Studio Tarian Kecergasan Untuk Wanita

Kebelakangan ini, kesedaran golongan wanita terhadap kepentingan untuk menjaga kesihatan dilihat semakin memberangsangkan apabila ramai yang mula melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti kesihatan.

Ia termasuk bersenam di gimnasium, berjoging, mendaki bukit dan gunung, menyertai acara larian, dan antara yang popular adalah aktiviti tarian kecergasan seperti zumba dan salsation.

Di sana sini kita dapat melihat pelbagai acara tarian kecergasan diadakan bagi menarik minat lebih ramai orang untuk menyertainya.

Dan setiap kali itu jugalah, sambutan yang diberikan amat menggalakkan.

 

Manfaat Aktiviti Tarian Kecergasan

Menurut seorang jurulatih salsation, Nor Hayati Ali, masyarakat pada masa kini dilihat lebih terbuka dan menyedari kepentingan untuk mengamalkan gaya hidup sihat, dan ia menjadikan aktiviti tarian kecergasan semakin diminati ramai.

 

“Golongan wanita terutamanya, kini sedar bahawa badan yang cergas dan sihat dapat membentuk pemikiran yang positif. Dan apabila minda serta badan mereka cergas, mereka mampu melakukan yang terbaik untuk diri sendiri dan keluarga.

“Jadi, bagi yang ingin melakukan aktiviti kardio dengan cara yang lebih menyeronokkan berbanding larian atau joging semata-mata, tarian kecergasan adalah pilihan terbaik untuk mereka.

“Di samping dapat menyihatkan tubuh badan, ia juga lebih menyeronokkan, menghilangkan tekanan menerusi terapi muzik dan tarian serta dapat membina keyakinan diri seseorang itu, di samping dapat mengenali rakan-rakan baharu,” ujarnya.

 

Studio Tarian Kecergasan Untuk Wanita

Namun, antara dilema yang sering membelenggu golongan wanita terutamanya Muslimah adalah perasaan malu untuk menari di tempat terbuka yang boleh dilihat oleh semua orang, terutamanya lelaki.

Sudah tentu sebenarnya ramai daripada kita yang berasa teringin dan suka untuk menyertai acara-acara tarian kecergasan tersebut.

Namun mereka terpaksa memendam minat itu dek kekangan-kekangan seperti rasa malu atau batas aurat yang perlu dijaga.

 

Bagaimanapun kini, kesemua itu tidak akan menjadi penghalang lagi buat para Muslimah di luar sana, kerana Ruang Fitness membolehkan anda untuk menyertai aktiviti tarian kecergasan tanpa perlu berasa malu.

Ini kerana studio tarian yang terletak di Taman Maju Jaya, Petaling Jaya itu dibuka khusus untuk wanita sahaja.

Mula beroperasi pada awal bulan Ogos yang lepas, Ruang Fitness memberi peluang kepada wanita Muslimah untuk menyertai tarian kecergasan dalam suasana yang tertutup dan selesa.

 

 

Menurut pengasasnya, Nur Aisyah Razali, idea untuk membuka studio tarian dengan konsep sedemikian bermula daripada dirinya sendiri yang berasa malu untuk menari di tempat terbuka.

“Sebelum ini, saya pernah terfikir yang saya ingin menari, namun kebanyakan kelas tarian kecergasan dilakukan di tempat-tempat terbuka.

“Sebagai wanita, kita ada sifat malu dan saya berpendapat kurang manis untuk saya menari di tempat terbuka.

 

 

“Disebabkan itulah datangnya idea untuk membuka studio tarian ini bagi memberi ruang kepada wanita seperti saya yang ingin menjaga kesihatan dengan cara yang menghiburkan,” ujarnya yang turut mengusahakan sebuah gymnasium, Oxygen Specialized Gym bersama suaminya.

Menariknya, Oxygen Specialized Gym dibuka bersebelahan dengan studio Ruang Fitness, dan telah beroperasi selama lima tahun.

Ditanya mengenai jadual harian kelas tarian di Ruang Fitness, Nur Aisyah, 27 tahun, berkata, pada masa ini, ia menyediakan kelas zumba dan salsation secara bergilir-gilir sebanyak empat kali seminggu.

“Sesi adalah pada hari Isnin, Selasa, Khamis dan Jumaat pada pukul 9 malam dengan menampilkan jurulatih-jurulatih zumba dan salsation yang berpengalaman dalam sesi tarian selama sejam yang menyeronokkan,” jelasnya.

Bagi yang ingin menjadi ahli Ruang Fitness, harga yang ditawarkan adalah RM90 untuk satu kad keahlian berserta satu sesi percuma.

 

 

Manakala harga untuk pelanggan walk-in adalah RM10 bagi satu sesi.

Ruang Fitness boleh diikuti di:

Instagram: ruangfitness

Facebook: ruangfitness

Foto: Sany Hasan