‘Sizzling & Claypot’ dan ‘Thai Cuisine’ Hidang Selera ‘Food Court’ Bertaraf Restoran

Belum pun setahun membuka restoran Food Station yang beroperasi di Jalan Tun Sambanthan, Kuala Lumpur, pendakwah bebas yang juga pelakon, Riz Ismail, terus meneroka pelbagai jenis perniagaan makanan baharu.

Tampil dengan sedikit kelainan, Riz, 24, kini menguruskan dua buah lot kedai di medan selera yang terletak dalam pusat beli-belah NU Sentral.

Terletak di tingkat tiga NU Sentral, Sizzling & Claypot dan Thai Cuisine berada di bawah bumbung syarikat induk yang sama iaitu Desire Food Sdn. Bhd.

“Saya optimis dengan perniagaan makanan ini. Bisnes makanan ini jika betul caranya, memang boleh pergi jauh, dan kalau makanan yang dijual itu sedap, pasti orang akan datang lagi untuk menjamahnya.

“Sekalipun perniagaan makanan ini sengit persaingannya, saya percaya kehadiran dua premis medan selera, Sizzling & Claypot dan Thai Cuisine di NU Sentral ini dapat terus memberi variasi kepada orang ramai,” ujarnya dalam satu majlis pelancaran kedua-dua premis tersebut yang diadakan baru-baru ini.

Berbanding restoran, Riz memberitahu, perniagaan medan selera bermodalkan jumlah wang yang kecil, namun mampu mengaut keuntungan besar dengan mutu makanan yang pasti menambat hati.

“Untuk memastikan dua medan selera ini terus menjadi pilihan, kami menjanjikan kualiti makanan setaraf dengan makanan di restoran.

“Jika mahu makanan sizzling, di Sizzling & Claypot kami tawarkan pelbagai jenis mee sizzling.

“Ada yang dicampur dengan telur, ayam, udang, sotong dan semuanya dengan harga mampu milik. Ia pasti membuatkan penggemar mee sizzling kecur air liur,” jelasnya.

Selain itu, jika mahukan kelainan makanan Thai pula, Riz berkata, Thai Cuisine mempunyai pelbagai pilihan makanan untuk pelanggan.

“Sama ada inginkan tom yam atau ikan tiga rasa dan macam-macam lagi, anda tak perlu fikir panjang kerana segala pilihan boleh dijamah di sini.

“Tukang masak di dua medan selera ini pula terlebih dahulu sudah mengasah skil dan kepakaran mereka di restoran Food Station,” jelasnya.

Waktu operasi Sizzling & Claypot  dan Thai Cuisine adalah dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.