Sisi Tragis Kehidupan ‘Joker’

Ada kalanya tanpa kita sedari, masyarakat sekeliling boleh menjadi sekumpulan manusia yang begitu kejam sehingga mampu membuatkan seseorang itu bertindak di luar batasan kerana berasa diri teraniaya.

Mungkin itulah kemelut kemasyarakatan yang ingin diketengahkan oleh Todd Phillips menerusi rangkaian filem francais penjahat DC Comics, Joker yang kini mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia.

Bagi para peminat dan pengikut setia karakter-karakter adiwira DC Comics, watak Joker bukanlah sesuatu yang asing buat anda kerana penjahat dalam filem-filem Batman itu telah pun diperkenalkan sejak bermulanya francais Batman, sehinggalah ke Suicide Squad.

Namun, kali ini Todd, selaku pengarah, penulis bersama dan penerbit Joker mengajak penonton untuk menyelami kisah hidup penjahat sadis itu sebelum dia mula bertukar menjadi seseorang yang sangat dikehendaki oleh Gotham City Police Department dan Batman.

Ternyata, lakonan Joaquin Phoenix sebagai Arthur Fleck selayaknya diangkat sebagai satu lakonan yang cemerlang dengan sisi lelaki yang dianggap aneh kerana mempunyai masalah tidak boleh mengawal ketawa, hidup dalam kesunyian dan hanya ditemani ibunya, sering dibuli oleh rakan-rakan sekerja dan masyarakat sekeliling serta seorang badut dan pelawak yang sering dicemuh.

Satu sisi lagi sebagai Joker, seorang penjenayah sadis yang melakukan kekejaman tanpa sekelumit pun rasa perikemanusiaan sememangnya mampu membuatkan penonton berasa ngeri melihat aksi jenayahnya.

Di sini, penonton boleh menyelami kisah tragis kehidupan Arthur tentang bagaimana dia secara berterusan menjadi mangsa buli masyarakat dan mencuba untuk menjadi seorang pelawak yang digemari, namun semuanya tidak menjadi kerana orang melihatnya sebagai seorang yang bersikap aneh.

Lebih menarik, pengarah turut menyelitkan tentang bagaimana Joker mempunyai hubung kait dengan keluarga Wayne, sebuah keluarga kaya yang disegani oleh penduduk Gotham City.

Babak pertemuan pertama antara Arthur (Joker) dengan Bruce Wayne (Batman) yang pada ketika itu masih kecil juga turut diselitkan bagi membuatkan penonton memahami kenapa Joker begitu membenci keluarga itu.

Begitu juga dengan babak kematian ayah dan ibu Bruce Wayne yang ternyata memberi impak flashback buat penonton terhadap filem-filem Batman lakonan Christian Bale.

Apa yang pasti, babak klimaks benar-benar berjaya ‘menghidupkan’ sisi sadis dan brutal Joker, di mana dia mula berasa ‘kebal’ dan bagaikan tidak ada perasaan apabila membunuh orang lain di tempat awam.

Tidak keterlaluan rasanya jika penulis secara peribadi mengatakan bahawa Joker merupakan filem Hollywood terbaik untuk tahun 2019.

Sedikit sinopsis mengenai filem ini, ia berkisarkan tentang Arthur Fleck, seorang lelaki yang mencari makan untuk menyara diri dan ibunya di kota Gotham City dengan mengambil upah bekerja sebagai badut.

Kerana berpewatakan aneh, Arthur sering menjadi mangsa ejekan dan buli rakan-rakan sekerja serta masyarakat sekeliling sehinggakan dia langsung tidak mampu untuk mempertahankan dirinya.

Arthur mempunyai sejenis penyakit yang membuatkan dirinya tidak boleh mengawal ketawa, selain sering berperang dengan dalaman dirinya tentang antara impiannya untuk menjadi seorang pelawak stand up dengan perasaan tertekan akibat kerja dan kehidupannya yang sunyi.

Meskipun ditemani ibunya, Penny Fleck, (lakonan Frances Conroy) perasaan Arthur pada suatu hari tidak dapat dibendung lagi apabila dia berasakan dirinya dikhianati oleh ibunya sendiri, satu-satunya insan yang dia sayangi dan ada di dunia.

Sehinggalah terjadinya satu kejadian di dalam tren di mana Arthur dibuli dan diejek oleh sekumpulan lelaki muda dan golongan kaya Gotham City, yang membuatkan Arthur mula berubah karakter kepada seorang penjahat yang sadis.

Bagaimanakah kehidupan Arthur selepas itu dalam transisi dirinya daripada seorang yang naif dan sering dibuli kepada penjenayah yang paling diburu oleh pihak polis dan diagung-agungkan oleh penjahat-penjahat lain?

Jadi, jangan sesekali lepaskan peluang untuk menyaksikan Joker oleh Warner Bros. Pictures di pawagam-pawagam berhampiran anda bermula 3 Oktober 2019.

Foto: Warner Bros Malaysia