Sukan sebagai medan dakwah Islam

Sukan Abi Aasim 01-Jun-2020
Khabib! Alhamdulillah © facebook.com/KhabibTheEagle

Aktiviti sukan dan riadah adalah antara aktiviti yang menjadi kegemaran ramai masyarakat di seluruh dunia. Kejohanan dan pertandingan sukan pula semestinya sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh peminat sukan. Islam sendiri membenarkan aktiviti sukan dan riadah. Bagaimanapun, tatasila dan peraturan yang ditetapkan syarak perlulah dipatuhi ketika melakukan aktiviti bersukan dan riadah.

Aktiviti sukan dan riadah bukanlah sesuatu yang asing dalam agama Islam. Rasulullah SAW bukan sahaja selalu menyarankan umat Islam bersukan, malah Baginda sendiri merupakan seorang ahli sukan yang cergas, pintar dan kuat. Baginda terkenal dalam kehebatan memanah dan juga pernah menewaskan ahli gusti kaum Quraisy.

Pemimpin Arab yang juga ahli gusti terkenal, Rukanah ibnu Abdu Yazid memeluk Islam selepas ditewaskan oleh Rasulullah SAW dalam satu pertandingan gusti. Ketika itu, Rukanah adalah ahli gusti yang terhebat dan berjaya mengalahkan juara-juara gusti di Tanah Arab. Fizikalnya yang tegap dan sasa serta kecergasannya menjadi kunci kemenangan dalam perlawanan gusti menentang lawannya.

Bagaimanapun ketika berhadapan dengan Rasulullah SAW, fizikal Rukanah dan kekuatannya tidak dapat membantu beliau menentang Rasulullah. Malah, Baginda turut berjaya membalikkan badan Rukanah ketika perlawanan tersebut. Tidak puas hati dengan kekalahannya, Rukanah mengajak Rasulullah untuk bergusti sebanyak tiga kali. Namun Baginda telah memenangi ketiga-tiga perlawanan tersebut. Setelah kekalahannya itu, Rukanah terus memeluk Islam.

Rukanah berkata: “Wahai Muhammad, tiada siapa pernah dapat membaringkan aku hingga jatuh terlentang dalam pertarungan selain daripadamu! Sebelum ini, engkaulah paling aku benci tetapi sekarang, aku menyaksikan tiada Tuhan yang lebih benar yang berhak disembah melainkan Allah SWT dan Nabi Muhammad itu Rasul-Nya.” (Hadis riwayat Abu Daud dan At-Tirmidzi)

Pendekatan dakwah melalui sukan  yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW sepatutnya menjadi inspirasi kepada golongan dakwah masa kini. Aktiviti sukan dan riadah boleh dijadikan medium dakwah khususnya untuk berdakwah kepada golongan anak muda.

Para atlet Muslim khususnya perlulah menunjukkan akhlak dan contoh yang baik bagi mencerminkan keindahan Islam terutamanya bagi masyarakat bukan Islam. Tindakan Juara Lightweight Ultimate Fighting Championship (UFC), Khabib Nurmagomedov yang mengucapkan takbir apabila menang, membuka hati peminat untuk melihat Islam daripada perwatakannya sebagai Muslim.

Di peringkat komuniti pula, masjid dan surau juga dilihat boleh menjadi pusat perkembangan dakwah melalui aktiviti sukan dan riadah. Komuniti Masjid dan surau boleh menganjurkan aktiviti sukan dan riadah di persekitaran masjid dan surau. Sambil mendekatkan orang ramai dengan masjid dan surau, aktiviti riadah dan sukan yang menepati syarak ini juga boleh menjadi medium dakwah kepada masyarakat bukan Islam untuk lebih mengenali keindahan Islam.