Siti Khadijah Raikan Kejayaan Sedekad

Jenama telekung nombor satu Malaysia, Siti Khadijah (SK) baru-baru ini telah mengadakan Majlis Makan Malam Gala di Hotel Marriott Putrajaya sempena sambutan ulang tahunnya yang ke-10. Perjalanan sedekad yang membawa tema ‘Sedekad Kesetiaan’ meraikan seluruh kakitangan Siti Khadijah di Malaysia dan Indonesia sebagai menghargai dedikasi dan penat lelah mereka membangunkan dan memajukan empayar Siti Khadijah.

Dalam ucapannya pada majlis makan malam itu, Puan Padzilah Enda Sulaiman, pengasas Siti Khadijah sempat mengimbau permulaan perjalanan syarikatnya 10 tahun lalu, daripada hanya 200 pasang telekung pertama, sehingga kini SK mampu mengeluarkan 2000 helai telekung sehari.

“Dari khusus telekung, berkembang ke pakaian wanita dan lelaki, ke produk penjagaan diri sehinggalah pembukaan Kolej Seni Jahitan Srikandi,” ucap beliau.

“SK berhasrat untuk menampung permintaan pengguna telekung di kalangan wanita bukan sahaja di Malaysia, Singapura dan Brunei, tetapi juga di Indonesia. Kini dua butik Siti Khadijah Indonesia sudah bertapak di Jakarta dan Bandung. Kami turut berkolaborasi bersama rangkaian TV Shopping seperti Oshop dan MNC Shop,” tambah Puan Pazilah.

Penggunaan fabrik berkualiti tinggi seperti cotton-feeldengan rekaan inovatif fleksibel di bahagian wajah – mudah regang di dahi dan dagu tanpa perlu dipin atau memakai anak tudung menjadikan telekung SK unik berbanding telekung sedia ada di pasaran. Manakala perincian minimalis seperti renda menambah seri si pemakai namun masih kekal ringkas mengikut syarak.

Pada majlis makan malam itu juga, sebanyak 15 koleksi terbaru Siti Khadijah yang terdiri daripada rangkaian telekung dan tudung terbaru serta pakaian ready-to-wear untuk lelaki dan wanita turut diperagakan.

Beribu tahniah kami di SalamToday ucapkan kepada keluarga besar SK untuk kejayaan sedekad ini dan semoga terus berkembang pesat di masa hadapan.

Foto: Ihsan Siti Khadijah