ia sesuatu yang berbaloi untuk diterokai. Setakat ini saya gembira dengan apa yang saya lakukan. Orang pun dah mula memberi kepercayaan kepada saya. Tidak mustahil jika suatu hari nanti rezeki saya akan beralih ke sini pula” kongsi Irma.

 

Di Sebalik Wajah Salam

  • Wajah Salam : Irma Hasmie
  • Gambar : Bustamam Mokhtar, White Studio
  • Penyelaras & Pengurus Projek : Shah Shamshiri
  • Teks (Bahasa Melayu) : Rahayu Mat Nah
  • Suntingan : Ili Farhana
  • Penata Gaya : Helmi Anuar
  • Konsep & Arahan Seni : Helmi Anuar
  • Jurusolek : Saidatulnisa Aminuddin
  • Busana : Khatreena
  • Hijab: Milik Penata Gaya
  • Pereka Grafik : Asyraf Tamam