Siti Nordiana, SUPERSTAR

Sudah lama kami menyimpan angan untuk menjadikan wajah penyanyi, pelakon dan pengacara, Siti Nordiana sebagai Wajah Salam. Sewaktu awal kemunculan SalamToday lagi, peminatnya sudah mula bertanya bilakah Idola kesayangan mereka akan dipilih untuk menghiasi muka depan. Namun jadualnya yang sentiasa padat menjadi penghalang.

Status Siti Nordiana yang bermula sebagai seorang penyanyi remaja 20 tahun yang lalu kini telah berubah. Beliau kini adalah seorang ‘Superstar’. Graf kerjaya Siti Nordiana sebagai seorang penyanyi di Malaysia berubah 360 darjah selepas beliau menjuarai pertandingan Gegarvaganza musim kedua.

Fenomena yang dicipta oleh Siti Nordiana ketika menyertai Gegarvaganza benar-benar luar biasa. Mulanya beliau bukanlah peserta yang dilihat akan diangkat sebagai juara. Namun kesungguhan luar biasa yang ditunjukkan saban minggu mula membuka mata rakyat Malaysia akan kemampuan yang ada pada dirinya.

Diawal kemunculannya di dalam industri muzik, beliau digelar sebagai penyanyi ‘leman’, iaitu penyanyi yang hanya mampu menyanyikan lagu-lagu tangkap leleh. Kemudian popularitinya mula mendaki selepas muncul dengan beberapa buah lagu duet hits bersama allahyarham Achik Spin.

Pernah berkahwin dengan aktor Faizal Yusof pada tahun 2006, namun perkahwinan yang dibina tidak kekal lama apabila mereka bercerai pada tahun 2009.  Selepas itu kerjanya dilihat terus malap. Pernah mencuba untuk membuat kemunculan semula dengan berimej seksi dan ranggi. Namun percubaan itu gagal.

Benar saya pernah cuba untuk membuat kemunculan semula dengan berimej seksi. Dalam kepala otak saya ketika itu saya fikir ini adalah pilihan terakhir sebab ketika itu apa benda yang saya buat semua tidak menjadi. Mungkin kerana ketika itu penampilan saya tidak seksi dan sering dilabel ‘kampung’. Itu apa yang saya fikir sewaktu itu. Tetapi saya rasa itu adalah tindakan yang sangat salah sebab dah seksi pun tetap tak popular juga. Ketika itu saya fikir mungkin jika saya berimej seksi, saya akan dapat banyak tawaran persembahan terutamanya persembahan korporat. Bila saya fikir semula, saya rasa macam kenapa pendek sangat akal saya ketika itu. Tapi pada ketika itu keadaan betul-betul mendesak. Saya perlu cari duit untuk menyara anak.”

Mula Berhijab Pada Tahun 2011

Selepas percubaannya untuk berimej seksi tidak menjadi, penyanyi yang lebih mesra dipanggil Nana ini mengambil keputusan untuk berhijab pada tahun 2011. Namun ada kisah disebalik keputusannya untuk berhijab sepenuhnya.

Saya mula berhijab pada bulan Ramadhan tahun 2011. Ketika itu saya baru sahaja kehilangan bekas suami saya. Beberapa bulan sebelum puasa, fikiran saya tidak berapa gembira. Saya seperti gelisah dan depresi sehingga saya tertanya-tanya apa benda yang kurang pada diri saya.  Lepas itu saya sering lihat kawan-kawan saya yang cantik apabila memakai hijab dan terdetik di hati saya alangkah senang hidup saya jika saya pakai tudung. Tak perlulah saya nak pakai ‘wax’ di kepala lagi.

Bila 10 malam terakhir bulan puasa tiba-tiba Allah gerakkan hati saya untuk pakai tudung sebab saya terbaca sebuah majalah yang menceritakan tentang ghibah. Ghibah ini adalah apabila kita mngumpat tentang orang lain sama ada benda itu betul atau salah, kita tetap berdosa. Dari situ saya terfikir yang saya ini sudahlah dosa banyak, tak pakai tudung pula tu. Berjuta-juta rakyat Malaysia yang tengok saya. Saya rasa terlampau banyak dosa. Sekurang-kurangnya kalau saya pakai tudung, kurang sedikit dosa saya. Jadi bermula dari situlah saya nekad nak pakai tudung. Saya cuba belajar sedikit demi sedikit untuk menjadi lebih baik. Waktu itu saya baru kehilangan bekas suami. Jadi saya perlu menjadi contoh yang baik kepada anak saya Rayyan. Kalau saya nak dia jadi baik, saya perlu jadi baik dulu. Namun perubahan itu sangat perlahan malah sehingga sekarang saya masih belajar untuk menjadi lebih baik”.

Kemenangan Gegarvaganza Puncak Kerjaya

Sepanjang 20 tahun begelar seorang penyanyi, Nana mengakui kemenangannya di dalam program Gegarvaganza 2 adalah perkara yang paling tidak boleh dilupakan dalam tempoh dua dekad kerjayanya.

“Gegarvaganza 2 adalah titik permulaan saya diterima kembali dalam industri setelah gagal beberapa kali. Kemenangan di Gegarvaganza 2 adalah perkara yang paling tidak disangka dalam keadaan kita rasa kita sudah tidak mempunyai harapan tiba-tiba kita dapat harapan itu kembali dan saya rasa seperti Allah telah memberikan peluang dan kehidupan kali kedua buat saya”.

Tambah Nana lagi, kemenangannya di Anugerah Meletop Era dan Anugerah Bintang Popular Berita Harian juga antara perkara yang tidak boleh dilupakannya kerana sebelum ini beliau tidak pernah merasa naik ke pentas untuk menggenggam anugerah besar.

Saya tidak pernah dapat dan tidak pernah rasa pun bagaimana menggenggam anugerah sebelum ini. Dulu saya hanya cuma mampu melihat orang lain yang mengambil anugerah, tetapi kali ini saya pula yang berpeluang menerima anugerah itu. Saya rasa sangat bertuah”.

Terus-Menerus Kecapi Kejayaan

Siti Nordiana adalah antara bintang yang paling ‘menjadi’ selepas tamatnya program Gegarvaganza jika dibandingkan dengan rakan-rakan seangkatannya yang lain. Mana tidaknya, setiap apa yang dilakukan oleh beliau pasti akan mendapat sambutan.

Lagu-lagu yang dikeluarkannya lantas menjadi siulan dan mendaki carta-carta lagu popular di Malaysia. Drama lakonannya juga iaitu ‘Dia Semanis Honey’ turut mendapat sambutan sehingga menjadi fenomena. Malah naskah itu turut diangkat ke pentas teater gara-gara mendapat sambutan yang sangat luar biasa.

Macam-macam perkara yang saya dapat buat selepas tamat program Gegarvanga antaranya berlakon drama Dia Semanis Honey. Dan disebabkan drama itu saya berpeluang berlakon teater buat pertama kali. Alhamdulillah kerana nikmat yang Allah beri kepada saya terlalu banyak. Saya rasa sangat bersyukur sebab sebelum ini saya tidak pernah dapat lakukan semua ini”.

Pernah Digelar Pembawa Sial

Siapa sangka begitu berat ujian yang dilalui oleh wanita yang berperawakan lemah lembut ini. Pernah satu ketika dahulu beliau digelar sebagai seorang yang membawa sial gara-gara arwah suaminya serta rakan baiknya arwah Achik Spin meninggal dunia.

“Sebagai seorang selebriti, kita pasti tidak dapat lari dari gosip-gosip yang kadangkala memberikan kesan pahit dalam hidup kita. Tetapi yang paling saya ingat sekali apabila saya dikatakan pembawa sial kerana disebabkan saya, saya kehilangan dua orang yang rapat dengan saya iaitu arwah bekas suami dan rakan baik saya arwah Achik.  Maknanya siapa yang rapat dengan saya, orang itu akan ‘pergi’. Waktu itu saya rasa seperti ish, teruknya tanggapan mereka terhadap saya! Kenapa mereka sanggup cakap macam itu sedangkan ini semua adalah takdir Tuhan.”

Sebagai seorang penyanyi, kata Nana beliau sudah biasa apabila sering dperlekehkan malah sehingga sekarang masih ada yang memperlekehnya. Namun katanya, perkara itu sudah sebati dengan dirinya.

 

Hargai Sokongan Peminat

Harus diakui, tanpa peminat siapalah artis. Sokongan padu merekalah yang meletakkan sesorang artis itu pada sesuatu tahap. Begitu juga dengan Siti Nordiana. Beliau punya peminat yang sungguh luar biasa dan begitu menyayangi dirinya. Mereka inilah yang bekerja keras untuk memastikan kerjaya Nana sentiasa bergerak mengikut arus semasa. Dan kerana mereka inilah, nama Siti Nordiana sering tidak pulang dengan tangan kosong setiap kali tercalon dalam sebarang anugerah. Malah untuk Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-32, Siti Nordiana tercalon di dalam tujuh kategori dan berjaya membawa pulang dua anugerah iaitu Penyanyi Wanita Popular dan Pengacara TV Popular hasil undian peminat tersayang.

Alhamdulillah saya sangat bersyukur kerana mempunyai peminat yang begitu menyayangi dan prihatin terhadap diri saya. Dari sekecil-kecil Siti Nordiana FC kini sudah berkembang menjadi lebih besar. Dulu pengikut FC saya di Instagra hanyalah belasan ribu, tetapi sekarang sudah mencecah 169, 000 pengikut. Walaupun mereka sudah berkali-kali bertemu dengan saya, tetapi mereka masih tidak jemu-jemu untuk datang ke setiap persembahan saya. Walaupun persembahan saya di Pulau Pinang, mereka sanggup datang dari jauh.

Yang paling mengharukan saya, sewaktu percutian bersama dengan peminat baru-baru ini, ada yang datang jauh dari Indonesia, Singapura dan dari seluruh Malaysia termasuklah Sabah dan Sarawak. Ya Allah, saya tidak ada pertalian darah dengan mereka, tetapi mereka sangat menyayangi saya. Mashallah itu adalah antara perkara yang susah untuk kita dapat peluang itu. Saya betul-betul sayangkan peminat saya. Seboleh-bolehnya saya mahu mereka gembira dan puas hati dengan saya. Saya cuba untuk membalas mesej mereka di media sosial kalau saya sempat. Peminat suka apabila artis yang mereka sokong menghargai mereka. Dan saya sangat menghargai peminat-peminat saya kerana dengan izin Allah tanpa mereka, saya tidak akan ada di sini. Siapalah artis kalau tiada peminat kerana merekalah yang banyak membantu kerjaya artis terutamanya mengundi sewaktu anugerah.”

Tulis Buku Untuk Memberi Inspirasi

Tahun lalu Siti Nordiana ada mengeluarkan buku autobiagrafi tulisannya sendiri yang berjudul ‘Life Goes On’. Buku itu telah mendapat sambutan hangat sehingga diulang cetak. Lebih membanggakan apabila buku ‘Life Goes On’ telah berjaya memenangi Anugerah Buku Umum Terbaik kategori Autobiografi pada Anugerah Buku Negara bulan April yang lalu.

“Tujuan saya keluarkan buku ‘Life Goes On’ adalah untuk memberi manfaat kepada orang yang membaca. Kisah saya mungkin boleh dijadikan inspirasi untuk mereka yang mudah putus asa dan harapan untuk berjaya. Sebab kisah saya sebelum saya berjaya dalam Gegarvaganza pun, saya melalui banyak kesusahan dalam hidup saya. Jadi saya mahu berkongsi dengan pembaca macam mana saya berjuang untuk memperbaiki diri saya.

Kegagalan saya dulu agak tragis juga sehingga saya perlu bekerja di sebuah kolej dengan hanya berpendapatan RM2000 sebulan. Kalau saya tidak ambil pengalaman lalu sebagai satu permulaan untuk berjaya, saya rasa saya akan terus terduduk dan putus asa. Jadi saya tak pedulikan apa yang orang cakap tentang saya. Saya nak berjaya dan terus berusaha. Sebab itu buku saya banyak memrikan motivasi terutamanya kepada ibu tunggal seperti saya mereka boleh jadikan kisah saya sebagai inspirasi, walau berapa banyak kali kita gagal sekalipun, kita boleh berjaya, jangan risau.”

Status Berubah Kepada ‘Superstar’

Tidak berlebihan jika kami katakan Siti Nordiana kini adalah seorang ‘Superstar’ di Malaysia. Namanya kini sebaris dengan artis-artis ternama Gred A yang lain. Semua pentas besar di Malaysia kini sudah ditaklukinya. Kemenangannya di Anugerah Meletop Era yang lalu membawa pulang anugerah utama Top Top Meletop Wanita telah membuktikan betapa besarnya kuasa Siti Nordiana dalam industri hiburan tanah air. Biarpun semakin tinggi mendaki puncak kejayaan, kata Nana dirinya masih Siti Nordiana yang dulu.

Allahuakbar. Sebenarnya saya rasa saya tetap sama dari dulu sampai sekarang. Saya tidak pernah bermimpi akan dapat semua populariti ini. Semua yang saya dapat sekarang bagaikan mimpi. Bila saya fikir balik, betapa bersyukurnya saya di dalam usia 35 tahun ini saya dapat peluang Allah bagi walaupun sudah agak lewat. Sebenarnya selepas saya diberi peluang kali kedua ini, saya lebih kepada ingin berkongsi bakat dan menghiburkan orang.

Apabila ada makcik-makcik yang datang kepada saya dan berkata mereka meminati saya dan mendengar lagu-lagu saya di YouTube saya rasa ianya satu kepuasan. Saya rasa seronok apabila makcik-makcik pun suka dengan lagu saya. Kira peminat saya terdiri daripada pelbagai lapisan umur. Bagi saya ini adalah pencapaian yang paling terbaik apabila kita dapat buat orang gembira.”

 

Belum Ingin Berumah Tangga

Kini Siti Nordiana boleh dikatakan sudah memiliki segalanya yang diidamkan sebagai seorang selebriti. Namun masih ramai yang menanti bilakah si manis ini akan kembali berumah tangga selepas hampir 10 tahun hidup sebagai seorang ibu tunggal. Kata Nana beliau belum mempunyai perasaan yang serius untuk berkahwin kerana masih banyak yang ingin dilakukannya dalam karier.

Alhamdulillah ramai yang menantikan jodoh saya,” jawabnya sambil ketawa apabila ditanya soal jodoh. “Siapa yang tak mahu kahwin? Saya juga teringin untuk berkahwin. Tetapi buat masa sekarang saya belum ada perasaan yang serius. Saya tidak fikir lagi tentang kahwin. Lagipun saya baru nak merasa nikmat untuk menaikkan karier saya.  Jika sudah berumah tangga lagi, saya adalah seorang yang akan memberikan lebih perhatian kepada keluarga saya. Kalau saya rasa sudah betul-betul stabil dan bertemu dengan orang yang baik yang boleh menjaga saya dan anak saya Inshaallah saya akan terima. Nak cari pasangan bukan satu benda yang mudah sebab kita nak cari pasangan seumur hidup. Ibadah yang paling lama kita nak buat. Jadi kita perlu pastikan kita pilih yang betul untuk masa depan dan agama.”

Hadiah Istimewa Untuk Peminat Sempena 20 tahun Dalam Industri

Tahun ini Siti Nordiana meraikan ulangtahun ke-20 pembabitannya di dalam industri seni tanah air. Kata Nana beliau sudah merangka beberapa rancangan istimewa untuk meraikan ulangtahun dua dekad bersama-sama dengan peminatnya. Namun hal itu hanya boleh dilakukan pada tahun hadapan kerana ketika ini jadualnya begitu pada kerana baru saja memulakan penggambaran drama bersiri bersama rakan duetnya Khai Bahar.

“Saya berhajat untuk belanja peminat saya dengan ‘mini showcase’ atau apa-apa sahaja.  Cumanya saya rasa bukan tahun ini kerana saya akan sibuk dengan penggambaran sehingga bulan November. Inshaallah jika tiada aral melintang, segalanya akan berlaku pada tahun hadapan. Saya juga merancang untuk membawa peminat-peminat saya untuk bercuti sekali lagi selepas melihat kejayaan percutian ke Pulau Tioman yang lalu. Ramai yang tak boleh ‘move-on’ dengan percutian itu dan ramai juga yang mengadu tidak dapat ikut serta. Jadi kali ini saya nak buat percutian yang lebih ramai dapat ikut serta.

 

Mahu Jadi Penerbit

Sebagai seorang penyanyi dan komposer, Siti Nordiana turut mempunyai impian untuk melihat karyanya dinyanyikan oleh penyanyi lain kerana sebelum ini lagu-lagu hasil tulisannya hanya dinyanyikan oleh diri sendiri. 

“Salah satu impian saya dalam kerjaya adalah saya mahu penyanyi lain menyanyikan lagu yang saya hasilkan. Selain itu saya ingin jadi penerbit tidak kisahlah penerbit untuk apa-apa sekalipun. Sebagai permulaan saya mempunyai syarikat pengurusan sendiri dan kini saya sudah mempunyai seorang penyanyi di bawah syarikat pengurusan saya. Inshaallah saya ingin kembangkan untuk menjadi lebih besar dan sama-sama kita memanfaatkan dan memberi peluang kepada artis-artis baru yang boleh menjadi pelapis saya.”

 

Di Sebalik Wajah Salam

  • Wajah Salam : Siti Nordiana
  • Gambar : Bustamam Mokhtar, White Studio
  • Penyelaras & Pengurus Projek : Shah Shamshiri & Helmi Anuar
  • Teks (Bahasa Melayu) : Helmi Anuar
  • Suntingan : Ili Farhana
  • Penata Gaya : Helmi Anuar
  • Penata Gaya Hijab : Farah Dinana
  • Konsep & Arahan Seni : Helmi Anuar
  • Jurusolek : Saidatulnisa Aminuddin
  • Busana : Fazbulous by Fazura
  • Hijab: Milik Penata Gaya Hijab
  • Pereka Grafik : Asyraf Tamam

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!

Saya tidak pernah bermimpi akan dapat semua populariti ini. Semua yang saya dapat sekarang bagaikan mimpi. Bila saya fikir balik, betapa bersyukurnya saya di dalam usia 35 tahun ini saya dapat peluang Allah bagi walaupun sudah agak lewat. Sebenarnya selepas saya diberi peluang kali kedua ini, saya lebih kepada ingin berkongsi bakat dan menghiburkan orang.