Sindiran Halus ‘The Working Dead’

guy at photocopy

Dalam menelusuri arus pemodenan dan dunia teknologi di hujung jari, setiap daripada kita saban hari mengejar kesibukan kerja, dari pagi hingga ke malam, membawa ke hujung minggu.

Tanpa kita sedari, kesibukan tersebut telah menjadikan kita tidak ubah seperti hamba kerja, yang jasadnya dilihat berjalan, makan dan tidur, namun fikiran dan hatinya ligat berfikir tentang kerja.

Itulah persoalan yang dibangkitkan oleh Nicole-Ann Thomas, pengarah bagi sebuah pementasan komedi muzikal oleh KuLT Productions, The Working Dead.

 

Diketengahkan secara sindiran halus melalui watak zombie yang bekerja, Nicole-Ann bijak memaparkan persoalan tersebut dengan mencipta karakter-karakter zombie atau mayat hidup bagi melambangkan sikap manusia yang bekerja tanpa rehat dan menyerahkan seluruh kehidupannya kepada kerjaya.

The Working Dead mengisahkan mengenai kehidupan Edwin, seorang lelaki dan suami yang masih muda yang memegang jawatan penting di sebuah syarikat korporat milik seorang ahli perniagaan yang tamak dan mementingkan diri, Chan.

 

Edwin merupakan seorang lelaki yang sangat berdedikasi terhadap kerjayanya, sehingga dia sanggup bekerja siang dan malam, meskipun ketika sakit semata-mata demi rasa tanggungjawabnya kepada kerja dan hasratnya yang ingin memberi kehidupan selesa kepada isterinya.

Sikapnya itu tanpa disedarinya membuatkan isterinya, Sarah sering berkecil hati kerana Edwin sukar sekali untuk meluangkan masa bersama Sarah, walaupun hanya untuk keluar makan malam bersama.

 

Malang tidak berbau apabila Edwin mati secara mengejut kerana tidak cukup rehat dan tekanan kerja.

Di sinilah Nicole-Ann bereksperimen dengan mencipta karakter zombie, di mana Chan, seorang bos yang tamak telah menggunakan khidmat bomoh untuk menghidupkan kembali Edwin dan berkhidmat kepada syarikat itu tanpa rehat kerana dia telah menjadi zombie.

 

Apakah yang dilakukan oleh Sarah, selaku isteri Edwin dan rakan-rakan sepejabat Edwin untuk menghentikan perbuatan jahat Chan itu? Adakah mereka turut sama terlibat dalam kegiatan tersebut kerana mahu Edwin terus berada di sisi mereka?

Pelbagai babak menarik dan lucu di samping dialog-dialog sindiran halus diketengahkan dalam pementasan komedi muzikal yang diterbitkan oleh Penerbit Eksekutif merangkap penulis lirik, Terence Toh ini.

Setinggi pujian perlu diberi kepada Terence; komposer, Lydia Tong dan pengarah muzik, Kelvin Loh atas penghasilan lagu-lagu yang enak didengar, yang dinyanyikan dengan merdu sekali oleh para pelakonnya serta diiringi oleh barisan pemuzik yang handal.

 

Ternyata, The Working Dead mampu ‘menjentik’ kesedaran dalam diri penonton mengenai sikap kita yang terlalu mengejar kebendaan dan mendedikasikan 100% kehidupan kepada kerjaya, tanpa mengambil kira hal-hal lain termasuk menjaga hati orang yang kita sayang.

Adalah penting untuk kita menjalani kehidupan yang seimbang antara kerjaya, rumah tangga, keluarga, agama, diri sendiri dan masyarakat demi mencapai kebahagiaan yang sebenar.

The Working Dead dijayakan oleh barisan pelakon berbakat iaitu Iz Sulaini (Edwin), Kirthana Kuhendran (Sarah), Colin Kirton (Chan), Zickry Yusoff, Brian Cheong, Pryanka Rasa, Tina Isaacs, Denise Yap dan Zhafri Hassan.

 

Pementasan kini berlangsung di Pentas 2, KLPAC (The Kuala Lumpur Performing Arts Centre) dari 18 Julai hingga 4 Ogos 2019 pada pukul 8.30 malam (pementasan hari biasa dan hari Sabtu) serta 3 petang (pementasan hari Ahad).

Tiket adalah berharga RM88 dan RM68 (Selasa dan Rabu, pelajar, orang kelainan upaya dan warga emas serta pemegang kad TAS) serta boleh dibeli daripada Proticket.

Maklumat lanjut boleh didapati di https://www.facebook.com/workingdeadthemusical/.

Foto: KuLT Productions

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!

Diketengahkan secara sindiran halus melalui watak zombie yang bekerja, Nicole-Ann bijak memaparkan persoalan tersebut dengan mencipta karakter-karakter zombie atau mayat hidup bagi melambangkan sikap manusia yang bekerja tanpa rehat dan menyerahkan seluruh kehidupannya kepada kerjaya.