Sokong kerjaya pilihan anak

Keluarga 13 Nov 2020 Hanita Hassan
dreamstime_s_179084724
Sokong kerjaya pilihan anak © - Dreamstime.com

Artikel bertajuk ‘Sokong kerjaya pilihan anak’ ini perlu diberi perhatian oleh para ibu bapa. Semasa di sekolah, setiap awal tahun semasa sesi perkenalan murid dan guru, perkara yang selalu ditanya ialah tentang cita-cita.  Mungkin ini sebagai salah satu cara untuk mengetahui bakat dan karektor bakal anak murid masing-masing.

Maka begitu banyak kerjaya yang akan disebut. Ada yang mahu menjadi doktor, peguam, jurutera, tentera, polis dan paling banyak sebagai guru.

Ikut pilihan anak atau pilihan kita?

Ibu bapa adalah orang yang paling mengambil berat akan kerjaya pilihan anak.  Meskipun kita sering bertanyakan cita-cita dan impian anak. Dalam masa yang sama, kita berharap anak-anak boleh mengikut kehendak dan kerjaya pilihan kita.

Mungkin impian kita tidak tercapai semasa muda kerana masalah kewangan atau ditentang keluarga. Apabila mempunyai anak, kita pula cuba melakukan perkara yang sama. Sedangkan anak yang akan menanggungnya sepanjang usia.

Anak juga manusia biasa yang punya impian besar. Mereka juga punya rasa hormat yang tinggi kepada kita sebagai orang tua. Anak bimbang akan mengecewakan hasrat kita sekali gus timbul kemarahan.

Untuk menjaga hati, anak akan menurut sahaja apa yang kita rancangkan untuknya. Harapan kita yang terlalu tinggi tanpa sedar akan meninggalkan kesan yang besar dalam jiwa mereka.

Memang tidak mudah untuk anak menyakinkan kita bahawa pilihan kerjaya yang dipilihnya juga baik untuk masa hadapan. Semua ini berlaku kerana sikap kita yang terlalu ingin melindungi anak.

Kita bimbang keputusan yang dibuat oleh anak akan mengecewakan. Kita tidak mahu kegagalan masa lalu yang pernah dialami menimpa anak. Sedangkan siapa yang tahu akan masa hadapan. Semua yang berlaku adalah dalam pengetahuan Allah SWT.

Sokong kerjaya pilihan anak

Dalam al-Quran Allah SWT menjelaskan kepada manusia bahawa pengetahuan-Nya meliputi banyak perkara.  Firman-Nya yang bermaksud:

“Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dia-lah jua yang menurunkan hujan dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat) dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi manakah dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi amat meliputi pengetahuan-Nya.”

(Surah Luqman, ayat 34)

Mungkin kita boleh membuat ramalan, tetapi ramalan bukan satu kemestian ia akan terjadi pada masa yang kita anggarkan.  Kita tidak tahu bilakah kiamat akan menjelma meskipun telah dinyatakan tanda-tanda sebelum berlakunya Hari Pembalasan.  Kita juga tidak mengetahui bila hujan akan turun walaupun telah membuat ramalan cuaca.   Atau mengetahui proses yang berlaku pada janin di dalam rahim seorang ibu.

Dunia semakin moden namun pemikiran kita sebagai ibu bapa tidak pernah berubah.  Seiring dengan kepesatan internet dan tekonologi komunikasi, berilah kebebasan serta kepercayaan kepada anak untuk memilih kerjayanya.

Hari ini ramai graduan yang bekerja tanpa menggunakan sijil yang diperolehnya semasa belajar di institusi pengajian tinggi. Banyak kerjaya baharu muncul yang boleh diceburi oleh anak muda masa kini.

Justeru, usah terlalu bimbang akan kerjaya anak. Selagi anak berminat untuk belajar, teruslah bimbing dan berikan kata-kata semangat. Sokong kerjaya pilihan mereka.  Semoga bermanfaat.