Star Vendors Beri Ruang Kepada Selebriti Untuk Berniaga

Menjelang bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri yang akan tiba tidak lama lagi, banyak penganjur telah mula menguar-uarkan mengenai aktiviti karnival jualan raya dan bersiap-sedia untuk menganjurkan acara besar-besaran mereka.

Pelbagai jenama fesyen dan kecantikan tempatan telah pun mengesahkan penglibatan masing-masing dalam acara-acara tersebut, yang pastinya akan memberikan lebih pilihan kepada orang ramai untuk membeli-belah bagi persediaan raya mereka.

Namun, apa yang menarik perhatian adalah apabila melihatkan trend berniaga dalam kalangan para selebriti tempatan, yang turut sama terlibat dalam pelbagai acara jualan raya pada tahun ini.

Salah satu daripada karnival jualan raya yang dijangka mendapat sambutan menggalakkan adalah Star Vendors, yang akan menghimpunkan bukan sahaja pelbagai jenama fesyen dan kecantikan popular, malahan kira-kira 40 selebriti tanah air yang akan turut serta.

Ketua Pegawai Eksekutif Star Vendors, Ifa Raziah berkata, karnival yang akan menghimpunkan lebih 400 usahawan itu memberi peluang kepada mereka untuk memperluaskan jaringan perniagaan termasuk usahawan antarabangsa.

“Kita ada beberapa jenama antarabangsa selain tempatan, jadi banyak peluang yang ada untuk kolaborasi perniagaan.

“Saya terharu dengan sokongan dan kepercayaan termasuklah ada jenama perkhidmatan yang mahu bekerjasama dengan kami,” jelasnya yang yakin bahawa Star Vendors bukanlah semata-mata karnival jualan biasa, sebaliknya menjadi platform terbaik untuk usahawan meluaskan perniagaan.

Antara selebriti popular tanah air yang dijangka menyertai karnival itu ialah Ziana Zain, Anuar Zain, Datuk Rosyam Nor, Datuk Aznil Nawawi, Datuk Fizz Fairuz dan ramai lagi.

Manakala antara jenama fesyen dan kecantikan yang akan turut serta adalah DYXY, Naelofar Hijab, ALHA ALFA, BELLAZ by MUA Bella, De’Xandra dan banyak lagi.

“Kami menyasarkan jualan melebihi RM10 juta untuk karnival selama 72 jam tanpa henti ini, dan mampu menarik sehingga 2.5 juta pengunjung.

“Niat kami adalah untuk membuktikan bahawa artis juga mampu bergelar usahawan dan menjana pendapatan dengan cara lain.

“Selain itu, karnival ini juga membuka peluang semua pihak termasuk para peniaga bumiputera untuk meluaskan perniagaan mereka,” ujarnya.

Bakal berlangsung pada 24 hingga 26 Mei depan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) selama 72 jam tanpa henti bermula 10 pagi, Star Vendors turut menawarkan pengunjung hadiah cabutan bertuah termasuk wang tunai.

Sementara itu, Pengarah Pemasaran dan Komunikasi PWTC, Intan Tantiyana Puteri Jaafar berkata, pihaknya mengalu-alukan sesiapa sahaja yang mahu berniaga.

“Apa yang penting, datang bersama modal dan kos. Ada duit, buat bayaran yang sepatutnya, dan sesiapa pun boleh berniaga,” jelasnya.

Penaja utama bagi Star Vendors ialah Nuc Car dan Neffos selaku penaja bersama.

Foto: Star Vendors