‘Stuber’ Papar Hiburan Aksi Dan Komedi

Apakah yang akan berlaku apabila seorang pemandu Uber biasa mengambil seorang pelanggan yang tanpa disedarinya sebenarnya merupakan seorang anggota polis yang sedang memburu penjahat berbahaya?

Lebih memburukkan keadaan adalah apabila polis yang brutal itu ‘mengheret’ pemandu Uber tersebut untuk turut sama terjebak dalam pemburuannya, yang membawa kepada pelbagai insiden ganas dan mengerikan yang tidak pernah dialami oleh seorang lelaki biasa.

Itulah yang ditonjolkan oleh Michael Dowse dalam filem komedi aksi terbaharu arahannya, Stuber.

Menampilkan pelakon hebat yang juga merupakan bekas ahli gusti, Dave Bautista serta pelakon komedi yang berasal dari Pakistan, Kumail Nanjiani, Stuber memaparkan pelbagai babak komedi dalam filem yang penuh dengan aksi hebat Bautista.

Stuber mengisahkan tentang Stu (Kumail Nanjiani), seorang lelaki biasa yang melakukan dua kerja untuk menyara hidup, iaitu jurujual di kedai alatan sukan dan pemandu Uber.

Manakala Vic (Dave Bautista) pula merupakan seorang anggota polis yang dihantui oleh rasa bersalah kerana pernah kematian rakan setugasnya ketika memburu penjenayah yang berbahaya, Tedjo (Iko Uwais).

Disebabkan rasa dendam dan marahnya kepada Tedjo kerana membunuh rakan setugasnya, Vic bertekad untuk memburu Tedjo sendirian.

Dalam usahanya untuk memburu Tedjo, Vic terpaksa menggunakan khidmat pemandu Uber kerana dia pada ketika itu baru selesai menjalani sesi rawatan mata yang menyebabkannya tidak dapat melihat dengan jelas.

Pelbagai insiden lucu berlaku antara Vic dan Stu di samping aksi mendebarkan dan babak berlawan  Bautista yang sememangnya terkenal dengan filem-filem aksi itu.

Penonton juga pasti terhibur melihatkan watak Stu yang disifatkan Vic sebagai seorang lelaki pengecut kerana menjalani kehidupan yang membosankan, tidak berani berlawan serta takut untuk meluahkan perasaannya kepada teman baiknya, Becca.

Stuber dilihat sebagai sebuah naskhah ringan untuk hiburan penonton yang gemar akan filem aksi, namun masih ingin berasa santai dengan babak-babak dan dialog-dialog lucu.

Filem terbaharu 20th Century Fox ini antara lain turut menampilkan pelakon-pelakon seperti Natalie Morales, Betty Gilpin, Jimmy Tatro, Mira Sorvino dan Karen Gillan.

Ia bakal ditayangkan di pawagam-pawaga seluruh Malaysia pada 15 Ogos 2019.

Foto: The Walt Disney Company (Malaysia)

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!