Sumbangan luar biasa Al-Kindi

Dunia Hanita Hassan 18-Ogo-2020
Abu Yusuf Ya'qub ibn Ishaq Al-Kindi © moroccoworldnews.com

Seorang Muslim tidak wajar meminggirkan usaha pencarian dan penerokaan ilmu pengetahuan. Sepertimana yang telah diperintahkan Allah SWT menerusi firman-Nya dalam al-Quran yang bermaksud: “Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.  Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”  (Surah Al-Mujaadilah, ayat 11)

Sepertimana ayat di atas, Allah SWT meletakkan penghormatan yang tinggi terhadap ilmu pengetahuan dan bukan sesuatu yang memeranjatkan apabila ramai dalam kalangan sarjana Islam adalah cendekiawan sains yang dipandang tinggi.  Artikel ini akan mengkisahkan tentang salah seorang sarjana tersohor iaitu Al-Kindi.

Abu Yusof Yaqub Ibn Ishaq As-Sabbah Al-Kindi atau lebih dikenali sebagai Al-Kindi atau Alkindus adalah seorang Muslim yang pakar dalam bidang perubatan. Al-Kindi mempunyai ilmu pengetahuan yang luas dan pelbagai, ahli falsafah dan pakar dalam matematik.  Lahir di sebuah wilayah yang kini dikenali sebagai Iraq moden, dia kemudian mendapat jolokan sebagai Bapa Falsafah Arab.

Pendidikannya diperoleh di ibu kota Baghdad.  Beliau adalah salah seorang individu yang amat berpengaruh di Perpustakaan Besar Baghdad.  Sepertimana petunjuk awal, beliau merupakan seorang genius dalam pelbagai dimensi yang telah menyumbang kepada pelbagai bidang ilmu pengetahuan.

Dalam bidang falsafah misalnya, beliau bukan sahaja meluangkan banyak waktu memahami falsafah pada zamannya, dia turut mentakrifkan semula banyak konsep falsafah sekali gus menyumbang kepada pemikiran asal beliau.

Seorang penulis prolifik yang menulis banyak karya mengenai etika, farmakologi, matematik, astronomi, zoologi, meteorologi, psikologi, ubat-ubatan, metafizik, logik dan banyak lagi.

Dalam bidang matematik, nama Al-Kindi masih kekal salah seorang yang paling dihormati.  Ini kerana beliau adalah salah seorang yang membawa angka India (juga lebih dikenali sebagai sistem angka Hindu-Arab yang kini digunakan di seluruh dunia) kepada dunia Muslim.

Usaha beliau ini adalah bersama-sama dengan seorang lagi sarjana Muslim yang hebat (Al-Khwarizmi) telah menjadi pelopor kepada sistem nombor yang kini dikenali sebagai sistem angka Arab.

Bukan itu sahaja kemahiran beliau.  Ramai yang hanya mengenali beliau sebagai pakar matematik yang genius tetapi tidak menyedari bahawa beliau juga salah seorang pelopor kepada Kriptografi iaitu seni penulisan dan penyelesaian kod.

Terpengaruh dengan karya-karya Al-Khalil, Al-Kindi berjaya menerbitkan satu daripada karya yang melangkaui masa tentang kriptografi. Dia menamakan buku tersebut sebagai ‘Manuscript on Deciphering Cryptographic Messages’.  Buku ini menjadi landasan kepada penubuhan inferens statistik selain turut memperkenalkan cara terbaharu dalam merekod kod.

Salah satu aspek dalam diri Al-Kindi yang boleh dijadikan teladan ialah walaupun dia dikurniakan kelebihan dengan pelbagai aspek pengetahuan, namun agama tetap menjadi asas keutamaannya.

Dia melangkah jauh sehingga berjaya sebagai sarjana dalam bidang Teologi. Fokus beliau ialah pada topik seperti ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh Nabi Muhammad SAW, sifat-sifat Allah SWT serta dalam hal spiritual.

Kita boleh katakan bahawa beliau seorang yang serba boleh dan contoh  terbaik untuk menjadi ikutan sarjana Muslim.  Semoga Allah SWT menerima semua usaha Al-Kindi dan menganugerahi beliau dengan rahmat-Nya di Akhirat.