Spider-Man Bawa Penonton ‘Bercuti’ Lewat ‘Far From Home’

Jake Gyllenhaal and Tom Holland star in Columbia Pictures' SPIDER-MAN: ™ FAR FROM HOME.

Selain Superman atau Batman, Spider-Man barangkali merupakan adiwira paling popular dalam sejarah dunia komik, animasi serta perfileman. Sering dijadikan produk di layar perak, watak Spider-Man telah dimainkan oleh ramai orang sepanjang kewujudan jenamanya.

Spider-Man: Far From Home pula adalah kesinambungan selepas filem Avengers: Endgame di mana Peter Parker yang menyimpan identiti rahsianya sebagai manusia labah-labah itu masih terpaksa berdepan dengan hal-hal rumit lain yang harus dilalui kebanyakan pelajar remaja sepertinya di bangku sekolah menengah.

Kali ini kisah bermula kala Peter mendapat tahu bahawa seluruh kelasnya bakal mengikuti lawatan sambil belajar ke Eropah. Peter yang begitu teruja mula mengatur langkah untuk cuba menarik perhatian gadis yang disukainya, iaitu MJ.

Namun, dalam kesibukan dia menjelajah Eropah bersama rakan-rakan sekelasnya, Peter dihubungi oleh Nick Fury, ketua pihak SHIELD yang terbabit dalam proses penyelamatan dunia bersama kumpulan Avengers sebelum ini.

Menurut Fury, bantuan Spider-Man diperlukan untuk menentang beberapa makhluk jahat daripada dimensi yang berbeza. Namun dia dibantu seorang adiwira baru yang muncul secara tiba-tiba bernama Mysterio.

Lebih menarik lagi, filem kali ini banyak meneroka kota-kota popular Eropah seperti Prague, Berlin dan Venice untuk menghasilkan visual penceritaan yang lebih menarik. Selain terhibur menonton gelagat Spider-Man yang masih remaja ini, penonton juga pasti bakal menyenangi pemandangan indah bandar-bandar ternama yang disebutkan tadi.

Seperti semua filem adiwira dunia Marvel, Spider-Man: Far From Home padat dengan aksi mencemaskan serta kesan visual yang hebat.

Jadi jika anda peminat filem adiwira dan sains fiksyen, jangan lupa saksikan filem ini di semua pawagam di seluruh Malaysia bermula 3 Julai ini.