Strategi Perang Badar dan kemenangan ketika berpuasa

Puasa 04 Mei 2020 Hanita Hassan
Tapak Perang Badar © islamiclandmarks.com

Peperangan Badar ialah pertempuran pertama umat Islam.  Peperangan ini berlaku di luar kota Madinah, pada tanggal 17 Ramadan tahun ke-2 hijrah di sebuah tempat bernama Badar iaitu lebih kurang 130 kilometer dari selatan Madinah. Ia adalah isyarat betapa mulianya umat Islam yang berpegang teguh pada tali agama Allah.

Dalam peperangan ini, tentera Islam  seramai 313 orang terpaksa berhadapan dengan 1,000 tentera Musyrikin Mekah yang lengkap bersenjata.  Nabi SAW dan para sahabat menggunakan kebijaksanaan mereka dengan mengatur strategi pertempuran. Mereka berarak dari Madinah ke Badar menggunakan strategi yang serupa dengan strategi yang digunakan sekarang dalam perang di padang pasir.

Baginda SAW juga menghantar rondaan untuk mengumpulkan maklumat. Tentera Islam turut mengawal lokasi strategik dan menguasai semua sumber air yang terdapat di daerah itu. Matlamat berpandangan jauh, semangat yang tinggi tentera Islam dan kesatuan umat Islam berperang di bawah satu pimpinan, iaitu Rasulullah SAW, juga merupakan sebab-sebab kemenangan.

Para pemuda dari kaum Muhajirin dan kaum Ansar yang terlibat dalam peperangan ini begitu berkobar-kobar dan bersemangat.  Mereka langsung tidak gentar berhadapan tentera musuh yang ramai kerana keyakinan yang sangat kuat terhadap Allah SWT.

“Maka berperanglah kamu pada jalan Allah, tidaklah kamu dibebani melainkan dengan kewajipan kamu sendiri. Korbankanlah semangat para mukmin (untuk berperang).  Mudah-mudahan Allah menolak serangan orang-orang yang kafir itu.  Allah amat besar kekuatan dan amat keras siksaan(Nya).”  (An-Nisa, 84)

Akhirnya kemenangan berpihak kepada tentera Muslimin. Tidak ada siapa dapat menahan besarnya pertolongan Allah SWT.  Inilah ganjaran terhadap umat-Nya yang sentiasa melaksana perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya.

Sejumlah 14 orang tentera muslimin syahid dalam Perang Badar, enam daripada kaum Muhajirin dan lapan daripada  kaum Ansar. Sementara itu, sekitar 70 tentera musyrikin telah mati dan 70 lagi ditawan, manakala sebahagian besar daripadanya telah melarikan diri.

Kekuatan Islam semasa Perang Badar bukan terletak pada bilangan   tentera mereka, tetapi akidah dan tauhid yang kental yang memperjuangkan Islam yang  telah membawa kemenangan kepada para sahabat dan pengikut Nabi SAW.  Kekalahan tentera musyrikin telah meningkatkan keyakinan kabilah-kabilah Arab kepada perjuangan Nabi SAW dan agama Islam yang dibawa oleh baginda.

Kemenangan umat Islam adalah isyarat Allah SWT kepada Nabi SAW untuk meneruskan dakwah Islam. Sirah perjuangan para sahabat berperang mempertahan agama dalam keadaan berpuasa dengan kelengkapan persenjataan yang kurang dalam bulan Ramadan perlu dikisahkan kepada generasi muda.

Ia untuk memperlihatkan betapa tinggi tahap kesabaran mereka.  Segala kesusahan, kelaparan dan dahaga yang kita rasai hari ini tidaklah seberapa berbanding apa yang dilalui oleh para sahabat dan Nabi SAW. Puasa bukan faktor penyebab umat Islam menjadi lemah dan malas sebaliknya puasa boleh meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.

Justeru, marilah kita bersama-sama menggunakan peluang berada dalam bulan Ramadan dengan sebaiknya. Kekangan seperti ketiadaan solat fardhu berjemaah, solat Jumaat dan solat tarawih di masjid dan surau bukan alasan untuk anda tidak mengimarahkan bulan suci ini.

Ramadan perlu dihidupkan dengan ibadat puasa dan tradisi  di rumah dengan mengukuhkan ikatan kekeluargaan, menyediakan juadah berbuka dan sahur bersama, menunaikan solat berjemaah serta memantapkan ilmu agama.

“Sungguh Allah SWT telah menolong kamu dalam peperangan Badar, padahal kamu adalah (ketika itu) orang-orang yang lemah.  Kerana itu, bertakwalah kepada Allah agar kamu mensyukuri-Nya.”  (Ali-Imran, 123)