Solat Witir: pengenalan dan beberapa kaifiat umum

Solat 14 Apr 2021 Aimy Azhary
Pilihan oleh Aimy Azhary
Solat Witir: pengenalan dan beberapa kaifiat umum
Solat Witir: pengenalan dan beberapa kaifiat umum © Arne9001 | Dreamstime.com

‘Witir’ berasal daripada kalimah bahasa Arab iaitu Al-Watr atau Al-Witr, yang bermaksud ‘ganjil atau tidak genap’. Ini bertepatan dengan praktis solat witir itu sendiri kerana jumlah rakaatnya dalam bilangan ganjil.

Di dalam surah al-Fajr, Allah SWT bersumpah dengan kalimah وَٱلشَّفۡعِ وَٱلۡوَتۡرِ :

“Dan (demi) bilangan yang genap serta yang ganjil.”

Hukum solat witir

Jumhur ulama menetapkan hukum solat witir adalah sunat muakad, manakala mazhab Hanafi berpendapat hukumnya adalah wajib. Kedua-dua pendapat ini menggunakan dalil yang sama, namun kaedah mengistinbat hukum menatijahkan perbezaan pendapat sedemikian.

Pendapat yang tepat ialah pendapat jumhur, sesuai dengan wasiat Rasulullah SAW kepada Abu Hurairah ra. Baginda berkata:

“Kekasihku (Muhammad SAW) mengingatkan akan daku supaya melakukan tiga perkara iaitu: berpuasa tiga hari pada setiap bulan, melaksanakan solat Dhuha sebanyak dua rakaat dan melakukan solat Witir sebelum tidur.”

(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ketiga-tiga amalan yang disebutkan mempunyai persamaan dari sudut hukum iaitu sunat muakad. Nabi Muhammad SAW sangat konsisten dengan amalan-amalan tersebut dan mewasiatkan Abu Hurairah agar beramal dengannya, namun ia tidaklah sampai ke tahap wajib sehingga berdosa meninggalkannya.

Selain itu, Imam Ahmad bin Hanbal menegaskan lagi tuntutan sunat ini dengan mengatakan:

“Barangsiapa yang meninggalkan solat sunat witir secara sengaja, maka dia adalah lelaki jelek dan tidak digalakkan untuk menerima penyaksiannya”

Kaifiat umum berkaitan solat sunat witir

Terdapat beberapa ketetapan umum untuk melakukan solat sunat witir. Antaranya, ia hendaklah dilakukan antara Isyak dan Subuh.

Sekiranya seseorang khawatir akan kemampuannya untuk bangun sebelum subuh, maka digalakkan baginya untuk solat sebelum tidur. Kita juga dibenarkan solat dua rakaat (atau bilangan genap yang lain) sebelum tidur dan menambah satu rakaat sebelum subuh.

Sabda Nabi Muhammad SAW:

“Sesiapa yang takut tidak terbangun pada saat akhir malam, dia hendaklah bersolat witir lebih awal, dan sesiapa yang bersungguh-sungguh untuk bangun pada akhir malam dia hendaklah bersolat witir pada akhir malam. Sesungguhnya solat pada akhir malam disaksikan (dihadiri oleh para malaikat) dan itu adalah yang afdhal.”

(Hadis riwayat Muslim)

Bilangan rakaat yang dibenarkan ialah satu, tiga, lima, tujuh dan sembilan. Apabila kita hendak solat sebanyak tiga rakaat, kita diberi pilihan untuk melaksanakannya dengan dua atau satu salam sahaja.

Solat dengan dua salam adalah lebih afdal. Namun sekiranya ingin dilaksanakan sebanyak satu salam sahaja, kita tidak perlu untuk melakukan tasyahhud awal supaya tidak menyerupai solat maghrib.

Konklusinya, solat witir adalah amalan yang amat dianjurkan dalam agama selaras dengan dalil-dalil yang disebutkan. Kesungguhan melaksanakannya dianggap sebagai sifat dan rutin orang-orang soleh.