Sultan Nazrin: pemimpin harus tunjuk teladan baik dan patuh PKP

Sahsiah Ahmad Mahmud 23-Apr-2020
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Sultan Perak © sultannazrinshah.com

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah meminta semua pemimpin untuk mematuhi sepenuhnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menjadi teladan baik kepada rakyat, demikian kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Perak, Kol. (Bersara) Datuk Abd. Rahim Mohamad Nor.

Pada masa yang sama, Sultan Perak menasihati agar rakyat dapat berkorban buat sementara waktu dan membuat penyesuaian yang sewajarnya dari rutin mereka untuk sementara waktu demi mengatasi wabak COVID-19 ini.

Sultan Nazrin dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim prihatin dan memahami masalah dan kesukaran yang dihadapi oleh rakyat dalam mematuhi PKP. Ini terutamanya membabitkan rakyat yang bekerja atau menjalankan perniagaan kecil pendapatan harian, yang terjejas teruk akibat pelaksanaan PKP.

Menjelang Ramadhan, Sultan Nazrin berkenan menasihati semua umat Islam, agar dengan sebaik mungkin dapat memahami, menghargai dan menolong barisan hadapan yang tanpa penat merawat pesakit yang dijangkiti dan membahayakan diri mereka dalam melawan wabak COVID-19.

Abd. Rahim menambah, semua aktiviti di bulan Ramadan yang biasanya dilakukan di masjid dan surau, kini harus dilakukan di rumah bersama keluarga masing-masing. Program-program yang biasa diadakan di Istana Iskandariah seperti majlis berbuka puasa juga tidak akan diadakan tahun ini.

Sultan Nazrin, Raja Jaafar Raja Muda Musa (Raja Muda Perak) dan Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah (Raja Di Hilir Perak) juga tidak akan menghadiri majlis berbuka puasa atau solat tarawih di mana-mana masjid di negeri Perak sepanjang Ramadan.

Sultan Nazrin dan Tuanku Zara juga mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa Ramadan kepada semua umat Islam dan berdoa agar wabak COVID-19 ini segera berakhir, dan semoga seluruh rakyat jelata dapat kembali ke kehidupan normal.