Siri Setem Lebah Madu di Malaysia

Setam Malaysia

Bagi pengumpul setem di luar sana yang masih setia dengan hobi yang semakin dilupakan ramai itu, mereka kini boleh menambah koleksi setem milik mereka dengan siri setem terbaharu yang dikeluarkan Pos Malaysia Bhd. (Pos Malaysia) pada 9 April 2019 baru-baru ini.

Mengetengahkan siri setem yang diberi nama Lebah Madu di Malaysia, terdapat tiga setem dengan nilai muka 60sen setiap satu dihasilkan untuk siri kali ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Syed Md Najib Syed Md Noor berkata, antara spesis lebah madu yang diketengahkan bagi siri itu adalah Lebah Tualang (Apis Dorsata), Lebah Kampung (Apis Cerana) dan Lebah Kerdil Hitam (Apis Andreniformis).

“Kami ingin mendidik pengumpul setem serta orang ramai tentang kepentingan lebah madu dari sudut kepentingan ekonomi serta fungsinya dalam pendebungaan buah-buahan, sayur-sayuran dan biji benih tanaman.

“Kita juga sedia maklum bahawa Malaysia merupakan pengeluar madu terbaik di rantau ini, dan ini semuanya hasil daripada keluaran Lebah Kelulut di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sementara itu, berbicara mengenai lebah, Syed Md Najib menjelaskan, haiwan itu mempunyai risiko kepupusan akibat permintaan yang tinggi terhadap madu lebah liar, lantas meningkatkan penuaian madu lebah secara berlebihan yang boleh menyebabkan kekurangan populasi lebah madu.

“Justeru, siri setem ini diharap dapat memberi kesedaran kepada pengumpul setem dan orang ramai tentang kepentingan cara penuaian madu lebah yang betul serta pemuliharaannya,” ujarnya.

Bagi siri Lebah Madu di Malaysia, hanya 600,000 keping setem dihasilkan.

Tiga lembaran setem (200,000 keping setiap reka bentuk) yang bernilai RM12.00 setiap satu dikeluarkan, dan setiap lembaran mengandungi 20 keping setem.

Dalam pada itu, bagi melengkapkan siri tersebut, Pos Malaysia turut menghasilkan 22,000 keping Lembaran Mini (MS) bentuk khas (die cut), yang menampilkan Ratu Lebah Kelulut dan lebah pejantan serta lebah pekerja (Heterotrigona Itama), dengan nilai muka RM4.00 setiap satu.

Manakala cap tarikh khas bagi siri itu pula menampilkan lebah madu dan sarangnya.

Sebelum ini, Pos Malaysia telah mengeluarkan siri bertemakan serangga, dan antaranya termasuklah Siri Serangga pada Julai 1991, Pepatung pada November 2000 serta Kelip-Kelip pada Mei 2010.

Set lengkap folder siri setem ini didatangkan bersama dengan lembaran setem, lembaran mini bentuk khas Ratu Lebah serta sampul hari pertama.

Ia boleh dibeli menerusi www.eziemall.com atau dengan mengunjungi pejabat pos terdekat, atau Galeri Setem di Tingkat Dua, Ibu Pejabat Pos Malaysia, Kompleks Dayabumi, Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, bagi kemudahan para pengumpul setem di luar sana, mereka digalakkan untuk membuka Akaun Deposit Pesanan Tetap (SODA) kerana ia memberikan kemudahan kepada pengumpul setem untuk membeli setem keluaran baharu pada hari pertama dan produk filateli tanpa perlu beratur di pejabat pos pada hari jualan.

Individu yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada komuniti SODA boleh mendaftar di mana-mana pejabat pos seluruh negara atau menerusi dalam talian di www.posonline.com.my.

Oleh: Syariza Tahir