Buletin SalamWebToday
Daftar untuk mendapatkan artikel SalamWeb Today setiap minggu!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Sumbangan kecil dalam menoktahkan episod COVID-19

Masyarakat 05 Dis 2020
Pendapat oleh Tari Basir
 Sumbangan kecil dalam menoktahkan episod COVID-19
 Sumbangan kecil dalam menoktahkan episod COVID-19 © - Dreamstime.com

Petugas-petugas kesihatan serta beberapa badan berautoriti lain seperti tentera, polis, Pertahanan Awam dan Jabatan Kebajikan Masyarakat merupakan antara hero negara yang berjuang bermatian-matian dalam menangani keganasan virus COVID-19.

Perjuangan mereka semua ini telah dipasakkan atas niat kerana Allah SWT semata-mata. Walaupun terlalu banyak perkara yang telah mereka korbankan seperti masa, tenaga dan juga risiko terdedah dengan wabak ini.

Meskipun kelihatan jelas kepenatan yang tergambar pada raut wajah dan mata yang sudah tentu acap kali bergenang dek kepenatan, namun atas nama tanggungjawab, mereka tetap menggalas beban tanggungjawab itu. Asalkan manusia lain dapat merasai keringanan tatkala pandemik ini walaupun seketika.

Kisah burung padamkan api yang membakar Nabi Ibrahim a.s

Diriwayatkan sebuah kisah di dalam sirah para Anbiya. Mengenai usaha seekor burung yang cuba memadamkan kemarakan api yang membakar Nabi Ibrahim a.s. Di mana ia berusaha terbang berulang-alik dengan membawa air di dalam paruhnya.

Walau bagaimanapun, seekor cicak memperlekehkan usaha burung itu. Ia menyifatkan apa yang dilakukan burung itu hanyalah sesuatu yang sia-sia dan mustahil. Kerana bagaimanakah deretan titisan air yang disiram daripada paruhnya kecil mampu memadamkan api yang besarnya berganda daripada burung itu tadi?

Namun, burung itu menjawab bahawa dirinya menyedari hakikat itu, dan tetap berusaha apa yang terdaya dirinya. Malahan, diriwayatkan juga bahawa cicak itu tadi cuba meniup api yang membakar kekasih Allah SWT itu. Meskipun dirinya menyedari tiupannya itu tidak akan mampu memarakkan api yang sedia marak.

Iktibar dalam usaha mengekang virus COVID-19

Ada iktibar yang boleh diambil daripada kisah burung dan cicak ini. Walaupun kehadiran kita yang bukan mewakili mana-mana hero negara yang disebutkan sebelum tadi, namun ia bukanlah satu penghalang untuk kita juga menjadi hero walaupun menyumbang sekecil-kecil bakti. Bahkan, jauh sekali untuk ia menjadi sebab kita menjadi penjahat dengan kerosakan yang sedikit.

Usaha kecil yang dilakukan oleh burung kecil itu tadi mungkin dilihat tidak mampu memadamkan kemarakan api yang membakar Nabi Ibrahim a.s Namun persoalannya, adakah benar tidak ada sedikit pun kekurangan pada kemarakan api tersebut?

Dan persoalannya, adakah benar tidak ada sedikit pun penambahan pada kemarakan api, hasil tiupan kecil daripada cicak kecil itu tadi?

Kita memperlekehkan usaha kecil yang kita lakukan dalam mengekang pandemik ini. Seperti membeli topeng pelitup muka yang murah, membawa sejadah ke masjid, jarakan satu meter dan sebagainya, kerana memikirkan adakah usaha kecil ini mampu mengekang besarnya wabak ini?

Begitu juga kita menyangka tiada apa yang akan berlaku dengan mengabaikan perintah kerajaan walaupun seketika. Kerana pengabaian tersebut hanyalah suatu perkara yang kecil?

Adakah benar sangkaan kita ini, atau kita hanya berselindung di sebalik keegoan dan sifat mementingkan diri kita sendiri semata-mata?

Usaha kecil tetap dipandang Allah SWT

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Zalzalah, ayat 7 dan 8:

“Sesiapa yang mengerjakan kebaikan walau sebesar zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan walau sebesar zarah, nescaya dia kan melihat (balasan)nya pula.”

Kecil atau besar usaha yang kita lakukan dalam mengekang pandemik ini, percayalah semua kebaikan itu akan dibalasi oleh Allah SWT dengan ganjaran pahala. Usah perkecilkan usaha kita, namun berusahalah besarkannya sedaya mungkin.

Mungkin suatu hari, virus COVID-19 yang besar ini akan dikalahkan dengan usaha kecil kita tadi. Insya-Allah.