Suka melancong? Ini beberapa manfaat positif pada diri anda

Melancong Md Wa'iz
Pendapat
Suka melancong? Ini beberapa manfaat positif pada diri anda
Suka melancong? Ini beberapa manfaat positif pada diri anda (foto: Pulau Perhentian) © Diego Calvi | Dreamstime.com

Melancong tidak semestinya perlu ke luar negara. Walaupun hanya dalam negara, aktiviti pelancong mampu memberikan manfaat yang tersendiri kepada diri manusia.

Ini manfaat dan kebaikan melancong yang mungkin anda tidak pernah tahu.

Malancong jadikan anda lebih bijak

Bagaimana? Apabila anda melancong, anda akan berjumpa dengan pelbagai jenis masyarakat atau bangsa. Pada ketika inilah, anda akan belajar untuk bercakap dengan bahasa mereka walaupun sedikit.

Setiap kali anda mempelajari bahasa baharu, kapasiti atau kemampuan otak anda akan menjadi bertambah baik. Melancong juga akan memberikan cabaran kepada anda untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang berlaku.

Ia akan memupuk anda untuk bertindak dengan lebih kreatif dalam menyelesaikannya di tempat orang.

Menjadikan pemikiran lebih terbuka

Dengan melancong, anda juga akan mempelajari dan memahami budaya manusia yang lain. Anda akan melihat dan melalui satu budaya baharu yang tidak pernah anda jumpa sebelum ini.

Dengan ini, ia akan menjadikan pemikiran anda lebih terbuka sekaligus mendidik sifat empati. Memahami budaya baharu juga menjadikan anda lebih peka, sensitif, dan bertoleransi dalam setiap perkara.

Dengan itu, anda tidak mudah untuk berfikir atau bersikap berat sebelah.

Memperbaiki keyakinan diri

Jika sebelum ini anda mungkin seorang yang pemalu dan kurang berkomunikasi dengan orang lain. Namun, apabila anda melancong, ia akan meningkatkan keyakinan diri anda.

Apabila anda berada di satu lokasi yang tidak pernah dijejaki, maka anda berusaha untuk melakukan setiap perkara dengan usaha anda sendiri.

Anda juga tidak mempunyai rakan atau ahli keluarga untuk membantu anda. Dengan itu, anda akan memaksa diri anda untuk melakukan sesuatu yang pernuh cabaran.

Keyakinan diri anda akan terbentuk secara perlahan-lahan dan ia akan menjadi semakin kuat dari semasa ke semasa.

Menjadikan diri anda lebih sihat

Melancong juga sebenarnya menyihatkan diri anda. Ini kerana, melancong akan membuatkan diri anda lebih aktif daripada segi fizikal dan mental.

Daripada segi fizikal, anda akan kerap berjalan, berdiri dan berlari. Tubuh badan yang aktif akan memberikan manfaat kepada kesihatan otot, tulang serta jantung anda.

Daripada segi mental pula, anda akan menjadi lebih bertenaga dan gembira. Hal ini akan memupuk pemikiran positif dalam minda anda.

Menambah rakan dan jaringan di seluruh dunia

Melancong juga adalah kaedah dan cara terbaik untuk menambah rakan di seluruh dunia. Perbezaan bahasa tidak membataskan seseorang itu untuk mempunyai jaringan rakan di negara yang berbeza.

Apabila anda mempunyai rakan di negara yang lain, ia akan memudahkan anda kelak apabila anda berkunjung lagi ke negara tersebut.

Mempunyai rakan yang datang daripada budaya dan cara hidup yang berbeza membuka peluang kepada kita untuk mempelajari banyak perkara baharu.

Bercuti dalam negara juga sama hebatnya

Jika anda tidak berkemampuan untuk melancong ke luar negara, anda masih boleh melancong dalam negara. Malah, banyak sekali lokasi pelancongan dalam negara yang jauh lebih memukau berbanding di luar negara.

Masih banyak lagi lokasi pelancongan dalam negara yang belum diterokai. Pelancongan dalam negara juga sebenarnya membantu meningkatkan ekonomi penduduk tempatan. Jom ‘Cuti-cuti Malaysia’!