Solat dan kepentingan serta hikmahnya

Agama Contributor 11-Mei-2020
Kepentingan mengutamakan solat © Ahmad Faizal Yahya | Dreamstime.com

Ibadah sembahyang atau solat merupakan rukun Islam yang kedua. Rasulullah SAW bersabda: “Asas segala amalan adalah Islam, tiangnya adalah solat dan puncaknya adalah jihad.” (Hadis riwayat At-Tirmidzi)

Setiap umat Islam wajib menunaikan solat fardu lima waktu sehari semalam. Solat yang difardukan kepada umat islam ini mengandungi pelbagai hikmah. Sebagai contoh, solat ialah amalan pertama yang akan dihitung pada hari kiamat.

Rasulullah SAW bersabda: “Perkara pertama seorang hamba itu dihitung adalah solatnya, jika sempurna solatnya. Jika tidak, Allah berfirman; Lihatlah kepada solat-solat sunat yang dikerjakan oleh hambaKu ini. Jika ada yang sunat, sempurnakanlah solat-solat fardu itu dengan solat-solat sunat.” (HR Al-Nasa’i)

Dalam hal pengurusan hidup, solat turut mengajar manusia menepati waktu. Firman Allah SWT dalam surah An-Nisaa, ayat 103: “Sesungguhnya solat adalah satu ketetapan berwaktu yang diwajibkan ke atas orang-orang Mukmin.”

Solat juga menjadi pelindung manusia daripada api neraka. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang memeliharanya (solat), dia akan mendapat cahaya dan bukti serta pertolongan pada hari kiamat. Sesiapa yang tidak memelihara solat, dia tidak akan mendapat pertolongan.” (HR Ahmad)

Solat turut menjadi penawar kepada tekanan perasaan dan kehidupan. Mendirikan solat dapat menenangkan jiwa dan perasaan kerana dalam solat mengandungi zikir, dan zikir dapat menenangkan jiwa. Rasulullah SAW bersabda: “Bangunlah wahai Bilal (untuk azan) dan rehatkanlah kami dengan solat.” (HR Abu Daud)

Rasulullah SAW turut menyatakan bahawa ganjaran orang yang pergi ke masjid untuk solat fardu adalah sama dengan ganjaran orang yang menunaikan haji. Malahan, bagi sesiapa yang keluar untuk solat dhuha, ganjarannya adalah seperti pahala orang yang menunaikan umrah.

Setiap orang Islam diwajibkan bersembahyang lima waktu sehari semalam. Solat yang dilakukan itu menjadi bukti kepatuhan seseorang kepada perintah Allah SWT. Kepada semua ibu bapa, didiklah anak-anak solat sejak usia mereka kecil lagi. Semoga semua ibadah solat kita akan mendekatkan diri dengan Yang Maha Esa.