Sopan dan sabar: hormati orang yang lebih tua

Masyarakat Hanita Hassan
dreamstime_s_22098829
Hormati orang yang lebih tua © Wong Sze Yuen | Dreamstime.com

Sering kali dalam zaman sekular, kita melakukan sesuatu sekehendak hati sehingga orang tua dalam keluarga atau masyarakat tidak diberi penghormatan sewajarnya. Islam mengajar kita agar menghormati orang tua dan memperlakukan mereka dengan sebaiknya.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang maksudnya:

“Tidaklah orang yang muda itu apabila dia memuliakan orang yang tua disebabkan usianya, melainkan Allah akan menetapkan pada usia tuanya nanti akan ada orang yang memuliakannya.”

(Hadis riwayat al-Tirmizi, 2022)

Bercakap dengan nada sopan, bersabar melayani mereka

Anda perlu ingat bahawa ketika bercakap dengan anggota keluarga yang lebih tua, bercakaplah dengan nada yang sopan dan tidak menjawab pertanyaan mereka dengan kasar.

Mungkin cara anda dibesarkan berbeza dan tentu sahaja dalam jangka waktu yang berbeza. Justeru, anda mungkin mempunyai pendapat yang berlainan terutama bagi yang lebih muda.

Memiliki pemikiran seperti ini membantu anda lebih peka dan sedar tentang bagaimana seharusnya berbicara dengan orang tua serta sentiasa ingat untuk mendapat keredaan Allah SWT.

Anda juga perlu sentiasa bersabar ketika melayani mereka. Mungkin semasa  bersama mereka, jika diperhatikan pergerakan mereka lebih perlahan atau memerlukan lebih banyak masa untuk menjelaskan sesuatu.

Usah  mendesak mereka kerana ia memperlihatkan sikap tidak menghormati mereka. Setiap manusia, jika telah ditakdirkan Allah SWT panjang usianya, pasti mereka akan mencapai usia tua. Bagaimana perasaan anda jika seseorang tidak sabar dengan anda di masa tua nanti.

Anda harus ingat bahawa ramai anggota keluarga atau warga tua yang dilanda kesepian. Mungkin pasangan mereka telah meninggal dunia, atau anak-anak sudah dewasa dan berpindah ke rumah yang berbeza.

Terdapat banyak sebab mengapa orang tua berasa keseorangan. Anda mesti mengingatkan diri bahawa sekiranya anda ingin mendapatkan keredaan Allah SWT anda perlu melayani orang tua agar mereka berasa gembira.

Termasuk mengagungkan Allah SWT adalah menghormati orang tua

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya termasuk mengagungkan Allah adalah menghormati seorang muslim yang beruban (sudah tua).”

(Hadis Riwayat Abu Dawud)

Anda juga tidak boleh menafikan bahawa orang tua mungkin memerlukan lebih banyak bantuan untuk melakukan aktiviti harian mereka. Orang muda mungkin tidak punya masalah melakukan perkara-perkara seperti membuat sarapan pagi, menaiki tangga atau berjalan-jalan di luar.

Orang tua amat menghargai sekiranya ada seseorang yang sentiasa membantu mereka. Golongan muda atau yang lebih berkemampuan seperti anda mesti membuat perkara yang dapat meringankan beban orang tua dalam keluarga serta masyarakat.

Anda juga harus berusaha untuk mengingatkan diri bahawa ketika pandemik global, ramai golongan tua  yang mudah dijangkiti  wabak. Sekiranya mereka  sakit, mereka perlu lebih tabah menghadapinya kerana fizikal mereka semakin lemah.

Sebagai umat Islam, menjadi tugas anda untuk berbuat baik dan membantu apa sahaja untuk mengurangkan bebanan mereka. Justeru, teladanilah akhlak Nabi Muhammad SAW yang kita kasihi.

Sepertimana sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:

“Bukanlah daripada kalangan kami orang yang tidak menyayangi orang yang lebih muda daripada kami dan menghormati orang yang lebih berusia daripada kami.”

(Hadis riwayat al-Tirmizi, 1919)