Sumbangan Muslim terhadap Barat

Alhambra, istana dan kubu peninggalan Dinasti Nasrid di Granada, Andalusia, Sepanyol © Dbyjuhfl | Dreamstime.com

Ketika Muslim menghasilkan penemuan-penemuan sains dan teknologi serta pelbagai bidang ilmu pengetahuan penting termasuk matematik, astronomi dan seni bina (abad ke-4M hingga ke-14M). Barat jauh mundur dan masih berada dalam ‘Era Kegelapan’.  Eropah dibelenggu oleh tradisi dan kepercayaan tahyul dan khurafat.

Penghayatan terhadap ajaran Islam dari segi akidah dan ibadah yang diseimbangi dengan pembudayaan dan kecemerlangan ilmu telah mengangkat darjat masyarakat Islam ke tahap kelas pertama sehingga menjadi contoh kepada Barat.

Kecemerlangan Islam di Andalus atau di tempat-tempat lain seperti Madinah, Baghdad, Damsyik dan Kaherah  adalah bertitik tolak daripada kecemerlangan yang bermula sejak zaman Rasulullah SAW dan para sahabat dan Khulafa al-Rasyidin sehingga sampai ke alam Melayu sekitar abad ke-14 Masehi.

Zaman kegelapan Eropah atau juga disebut sebagai zaman kebekuan minda menyebabkan tiada pembaharuan berlaku sama ada dari segi keilmuan mahupun inovasi sains dan teknologi.  Sedangkan ketika itu, Wilayah Andalus semakin disebut-sebut kerana kegemilangan ilmu dan inovasi yang dihasilkan oleh tokoh-tokoh terkenal.

Andalus (kehijauan di penghujung musim panas) adalah wilayah dinasti Islam yang kini dikenali sebagai Sepanyol atau Sicily dan Portugal.  Andalus merupakan kerajaan Islam yang muncul pada zaman pertengahan  merangkumi negeri-negeri di wilayah Sepanyol, Portugal dan Perancis.

Para penuntut ilmu dan sarjana dari Eropah berpusu-pusu ke Andalus (711M-1492M) untuk menekuni pelbagai bidang ilmu yang ditawarkan. Raja-raja di Eropah seperti Jerman, Perancis, Britain dan Itali yang melihat perkembangan intelektual ini juga tidak melepaskan peluang.  Mereka menghantar utusan masing-masing bertemu para pemerintah di Andalus untuk merebut peluang yang ditawarkan di pusat-pusat keilmuan yang wujud ketika itu.

Ramai tokoh besar yang lahir pada zaman kegemilangan Islam di Andalus. Antaranya dalam bidang falsafah dipelopori oleh tokoh seperti Imam Al-Ghazali, Ibn Khaldun, Al-Farabi dan Al-Khindi. Bidang sains dan perubatan dipelopori oleh Ibn Sina (Avicenna), Al-Razi dan Abu Qasim Khalat Ibn Abbas Al-Zahrami.

Bidang astronomi oleh Al-Biruni dan Al-Bitruji, bidang matematik oleh Al-Khawarizmi, ilmu geografi oleh tokoh Al-Idris dan ramai lagi. Tamadun Islam memberi sumbangan yang penting dalam membawa perubahan kepada Barat, mengeluarkannya daripada kemunduran kepada kemodenan dan kemajuan.

Pada abad ke-10 Masehi, pengasas Kerajaan Umaiyah di Cordoba, Abdul Rahman III (891M-961M) melibatkan diri secara langsung mencipta pembudayaan ilmu di Andalus berinspirasi kepada kecemerlangan keilmuan di Baghdad.  Perhatian serius diberi terhadap perkembangan ilmu dan sains dengan menyediakan 17 buah pusat pendidikan dan 70 buah perpustakaan awam. Buku-buku diperolehi dari Damsyik, Baghdad, Constantinople, Kaherah, Makkah, Madinah, Kufah dan Basrah.

Perpustakaan di Cordoba sahaja dikatakan memiliki koleksi sejumlah 400 ribu jilid buku manakala Perpustakaan Diraja dibina atas arahan al-Hakam II mempunyai 40 buah bilik yang setiap satu bilik menempatkan sejumlah 18 ribu buku hasil tulisan tangan kerana ketika itu belum wujud teknik percetakan.

Agama dan tamadun Islam tidak pernah berseteru dengan tamadun Barat. Bahkan Eropah banyak belajar daripada tamadun Islam untuk bangkit (Zaman Renaissance) pada abad ke-14 hingga abad ke-19 selepas zaman kebekuan minda yang begitu lama dan panjang. Andalus dilihat sebagai jambatan penghubung antara Islam dan Barat.