Persekitaran Web Patuh Muslim.. Ketahuiselanjutnya

Sorotan Stail: Sepatu Alga Kanye West & Tema Met Gala 2020

Stail Ili Farhana 11-Nov-2019

Sepatu Lestari YEEZY

Kanye West memang tidak boleh duduk diam. Selepas melancarkan album ke-9nya  hujung bulan lalu, beliau baru-baru ini telah mengumumkan sepatu YEEZY terbarunya akan dibuat menggunakan alga. Ya, sepatu YEEZY bakal dibuat dengan campuran bahan berasaskan tumbuhan tidak lama lagi.

Kata Kanye ia adalah sebahagian daripada rencana kelestarian jenama itu.  Artis hip hop ternama itu membuat pengumuman tentang inovasi terbaru jenamanya bersama Ketua Rekaan YEEZY, Steven Smith di acara Festival Inovasi kelolaan majalah Fast Company.

Prototaip YEEZY Foam Runners yang dibawanya di acara itu memperlihatkan reka bentuk selari bersama potongan di beberapa bahagian sepatu untuk pengudaraan maksimal. Tambah West lagi, YEEZY telah memindahkan pusat operasi mereka ke kawasan seluas 4,000 ekar di Cody, Wyoming, Amerika Syarikat. Kawasan itu juga bakal mempunyai ladang hidroponiknya sendiri.

 

 

Tema Met Gala 2020 diumumkan

Acara fesyen bertema tahunan yang dinanti-nantikan, MET Gala, telah mengumumkan temanya untuk tahun 2020. Metropolitan Museum of Art of New York City mengumumkan tema Met Gala 2020 dan pameran yand diadakan selari dengannya adalah– About Time: Fashion and Duration.

Pameran ‘About Time’ nanti adalah sebahagian daripada sambutan ulangtahun ke-150 muzium terkenal itu. Ia akan membawa pengunjung menelusuri jejak sejarah fesyen dari tahun 1970 sehingga ke sekarang. Ia juga akan mendalami hubungan antara fesyen dan masa melalui hasil penulisan mendiang Virginia Woolf.

Pameran ‘About Time’ akan diadakan dari 7 Mei hingga 7 September 2020 manakala gala akan diadakan pada 4 May.

Setiap tahun, Met Gala dihadiri oleh nama-nama besar fesyen dan para selebriti dengan pakaian warna-warni mereka, selari dengan tema yang diberikan.

Tema tahun ini adalah Camp: Notes on Fashion dan diinspirasikan oleh esei tulisan Susan Sontag, ‘Notes on Camp.’ Met Gala 2019 telah diadakan pada 6 Mei lalu.

 

 

Gambar: Ihsan Instagram Highsnobietysneakers