‘Still Human’ Ketengah Persoalan Mengejar Impian Dan Perbezaan Budaya

Jangan berhenti mengejar impian kerana tiada yang mustahil dalam dunia ini, selagi kita berusaha dan yakin bahawa impian itu mampu dicapai.

Itulah tema utama yang diangkat dalam naskhah terbaharu Pengarah muda dari Hong Kong, Chan Oliver Siu Kuen bertajuk Still Human, sebuah filem bergenre drama yang mengetengahkan pelbagai konflik berkisarkan kekeluargaan, kemasyarakatan dan pilihan hidup.

Membuka tirai dengan memaparkan kehidupan seorang lelaki lumpuh yang tinggal berseorangan di sebuah pangsapuri berkos rendah di Hong Kong, Cheong-wing (Anthony Wong) digambarkan sebagai seorang yang menjalani kehidupan membosankan.

Selepas ditinggalkan oleh beberapa penjaganya yang terdahulu, Cheong-wing menemui seorang penjaga baharu, merangkap pembantu rumah yang berasal dari Filipina, Evelyn (Crisel Consunji) yang akan tinggal bersamanya dan menguruskan kehidupannya.

Evelyn merupakan seorang wanita muda yang pergi ke bandar Hong Kong berseorangan dengan menyimpan seribu satu kisah hidup serta menggenggam sebuah impian, iaitu untuk menjadi seorang jurugambar profesional.

Meskipun mempunyai latar belakang hidup dan budaya yang berbeza, Cheong-wing dan Evelyn yang pada awalnya mempunyai kekangan dari segi bahasa pertuturan, akhirnya berjaya menemui titik persamaan antara mereka.

Sikap Evelyn yang lurus, jujur dan penuh dengan kesabaran dalam menjaga Cheong-wing akhirnya mewujudkan satu persefahaman dan sikap saling mempercayai antara kedua-duanya.

Apabila Cheong-wing mendapat tahu mengenai impian Evelyn iaitu untuk menjadi seorang jurugambar profesional dan dia sebenarnya bukanlah seorang penjaga atau pembantu rumah biasa, Cheong-wing membuat kejutan dengan menghadiahkan sebuah kamera kepada gadis itu.

Mendapat dorongan daripada Cheong-wing untuk mengejar impiannya, Evelyn mula mengumpul koleksi gambar-gambarnya, seterusnya menghantar penyertaan untuk sebuah pertandingan fotografi.

Di sinilah konflik dalam mengejar impian mula menghimpit Evelyn, di mana dia hampir berputus asa terhadap impiannya, dek desakan wang ringgit yang perlu dihantar kepada keluarganya di kampung.

Bagaimanapun, melihatkan kesungguhan Cheong-wing dalam memberi galakan kepadanya untuk tetap mengejar impiannya, termasuklah membuat permohonan untuk mendapatkan pekerjaan sebagai pembantu jurugambar profesional di London tanpa pengetahuan Evelyn, gadis itu akhirnya tidak berputus asa dan kekal berpegang teguh pada impiannya.

 

Digarap dengan baik bagi setiap babak, filem Still Human sememangnya perlu ditonton oleh setiap generasi kerana boleh dikatakan hampir kesemua babaknya mengandungi elemen pengajaran.

Antara dialog yang paling diingati adalah ketika Cheong-wing menyalahkan keadaan dirinya yang kurang upaya sehingga menyebabkan keluarganya berpecah belah dan anak lelakinya hampir terkandas dalam pelajaran suatu ketika dahulu.

Nasihat yang diberikan Evelyn mudah sahaja, namun memberi maksud mendalam, “We can’t choose to sit on the wheelchair. But, we can choose how to sit on it.”

Ternyata, pengarah yang juga penulis skrip ini berjaya meruntun emosi penonton dengan mewujudkan babak-babak yang beremosi serta dialog-dialog yang bersahaja, namun mempunyai maksud mendalam.

 

Malahan ada antara babak yang tanpa memerlukan dialog atau muzik latar yang sedih, sudah mampu membuat penonton mengalirkan air mata hanya dengan bermodalkan reaksi wajah dan penghayatan para pelakonnya.

Sebuah naskhah yang tidak berat untuk difahami dan berkait rapat dengan kehidupan seharian, tidak rugi bagi para penonton terutamanya peminat drama Kantonis untuk menonton Still Human.

Ia bakal ditayangkan di pawagam berhampiran anda pada 20 Jun ini.

Foto: TGV Cinemas