Solidariti bersama George Floyd

Dunia Abi Aasim 03-Jun-2020
Keadilan untuk George Floyd © munshots | Dreamstime.com

Pada 25 Mei 2020 yang lalu, dunia telah digemparkan dengan kematian George Floyd di Minneapolis, Amerika Syarikat. Rentetan peristiwa tersebut, ramai masyarakat dari seluruh dunia bangkit memprotes ketidakadilan layanan terhadap George Floyd serta masyarakat berkulit hitam di Amerika secara amnya.

Kematian George Floyd bukan sahaja menyebabkan penduduk di negara Amerika berkumpul di jalanan sebagai tanda protes, namun turut melibatkan penduduk negara-negara yang lain. Mereka turut sama-sama bersuara bagi membantah dan mengutuk layanan terhadap masyarakat kulit hitam di Amerika.

George Floyd telah meninggal dunia akibat seorang pegawai polis kulit putih menggunakan kekerasan yang melampau ke atasnya. Pegawai polis tersebut telah menekan leher Floyd dengan lutut dalam masa yang lama menyebabkan dia sukar bernafas. Walaupun George berkali-kali merayu untuk dilepaskan dan memberitahu beliau sukar bernafas, pegawai polis tersebut terus mengasari beliau yang ditahan pada ketika itu kerana menyerupai seorang suspek kes pemalsuan cek.

Akhirnya, George Floyd meninggal dunia dalam keadaan menyedihkan selepas rayuannya langsung tidak diendahkan. Apa yang meyebabkan kemarahan penduduk Amerika dan dunia ialah tindakan ganas pegawai polis kulit putih tersebut kepada beliau yang tidak bersenjata. Tindakan pegawai polis tersebut mencetuskan kutukan daripada ramai pihak terutamanya dari personaliti sukan kulit hitam khususnya. Kejadian keganasan polis atas penduduk kulit hitam juga bukan lagi merupakan sesuatu perkara yang baru.

Sebagai contoh pada tahun 2011, seorang pegawai polis kulit putih telah menembak mati seorang remaja kulit hitam. Peristiwa itu akhirnya mencetuskan protes besar-besaran melibatkan hampir 320,00 orang di Missouri, Amerika Syarikat. Protes tercetus sejurus selepas Hakim Sirkit, Timothy Wilson membebaskan bekas pegawai polis St. Louis, Jason Stockley, 36, daripada tuduhan membunuh Anthony Lamar Smith, 24 yang ditembak mati.

Sikap keganasan polis dan sikap perkauman seharusnya tidak lagi terjadi pada masa sekarang. Pemain bola sepak terkenal pasukan Manchester United, Paul Pogba berkata: “keganasan dalam perkauman tidak boleh dipandang ringan. Saya tidak boleh dan tidak mahu bertoleransi. Perkauman adalah kejahilan, cinta adalah kepintaran.”

Selain Pogba, bintang muda England meningkat naik, Jadon Sancho turut bersama-sama mengungkap solidariti untuk George Floyd. Jadon menunjukkan solidariti terhadap kematian Floyd dengan mengangkat jersi yang dipakainya dan menunjukkan tulisan ‘Justice for George Floyd’ selepas berjaya menjaringkan gol hat-trick ketika perlawanan bersama pasukan Paderborn pada 1 Jun lalu.

Rakyat di seluruh dunia telah melakukan demonstrasi bagi membantah keganasan polis dan sikap perkauman sebagai solidariti untuk George Floyd. Di England, penduduk telah berkumpul dan melanggar perintah berkurung negara itu. Sesetengahnya turut berarak sehingga ke kedutaan Amerika Syarikat di negara itu.

Selain itu beberapa penduduk di bandar besar seluruh dunia seperti Amsterdam dan Auckland turut sama-sama mengambil bahagian dalam melakukan perhimpunan bagi membantah kekerasan dan sifat perkauman. Negara Perancis, Brazil, Denmark dan Greece juga turut mengambil bahagian.

Di Kanada, ribuan penduduk berarak di kota Toronto untuk membantah keganasan polis terhadap bangsa berkulit hitam. Perkara ini seiring dengan kes keganasan polis terhadap wanita kulit hitam, Regis Korchinski- Paquet pada 27 Mei lalu.

Perhimpunan aman tersebut telah  dianjurkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan  (NGO) yang bernama Not Another Black Life. Semoga sifat keganasan dan unsur perkauman sejagat dapat dihapuskan sejajar dengan akidah Islam yang bebas dari unsur perkauman, di mana keadilan dalam Islam itu adalah buta warna, bangsa dan agama.