Sudah Beli Tiket Pulang Beraya?

Bagi warga kota yang sudah biasa pulang berhari raya menggunakan pengangkutan awam, pasti ramai yang telah pun membeli tiket sejak awal lagi.

Ia adalah bagi mengelakkan berlakunya situasi kehabisan tiket, harga tiket melambung naik disebabkan sikap pengusaha bas ekspres yang tidak bertanggungjawab dan terpaksa membeli tiket daripada ulat tiket.

Malah ada yang terpaksa bertukar-tukar bas dari satu stesen ke stesen lain disebabkan kehabisan tiket perjalanan terus untuk ke destinasi yang ingin dituju.

Lebih menyayat hati, ada yang langsung tidak sempat untuk tiba di kampung pada hari raya pertama kerana kehabisan tiket.

Situasi-situasi ini seharusnya boleh dielakkan jika anda membuat persiapan awal iaitu dengan membeli tiket dari awal, meski sebelum memasuki bulan puasa.

 

Tiket bas

Pengangkutan awam yang menjadi pilihan utama kebanyakan warga kota untuk pulang beraya adalah bas ekspres.

Ia disebabkan harga tambangnya yang lebih murah, pilihan syarikat bas ekspres yang lebih banyak dan destinasi-destinasi yang lebih dekat dengan kampung halaman masing-masing.

Dengan adanya kemudahan stesen bas-stesen bas yang selesa seperti Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Hentian Duta, Putrajaya Sentral dan yang baru beroperasi pada 1 Mei lepas, Terminal 17 di Shah Alam, pastinya warga kota mempunyai lebih pilihan untuk mendapatkan tiket mereka.

 

Tiket boleh dibeli di kaunter-kaunter bas atau lebih mudah lagi dengan hanya menggunakan kaedah online, misalnya tiket-tiket bas di TBS yang boleh dibeli di laman e-tiketnya,  https://eticketing.tbsbts.com.my/ctsonline/Account/LogOn.

Namun, harus diingatkan agar anda tidak membeli tiket pada saat-saat akhir bagi mengelakkan berlakunya situasi-situasi yang tidak diingini.

Tiket kereta api

Pengangkutan awam seterusnya yang sering menjadi pilihan warga kota untuk pulang beraya adalah kereta api.

Dikendalikan oleh Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB), perkhidmatan tren menjadi pilihan orang ramai yang enggan mengalami situasi terperangkap dalam kesesakan jalan raya yang teruk jika menaiki bas.

Dengan perkhidmatan yang telah ditambah baik iaitu Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan KTM Intercity, menaiki tren sebenarnya lebih menyeronokkan dan selesa.

Misalnya, bagi yang menggunakan perkhidmatan ETS, anda dapat merasai keselesaan gerabaknya yang serba baharu serta lengkap dengan televisyen, kemudahan kafe dan tandas yang selesa.

Jika pulang beraya ketika waktu berbuka puasa, usah khuatir kerana anda boleh membeli juadah berbuka puasa di gerabak kafe sambil menikmatinya di tempat duduk dengan ditemani pemandangan kampung-kampung atau sawah padi di sebalik cermin tren.

 

Selain itu, perjalanan juga lebih lancar dan cepat selain kurangnya risiko kemalangan jalan raya.

Namun, harus diingat bahawa tiket tren kebiasaannya akan habis terjual dengan cepat.

Bagi musim Aidilfitri tahun ini, tiket-tiket ETS dan KTM Intercity telah pun mula dijual pada 10 April yang lepas.

Tiket boleh dibeli secara online menerusi laman web KTMB atau aplikasi telefon pintar (KTM MobTicket) serta di kaunter-kaunter tiket KTMB.

 

Tiket kapal terbang

Pengangkutan awam yang lebih tinggi harga tambangnya, namun menjadi pilihan warga kota yang ingin tiba ke destinasi dengan lebih pantas, sepantas 40 minit!

Pulang beraya menggunakan kapal terbang pada masa ini bukan lagi menjadi pilihan golongan berada semata-mata, disebabkan trend syarikat-syarikat penerbangan yang menjual tiket kapal terbang pada harga lebih rendah.

Dengan pelbagai taktik promosi harga tambang dilakukan, orang ramai hanya perlu sentiasa alert dengan pengumuman daripada syarikat-syarikat penerbangan untuk mereka membeli tiket pada harga lebih murah.

 

 

 

Namun, kebiasaannya tiket tambang rendah untuk musim perayaan mula dijual dalam tempoh yang sangat awal sehingga beberapa bulan lebih awal.

Jadi, tidak kiralah sama ada untuk menggunakan penerbangan tambang rendah seperti AirAsia atau Firefly atau penerbangan hibrid seperti Malindo Air mahupun penerbangan perkhidmatan penuh seperti Malaysia Airlines, apa yang penting tiket-tiket ini perlu didapatkan lebih awal atau bayar sahaja pada harga berkali ganda jika dibeli pada saat-saat akhir.

 

Foto: Laman web KLIA, Facebook Terminal Bersepadu Selatan Official, laman web KTMB.

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!

Dengan adanya kemudahan stesen bas-stesen bas yang selesa seperti Terminal Bersepadu Selatan (TBS), stesen bas Jalan Duta, Putrajaya Sentral dan yang baru beroperasi pada 1 Mei lepas, Terminal 17 di Shah Alam, pastinya warga kota mempunyai lebih pilihan untuk mendapatkan tiket mereka.