Solat Jumaat setelah tamat PKPB

Kehidupan Abi Aasim 19-Jun-2020
Solat Jumaat setelah PKPB tamat © Abed Rahim Khatib | Dreamstime.com

Hati makin resah gelisah setelah lebih tiga bulan tidak dapat solat berjemaah di masjid. Rindu sungguh rasanya untuk kembali mengimarahkan rumah Allah SWT. Alhamdulillah segala doa akhirnya diperkenankan oleh Yang Maha Esa. Akhirnya hari ini terpilih menjadi tetamu Allah di rumahnya untuk menunaikan solat Jumaat.

Sebenarnya, sebaik saja Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditamatkan, ingin sangat hendak kembali beribadat di rumah Allah SWT. Namun, apakan daya setelah seminggu PKPB diperkenalkan, rezeki untuk menunaikan solat Jumaat masih belum menjadi milik saya.

Saya juga turut terbaca petikan akhbar bahawa ramai juga muslimin yang terpaksa berputih mata tidak dapat menunaikan solat Jumaat di masjid. Pasti sedikit kecewa kerana sudah berusaha beratur panjang untuk ke masjid, tetapi kuota yang dibenarkan sudah dipenuhi.

Tidak mahu turut berputih mata, saya membuat persediaan rapi bagi menunaikan solat Jumaat minggu ini. Saya menghubungi pihak jabatan agama negeri saya (Perak) bagi mendapatkan kepastian. Saya telah disambungkan kepada pegawai hal ehwal masjid. Pertanyaan saya telah disantuni dengan penuh informasi dan berhemah.

Pegawai terbabit telah menerangkan bahawa di negeri Perak, kaum muslimin telah dibenarkan untuk menunaikan solat fardu berjemaah dan solat Jumaat di masjid. Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak telah berkenan membenarkan jumlah jemaah mengikut kapasiti dewan solat utama masjid.

Kaum muslimin hanya perlu datang ke masjid dengan mematuhi peraturan yang ditetapkan. Antara peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi ialah:

  • Memakai penutup muka
  • Menjaga penjarakan sosial
  • Membawa sejadah sendiri
  • Mengambil wudhuk di rumah
  • Hanya untuk rakyat Malaysia sahaja
  • Mengisi borang yang disediakan pihak masjid
  • Perlu datang satu jam lebih awal sebelum masuk waktu untuk solat Jumaat
  • Perlu datang setengah jam lebih awal sebelum masuk waktu untuk solat fardu berjemaah
  • Mengambil suhu di masjid – suhu melebihi 37.5 darjah tidak dibenarkan masuk ke masjid
  • Hanya untuk individu berusia 16 tahun hingga 70 tahun sahaja. (Untuk individu berusia lebih 70 tahun, hanya mereka yang sihat sahaja dibenarkan solat di masjid)

Setelah tiba waktu rehat tengah hari di pejabat, saya terus bergegas ke masjid An-Nasriyah yang terletak di Sitiawan. Masjid ini terletak kira-kira 8 kilometer dari tempat kerja saya. Walaupun ada masjid dan surau Jumaat yang lebih dekat, masjid ini menjadi pilihan saya kerana sewaktu bersekolah rendah, keluarga saya merupakan ahli kariah masjid ini. Sedikit sebanyak dapat mengimbau kenangan lama sewaktu kecil.

Setelah tiba di perkarangan masjid, pegawai masjid membenarkan saya masuk. Setelah itu suhu diambil oleh petugas masjid. Kemudian saya perlu mengisi borang yang telah disediakan. Seterusnya melangkah ke dewan solat utama dan menunggu masa untuk khatib membaca khutbah dan bersolat.

Sebelum khatib membaca khutbah Jumaat, para jemaah sekali lagi diingatkan akan tatacara dan prosedur-prosedur yang perlu dipatuhi sepanjang menunaikan solat berjemaah di masjid. Antara perkara yang baharu saya tahu ialah:

  • Tidak dibenarkan solat sunat qabliah dan ba’diyah
  • Tidak dibenarkan beriktikaf selepas selesai solat

Setelah selesai solat, tak sedar menitis sedikit air mata terharu, berjaya kembali ke rumah Allah SWT menunaikan solat Jumaat. Alhamdulillah sekarang sudah boleh kembali beribadah di rumah Allah. Kaum muslimin semua, jom ambil kesempatan penuhkan kembali rumah-rumah Allah yang berdekatan.