Suami Curang, 5 Cara Menghadapinya

Jika berbicara tentang kecurangan, kaum wanita lebih beremosi kerana sering menjadi mangsa lelaki ‘hidung belang’. Lelaki boleh menyayangi lebih daripada seorang wanita dalam satu masa, namun jarang berlaku kepada wanita.

Bagi masyarakat Islam, lelaki sering menggunakan hak kuota berkahwin empat sebagai alasan untuk tidak setia pada yang satu. Biarpun hakikatnya mereka tidak mampu atau gagal mengikut sunnah-sunnah Nabi Muhammad S.A.W yang lain, tetapi hal berkaitan perkahwinan tidak boleh tidak.

Bagi wanita yang  berhadapan dengan teman hidup yang curang, jangan terus-terusan berfikiran negatif. Ambil langkah yang lebih bijak. Remember, you are stronger than you think!

Berikut beberapa cara atau pendekatan yang boleh diambil.

 

1) Berhenti salahkan diri sendiri

Hal paling penting dalam kes curang, jangan pindahkan kesalahan ke bahu sendiri. Ramai lelaki yang berlaku curang tidak mahu mengakui kesalahan sendiri, sebaliknya mula menunding jari kepada pasangan. Mungkin benar pasangan ada kekurangan di sana sini, namun semua itu bukan lesen untuk lelaki berlaku curang.

 

2) Bersemuka

Memendam rasa bukanlah jalan penyelesaian. Jadi lebih baik bersemuka dengan pasangan untuk mencari penyelesaian. Memendam rasa hanya menjadikan keadaan menjadi lebih rumit sehingga boleh mengundang depresi. Cara untuk bersemuka itu terpulanglah, namun harus diingatkan supaya anda kekal tenang sebaik mungkin.

 

3) Apa yang boleh dimaafkan?

Setiap individu punya limitasi dalam menghadapi sesuatu isu. Melampau bagi anda, mungkin tidak kepada orang lain. Setiap orang ada prinsip tersendiri tentang kemaafan. Ada isteri yang langsung tidak boleh terima jika suaminya keluar bersama wanita lain biarpun hanya seorang kawan. Tetapi ada juga yang tidak kisah asalkan dimaklumkan lebih awal. Jadi bincang sama-sama krisis yang terjadi, teliti dan dalami apa yang boleh dimaafkan, apa yang tidak.

 

4) Tetapkan peraturan

Jikalau isu kepercayaan berterusan, tetapkan peraturan antara anda dan si dia. Contohnya, dia tidak boleh lagi menetapkan kata laluan di telefon bimbit, memaklumkan ke mana tujuannya jika mahu pulang lewat malam atau minta dia bawa anda bersama jika ada acara dengan teman-temannya. Minta pasangan berjanji tidak lagi menghubungi wanita yang menjadi orang ketiga. Peraturan ini perlu dipatuhi olehnya memandangkan dia yang berlaku curang.

 

5) Beri peluang kedua

Hanya anda yang boleh menilai sama ada boleh memberi peluang kedua kepadanya atau sebaliknya. Jika anda rasa berbaloi untuk memberi peluang kedua kepada pasangan, pastikan dia benar-benar faham bahawa tiada lagi peluang ketiga atau keempat untuknya. Ingat, ‘Fool me once, shame on you, fool me twice, shame on me!’

Sumber: https://love.allwomenstalk.com