Suami sebagai rakan akrab

Perkahwinan Hanita Hassan
Terkini oleh Hanita Hassan
Suami sebagai rakan akrab
Suami sebagai rakan akrab © Paulus Rusyanto | Dreamstime.com

Sebaik sahaja lafaz akad diucapkan, maka sah seorang perempuan bergelar isteri kepada pasangannya.  Inilah saat paling bahagia dalam kehidupan seorang perempuan.  Selepas berkahwin dunianya hanya suami.  Apabila mendapat anak, suami dan anak akan menjadi keutamaan.  Sudah pasti, isteri seharusnya jadikan suami sebagai rakan akrab.

Begitulah sikap seorang perempuan. Semua perkara yang berlaku daripada yang sekecil-kecilnya akan diceritakan kepada suami.  Pendek kata suami adalah rakan akrab atau pendengar setia jurnal yang terkumpul dalam kotak fikirnya setiap hari, tempat mengadu susah dan senang.

Jadikan suami sebagai rakan akrab anda

Apabila anda memberi peluang kepada isteri meluahkan rasa, isteri akan berasa disayangi dan dihargai.  Perhubungan ini akan bertambah erat kerana banyak kisah isteri yang mula anda ketahui.  Dalam masa yang sama, semasa mendengar kisah isteri anda juga akan turut menceritakan masalah di tempat kerja.

Tanpa sedar, anda berdua sebenarnya sedang membina sebuah ikatan perhubungan yang kukuh, saling percaya mempercayai dan menyakini satu sama lain. Sekiranya anda tidak percaya dengan pasangan, tidak mungkin semua perkara anda ceritakan. Apabila anda sudah merancang sebuah perkahwinan, anda juga seharusnya sudah berfikir untuk membina keluarga bersama serta saling memberi satu sama lain.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Di antara tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan Allah adalah Dia menciptakan dari sejenisnya pasangan-pasangan agar (kamu) masing-masing memperoleh ketenteraman dari (pasangan) nya dan dijadikannya di antara kamu mawaddah dan rahmah.  Sesungguhnya yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”

(Surah Ar Rumm, ayat 21)

Mungkin bagi anda yang tidak biasa dengan keadaan ini, perlu mengatasinya secara perlahan-lahan. Anda boleh mempelajari kaedah komunikasi yang berkesan sama ada melalui buku, mendengar ceramah atas talian, bertanya guru agama atau menyertai seminar komunikasi agar memahami pasangan dengan lebih baik.

Hubungan dengan Allah SWT juga sangat penting untuk diperkukuh dengan asas iman, takwa dan syariat Islam.  Sebuah rumah yang dibina dengan asas iman, akan menjadi sebaik-baik rumah yang mengalir di dalamnya rahmat, berkat dan keredaan Allah SWT.  Ingatlah, anda tidak tahu siapa anda sehingga anda tahu siapa Tuhan anda.

Hubungan baik dengan Allah SWT

Meskipun anda dan pasangan saling melengkapi, namun dengan adanya hubungan baik dengan Allah SWT akan mempermudah setiap ujian rumah tangga melalui perantaraan doa. Sesungguhnya ikatan perkahwinan dan takwa akan menyempurnakan agama.

Sepertimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesiapa yang berkahwin (beristeri), maka dia telah melindungi (menguasai) separuh agamanya, kerana itu hendaklah dia bertakwa kepada Allah dalam memelihara yang separuh lagi.”

(Hadis riwayat Al-Hakim dan At-Thahawi)

Kajian daripada beberapa kes yang berlaku dalam sebuah perkahwinan mendapati, usia 25 tahun atau lebih tua adalah umur terbaik berkahwin.  Ia adalah usia kedewasaan anda sebagai manusia dewasa yang matang.  Anda juga mampu menangani masalah yang sukar dalam setiap ujian perkahwinan.

Cabaran perkahwinan ialah untuk mengekalkan ketenangan. Ia tidak akan wujud tanpa anda berusaha ke arahnya. Suami contohnya yang mempunyai kuasa mutlak harus lebih bertolak ansur dan memahami keadaan isteri. Tekanan kerja dan kos kehidupan yang semakin mencabar bukan alasan mengabaikan tanggungjawab dan layanan kepada pasangan.

Justeru, anda dan pasangan perlu memainkan tanggungjawab masing-masing.  Pelihara amanah dan ikhlas dalam semua yang anda lakukan.