Siwak, bersiwak dan menggosok gigi

Kesihatan Hanita Hassan 16-Okt-2020
dreamstime_s_23736365
Siwak, bersiwak dan menggosok gigi © Twilightartpictures | Dreamstime.com

Setiap hari apabila kita bangun tidur, kita pasti akan bersiwak atau membersihkan mulut.  Kita berkumur-kumur dan menggosok gigi sebelum makan atau melakukan perkara lain.  Ada yang menggosok mulut menggunakan kayu Siwak, jari tangan atau berus gigi dan sebagainya.

Dalam Islam, kita boleh menggunakan apa sahaja alat yang tidak najis dan berbahaya sepertimana yang dibolehkan oleh syarak.  Beberapa ciri yang sesuai untuk bersiwak adalah yang suci dan kesat seperti kayu Siwak, dahan Zaiton, kayu yang berbau menyegarkan, pelepah Kelapa dan kain.  Namun, akar pokok Arak merupakan alat sugi yang lebih afdal kerana Baginda SAW bersugi menggunakan akar pokok Arak.

Ia berdasarkan riwayat daripada Abdullah bin Mas’ud r.a berkata:

“Aku telah memotongkan untuk Rasulullah SAW alat menggosok gigi daripada akar pokok Arak.”

Perbuatan menggosok dan alatnya

Dari segi bahasa, Siwak maksudnya ‘Perbuatan menggosok dan alatnya’.  Dari segi syarak pula, penggunaan kayu atau seumpamanya dan ubat gigi untuk menggosok gigi agar menghilangkan perubahan (bau atau warna) dan seumpamanya disusuli niat kerana Allah SWT. (Lihat: Al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab, 1/270 dan al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 1/300)

Pengarang kitab al-Mu’tamad menghuraikan maksud siwak menurut syarak dengan memberi contoh berus gigi yang digunakan pada zaman sekarang adalah seumpama alat siwak yang bertujuan membersihkan gigi dan sekitarnya seperti gusi dan lidah bagi menghilangkan kesan bau makanan. (Al-Mu’tamad fi Giqh al-Syafie, 1/59)

Pengarang kitab al-Taqrirat al-Sadidah memperluas maksud siwak kerana tidak merujuk hanya pada kayu siwak bahkan menyatakan bersiwak dengan segala alat yang bersifat kesat.  (Al-Taqrirat al-Sadidah, 84)

Bersugi boleh menghilangkan bau mulut dan ia tidak terikat pada waktu tertentu mahupun keadaan bahkan pada bila-bila masa. Sementara waktu bersugi yang sangat digalakkan oleh muslim adalah ketika ingin mendirikan solat, ketika sedang berwuduk, ketika ingin membaca al-Quran, ketika gigi berubah kekuningan mahupun ketika  berubah berbau busuk kerana makan sesuatu atau mulut berbau kerana meninggalkan makanan mahupun terlalu lama berdiam diri dan ketika bangun tidur. (Al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafie, 1/60)

Kaedah menggosok gigi

Daripada Huzaifah r.a yang maksudnya:

“Rasulullah SAW apabila bangun di malam hari Baginda menggosok mulutnya dengan siwak.”

(Hadis riwayat al-Bukhari, 245)

Kaedah menggosok gigi yang sempurna ialah memulakan dengan niat lintasan hati sunat bersugi. Seterusnya menggunakan tangan kanan kerana bersiwak merupakan perbuatan yang mulia.  Mula menggosok gigi daripada kanan ke kiri dengan cara melintang dari gigi geraham hingga ke gigi kacip atas dan bawah.

Kemudian, gosok gigi geraham kiri hingga ke gigi kacip atas dan bawah.  Seterusnya bahagian sebelah dalam bahagian atas dan bawah bermula kanan dan diikuti sebelah kiri.  Sementara lidah digosok dari pangkal lidah ke hujung sama ada melintang atau membujur. (Lihat: Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 1/30)

Ulama menyenaraikan antara faedah bersiwak ialah membersihkan mulut, memutihkan gigi, menghilangkan bau, mengukuhkan gusi, kesegaran mulut, menajamkan penglihatan, kecergasan fikiran, membersihkan hati dan kemuliaan untuk mengucap syahadah ketika mengadap kematian.

Bersiwak termasuk dalam sunat fitrah dalam agama kerana membersihkan mulut membawa keredaan Allah SWT berdasarkan riwayat daripada Aisyah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Siwak itu menyucikan dan mendatangkan keredaan Rabb.”

(Hadis riwayat Nasa’ie,  4)