Sindrom Penyamar – apakah maksud Impostor Syndrome?

Psikologi 05 Apr 2021 Hannan
Hannan
Sindrom Penyamar - apakah maksud Impostor Syndrome?
Sindrom Penyamar - apakah maksud Impostor Syndrome? © Aaron Amat | Dreamstime.com

Pernahkah anda rasa ragu terhadap keupayaan sendiri? Ataupun, rasa diri tidak layak menerima sebarang bentuk hadiah, pujian atau penghargaan walaupun setelah bekerja dengan keras? Untuk pengetahuan anda, semua ini merupakan antara tanda-tanda impostor syndrome.

Impostor Syndrome atau Sindrom Penyamar (atau Penipu), merupakan satu perasaan yang membuatkan kita rasa tidak layak atau tidak kompeten seperti apa yang orang lain sangkakan. Bertepatan dengan maksud impostor itu sendiri, kita rasa diri kita hanyalah seorang pelakon di atas pentas dunia.

Sindrom ini boleh mempengaruhi sesiapa sahaja tidak kira pangkat, jantina atau usia. Walaupun begitu, pada awal penemuannya, sindrom ini didapati lebih lazim dalam kalangan wanita bekerjaya dan mempunyai pencapaian yang tinggi.

Ragu terhadap diri sendiri

Salah satu masalah yang sering menganggu penghidap impostor syndrome ialah rasa tidak yakin terhadap kemampuan diri sendiri.

Malah, mereka sering mempersoalkan keupayaan diri dan merasakan kesemua kejayaan yang dikecapi adalah tuah semata-mata.

Impostor syndrome amat berbeza dengan perasaan rendah diri. Merendah diri merupakan sifat mahmudah yang amat dituntut oleh Islam. Malah, ada dinyatakan bahawa salah satu ciri penghuni syurga ialah mereka yang bersifat tawaduk.

Mereka yang menghidap impostor syndrome diganggu dengan rasa rendah diri hingga ia menjejaskan keyakinan diri. Malah, gangguan ini juga merupakan sesuatu yang kronik dan boleh membuatkan kualiti hidup penghidapnya merosot.

Bagaimana mengurus Impostor Syndrome

Impostor syndrome merupakan sesuatu yang benar dan bukannya rekaan semata-mata. Namun, itu tidak bermaksud sindrom ini tidak boleh diatasi.

Perkara pertama yang perlu dilakukan untuk melawan impostor syndrome adalah dengan menerima fikiran tersebut dengan hati terbuka. Walau bagaimanapun, jangan biarkannya menghantui diri anda.

Sebaliknya, berfikirlah secara realistik dan jangan terbawa-bawa dengan perasaan. Cuba fikirkan juga mengenai kejayaan-kejayaan kecil yang membawa anda ke tempat anda sekarang. Bukankah kejayaan-kejayaan tersebut merupakan bukti kemampuan anda!

Dalam masa yang sama, kenali juga kekuatan dan kelemahan anda. Dengan cara ini, anda tahu perkara apa yang anda boleh lakukan dan perkara apa yang di luar kemampuan anda.

Selain itu, luahkan perasaan anda kepada ahli keluarga atau pasangan. Sokongan daripada mereka mungkin boleh memberikan anda kekuatan baharu. Malah, anda juga mungkin terkejut apabila mendapati mereka juga pernah alami apa yang anda rasai.

Impostor syndrome bukanlah sesuatu yang asing. Ia juga boleh berlaku kepada ibu bapa, pasangan dan juga orang yang anda kagumi seperti mentor anda!

Walau bagaimanapun, jika anda inginkan pendapat pakar, tidak ada salahnya jika anda berjumpa dengan ahli psikologi. Mereka dapat membantu anda mendalami masalah ini dan berikan langkah yang terbaik untuk mengatasinya.

Tukar perasaan jadi positif, syukuri pencapaian anda

Semua orang akan rasa ragu-ragu dari masa ke masa. Namun, apa yang penting, jangan sesekali biarkan perasaan tersebut menguasai diri. Menurut kajian, mereka yang sering mengalami impostor syndrome sebenarnya seorang yang berjaya di dalam hidup.

Oleh sebab itu, lihat pada semua kejayaan anda dan berbanggalah dengannya. Cuba tukarkan perasaan ini kepada sesuatu yang positif dan bersyukur dengan apa yang telah anda capai.

Jika anda benar-benar ikhlas dalam bekerja, anda akan dihormati dan disukai oleh orang lain. Apa yang penting, jauh di sudut hati, anda tahu anda telah lakukan yang terbaik.