Sira sawit dan pelbagai manfaat buah kelapa sawit

Makanan Hanita Hassan 07-Nov-2020
facebook.com-VideoMalaysia
Sira buah kelapa sawit © facebook.com/VideoMalaysia

Buah kelapa sawit atau Ealeis Guineensis merupakan komoditi utama negara. Buahnya kecil dan apabila masak ia berwarna merah kehitaman. Buah sawit banyak kegunaannya.

Isi buah yang padat dan pulpa kulit buahnya (sabut) mengandungi minyak. Ia digunakan sebagai bahan minyak goreng, sabun dan lilin. Hampas kedua-duanya dimanfaat untuk makanan ternak. Tempurungnya pula sebagai bahan bakar dan arang.

Malaysia antara negara di dunia yang mempelopori pengeluaran produk berasaskan kelapa sawit. Industri sawit dijangka mempunyai masa hadapan yang cerah selepas trend harga terus meningkat. Kenaikan harga minyak sawit telah disokong oleh pemulihan harga minyak mentah yang meningkatkan daya tarikan biofuel.

Sira atau bingka – hidangan pencuci mulut

Buah kelapa sawit selain menghasilkan minyak, ia juga boleh dijadikan sira atau bingka sebagai hidangan pencuci mulut. Anda boleh mencuba memasak sira buah sawit dan rasanya sungguh enak. Buah sawit yang dimasak dengan gula rasanya sedap kerana lemak semula jadi yang terhasil daripada buah sawit.

Caranya ialah dengan meleraikan buah daripada tandan sawit seterusnya dicuci, kemudian rebus buah sawit kira-kira satu jam bersama gula pasir serta gula batu. Kemanisan sira sawit ini boleh dijadikan kudapan enak di waktu petang mahupun di waktu pagi.

Mengikut cerita para penerokawati FELDA, resepi sira sawit ini telah wujud sejak kelapa sawit mengeluarkan hasil. Ketika itu buah sawit lerai yang jatuh ke tanah dipungut dan dimasak dengan air gula. Maka terhasillah sira sawit.

Bagi menghasilkan bingka, rebus kira-kira 20 biji buah sawit selama satu jam atau sehingga empuk kemudian buangkan air rebusan dan biarkan sejuk sedikit. Tambahkan sedikit air dan ramas buah sawit bagi mengeluarkan patinya, setelah itu tapis bagi mendapatkan pati sahaja.

Pati buah sawit ini diadun bersama tepung, telur, gula dan esen vanila. Gaul rata adunan dan masukkan ke dalam loyang pembakar seterusnya bakar di dalam ketuhar hingga masak. Setelah siap, sedia untuk dihidang.

Pelbagai manfaat buah kelapa sawit

Hari ini, hasil penyelidikan dan disokong dengan teknologi moden, buah kelapa sawit telah dipelbagai manfaatnya. Ia wujud dalam makanan seperti kek dan ais krim serta komponen penting dalam sabun mandi dan syampu rambut.

Bagi kaum wanita, jangan terperanjat kerana produk sawit juga dijadikan asas untuk bahan kosmetik seperti gincu bibir, sabun, syampu, perapi rambut, ubat gigi dan deodoran. Ia juga boleh menghasilkan sabun pencuci pakaian, pelembut fabrik, bahan pencuci rumah selain produk perindustrian seperti dakwat pencetak, cat dan racun serangga.

Minyaknya boleh digunakan untuk memasak makanan yang enak. Minyak masak daripada sawit tidak meninggalkan rasa kurang menyenangkan pada masakan malah tidak melekat di kuali atau periuk.  Minyak sapi berasaskan minyak sawit menjadikan roti canai dan murtabak lebih lazat dan berkhasiat berbanding minyak sapi daripada sumber tenusu.

Begitu juga dengan lemak gorengan industri daripada minyak sawit adalah pilihan utama industri.  Ini kerana ia stabil pada suhu tinggi, tahan lama dan boleh diguna berulang kali sekali gus memberi penjimatan kos. Marjerin daripada minyak sawit adalah yang terbaik kerana tidak melalui proses penghidrogenan yang menghasilkan lemak trans.

Lelemak dan adunan lelemak daripada minyak sawit boleh digunakan dalam pembuatan kek memandangkan ia tidak mudah cair dan memberi rasa berkrim pada ais krim dan coklat. Begitulah bermanfaatnya kelapa sawit.