Sinar PKP melestari alam

Sungai Melaka Bandaraya Bersejarah © Davidgn | Dreamstime.com

Laporan dunia menunjukkan, kualiti alam sekitar semakin baik ketika global berhadapan dengan wabak COVID-19. Langit sudah kembali biru dan sungai semakin jernih.

Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor yang tercemar akibat toksik dan dipenuhi tompokan minyak semakin pulih.  Sungai Melaka tumpuan pelancong yang dahulunya berwarna coklat seumpama teh tarik kini  lebih jernih  dan berwarna kehijauan. Sungai Klang, jumlah sampah yang dikeluarkan berkurangan 43%.

Tahun ini dunia meraikan Hari Bumi ke-50 pada 22 April lalu dengan lebih bermakna.  Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), alam sekitar semakin pulih dengan pengurangan karbon dioksida yang lebih tinggi.  Hari Bumi adalah hari untuk orang ramai meraikan planet iaitu bumi dan menekankan betapa pentingnya kita memulihara alam demi generasi hari ini dan generasi akan datang.

Firman Allah SWT dalam Al-Quran yang bermaksud:  “Telah jelas kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).”  (Surah al-Rum, ayat 41)

Kesedaran memulihara alam perlu dipupuk dan dijadikan tanggungjawab secara kolektif serta berterusan.  Kita sudah melihat kesan akibat pembangunan tidak teratur yang hanya menekankan faktor keuntungan semata-mata.

Dalam usaha menjadi sebuah negara maju, ia bukan semata-mata kerana adanya bangunan pencakar langit tetapi juga kerana pemuliharaan alam sekitar yang sistematik sehingga kita dapat menyelenggara sungai, mengelakkan daripada tercemar dan memastikan hutan tidak tandus dengan kualiti udara terus terpelihara.

Islam menekankan kepentingan melindungi alam sekitar dengan meminta pengikutnya tidak menebang pokok, mencemarkan sungai dan udara.  Nabi SAW juga mengajar umatnya sentiasa melindungi haiwan dan tumbuhan.

Daripada Anas, beliau berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:  “Tidak ada seorang muslim pun yang menanam pokok atau mengusahakan pertanian lalu burung, manusia atau binatang memakan daripadanya kecuali akan mendapat sedekah untuknya.”  (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

COVID-19 sebenarnya mengajar kita bahawa prinsip asas hubungan manusia dan alam itu perlu dipulihara.   Semua hidupan mempunyai hak untuk hidup di bumi. Ia bukan sekadar  penghias alam, tetapi untuk  manfaat manusia seluruhnya. Alam sekitar pula memberi perkhidmatan asas untuk kehidupan manusia dan mencemar alam seumpama merobek diri sendiri.

Sesungguhnya Allah SWT menghadirkan serangan halus yang digelar COVID-19 ini untuk memberi pengajaran kepada kita tentang kepentingan menjaga alam sekitar.  Semoga suasana alam yang bersih yang sedang kita lalui ini akan berterusan demi masa hadapan yang lebih baik kepada semua makhluk Allah SWT di muka bumi ini.