Suami dan isteri – hidup saling bertolak-ansur

Keluarga Hanita Hassan 21-Okt-2020
dreamstime_s_174329667
Suami dan isteri - hidup saling bertolak-ansur © Paulus Rusyanto | Dreamstime.com

Pembinaan masyarakat mahupun negara bergantung kepada asas pembentukan sesebuah keluarga iaitu tempat di mana kita dibesarkan, diasuh serta dididik.  Keluarga harmoni adalah keluarga yang mana suami dan isteri hidup saling bertolak-ansur serta sepakat dalam mengharungi semua isu dalam rumah tangga.

Hari ini, bukan suami sahaja yang keluar mencari nafkah, isteri juga memainkan peranan yang sama untuk membantu meningkatkan ekonomi keluarga.  Namun, cabaran bagi anda sebagai isteri bekerjaya lebih besar kerana perlu memikul tanggungjawab sebagai isteri, ibu dan pekerja.

Peranan penting seorang isteri

Seperti kata pepatah:

“Tangan yang menghayun buaian itu boleh menggegarkan dunia.”

Begitulah pentingnya peranan yang dimainkan oleh seorang ibu dalam melahirkan generasi yang berkembang baik dari segi rohani mahupun jasmani.  Ibu paling rapat dengan anak khusus dalam fasa pertama semasa kanak-kanak.  Ibulah yang menanam prinsip serta akhlak baik dalam diri mereka.

Sebagai pekerja, anda sebagai wanita juga perlu menggembleng usaha untuk memajukan negara, lebih profesional dan tidak terbawa-bawa masalah rumah tangga ke tempat kerja. Tugas anda sebagai isteri adalah memberi ketaatan sepenuhnya kepada suami berlandaskan hukum Islam. Manakala tugas suami menjadi pelindung kepada anda sebagai isteri.

Ali Ibn Abi Talha diriwayatkan oleh Ibn Abbas dalam Tafsir Ibn Kathir:  “Lelaki adalah pelindung dan penjaga wanita, ini bermakna suami berkuasa ke atas isteri.  Dalam erti kata lain, isteri perlu patuh pada suami, melayan keluarganya dengan baik dan menjaga hartanya.”

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang.  Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”

(Surah ar-Rum, ayat 21)

Begitulah dalam membina sebuah rumah tangga. Perlu ada kesepakatan di antara suami dan isteri, bertolak ansur dalam semua perkara serta melaksana tugas dan tanggungjawab, kewajipan dan hak masing-masing dengan sesempurna mungkin. Semua ini akan menjadikan sebuah keluarga itu baiti jannati.

Sama-sama berkorban demi keluarga

Suami atau isteri sama-sama berkorban demi keluarga yang dibina. Pada akhirnya anda mendapat ketenangan, mahabbah (kasih sayang) dan rahmat yang melahirkan cinta dan kebahagiaan. Sepertimana firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.”

(Surah an-Nisa, ayat 19)

Suami yang berkemampuan hendaklah meringankan beban isteri dengan mengupah orang gaji atau membelikan peralatan moden seperti periuk nasi elektrik, mesin basuh dan sebagainya bagi mempermudah tugas isteri mengurus rumah tangga selepas pulang dari tempat kerja.

Islam adalah agama yang sempurna dan setiap hukum dan peraturan yang terdapat di dalamnya bukan hanya memihak kepada lelaki, tetapi juga kepada isteri dan semua pihak.

Islam juga telah menetapkan suami bertanggungjawab dalam memimpin rumah tangga dan memenuhi hak-hak isteri serta memerintahkan supaya mereka berlaku baik terhadap isteri mereka sesuai dengan apa yang diajar oleh Rasulullah SAW.

Justeru, dalam melayari kehidupan berkeluarga, bertolak-ansur adalah amalan yang baik supaya hidup lebih harmoni, aman dan terteram.